Cari @ Amanz

Setakat ini kesemua peranti yang kami masukkan ke dalam senarai Telefon Terbaik Harai Raya 2021 Amanz harus mematuhi julat harga dan spesifikasi yang tertentu. Selepas dua tahun dihalang dari balik ke kampung dan penjimatan berjaya dilakukan kerana tiada keperluan membeli baju raya dan memberi duit raya kami yakin ada di kalangan pembaca yang mempunyai wang lebih. Oleh itu ini ialah senarai peranti terbaik untuk “flex” di Hari Raya kerana pandemik bulan alasan anda tidak boleh menikmati yang terbaik.

Tetapi sebelum itu anda juga boleh melihat saranan kami untuk kategori-kategori lain yang telah kami terbitkan sebelum ini.

  1. Telefon Terbaik Bawah RM1000
  2. Telefon Terbaik Bawah RM1500
  3. Telefon Terbaik Bawah RM2000
  4. Telefon Terbaik Bawah RM3000
  5. Telefon Gaming Terbaik
  6. Telefon Kamera Mampu Milik Terbaik

Telefon Terbaik Flex Raya

Sebenarnya ramai tidak mahu mengaku tetapi Hara Raya juga adalah hari untuk menunjukkan betapa bergayanya anda kepada sanak saudara. Sekiranya tidak mengapa wang dibelanjakan untuk baju baru yang hanya mungkin dipakai di hadapan saudara yang juga bertemu empat mata setahun sekali. Bukan juga rahsia bahawa membeli telefon pintar terbaru juga sudah menjadi tradisi. Oleh itu untuk menunjukkan kemewahan ini ialah senarai peranti terbaik

1.Samsung Galaxy Z Fold2 – RM6999 (12/256GB)

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Samsung Galaxy Z Fold2 ialah satu-satunya yang mampu memberikan kepuasan flex secara harfiah. Skrin boleh dilipat bagi membolehkannya digunakan sebagai sebuah tablet. Peranti ini masih lagi eksklusif kerana jarat dilihat di dunia sebenar. Ia biasanya dilihat digunakan oleh ahli politik, artis, dan ahli perniagaan.

Setiap kali ia digunakan, anda pasti akan mendapat perhatian dari orang sekeliling. Sesuai dengan statusnya sebagai peranti flex terbaik, ia juga dijual pada harga yang amat premium RM6999. Nampak tinggi tetapi sebenarnya ini adalah selepas potongan harga RM1000 yang diberikan Samsung secara rasmi. Tidak ada peranti yang boleh menunjukkan status sosial sebaik Z Fold2 pada waktu ini.

2.Samsung Galaxy Z Flip – RM3999 (8/256GB)

Samsung Galaxy Z Fold2 ialah peranti premium yang menunjukkan status sosial kerana ianya premium, unik dan mahal. Tetapi sebenarnya anda tidak perlu berbelanja wang banyak dan mengorbankan saiz peranti yang praktikal untuk flex di Hari Raya ini.

Samsung Galaxy Z Flip juga menawarkan skrin boleh lipat, rekaan yang unik dan pengalaman menggunakan sesuatu yang eksklusif tetapi dalam saiz yang lebih praktikal. Ia dengan mudah boleh dimasukkan ke dalam kocek kerana tidak mempunyai saiz yang sama seperti sebuah keranda anak kucing. Sekarang ialah masa yang terbaik untuk membeli Z Flip kerana ia ditawarkan pada harga RM3999 sahaja berbanding harga asal RM5888 semasa dilancarkan tahun lalu.

3.Oppo Find X3 Pro – RM3999 (8/128GB)

Oppo telah mengambil alih tempat Huawei sebagai pengeluar telefon pintar nombor satu di China. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Huawei diisi oleh Oppo dengan peranti yang bukan sahaja berspesifikasi tinggi, dan dilengkapi sistem kamera yang inovatif tetapi ia kini hadir dengan rekaan yang lebih premium.

Oppo Find X3 Pro adalah usaha mereka untuk membebaskan diri dari persepsi sebagai peranti dari China yang berada di belakang OnePlus dalam semua aspek. Mereka kini berani untuk menyertakan kesemua fungsi seperti kemampuan kalis air, sensor yang terbaik dan sistem operasi yang semakin hampir kepada Android asli.

Kami sendiri merasakan Oppo harus dipandang serius sekarang kerana mereka tidak lagi sekadar mengikut trend tetapi memulakan trend. Rekaan tubuh X3 Pro misalnya adalah yang paling elegan pada peranti tahun 2021.

4.Apple iPhone 12 Pro Max – RM5299 (4/128GB)

Selepas 14 tahun dilancarkan, iPhone masih lagi mempunyai reputasi sebagai peranti berstatus mewah. Tidak mengejutkan ramai sanggup mengikat perut dan duodenum semata-mata untuk membeli iPhone model terkini setiap tahun. Walaupun kita sudahpun di bulan Mei, iPhone 12 Pro Max masih lagi merupakan telefon pintar paling berkuasa di pasaran.

Apple A14 Bionic dengan mudah memintas keupayaan Snapdragon 888. Kemudian dipadankan pula sistem tri-kamera utama dengan LiDAR untuk pengalaman realiti terimbuh optimum. Kemudiannya tubuh peranti diperbuat daripada besi tahan karat yang membuatkannya kelihatan amat premium di dalam tangan. Dengan harga jualan mencecah RM6699 sebuah, statusnya sebagai peranti mewah memang tidak boleh disangkal.


Jadi itulah sahaja senarai peranti-peranti terbaik Hari Raya untuk tahun 2021. Diharap dengan pengkelasan yang kami gunakan, anda boleh mencari peranti yang memenuhi belanjawan peribadi. Saya ingin mewakili Amanz dan ingin memohon maaf atas segala kesilapan yang telah dilakukan sepanjang tahun ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Analog dan Digital dari kami semua.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd