Cari @ Amanz

Terperangkap di rumah di Aidilfitri ini? Jangan sedih kerana anda tidak keseorangan kerana seluruh Malaysia kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan sehingga Jun 2021. Walaupun tradisi melawat sanak saudara, rakan taulan, mantan kekasih, kekasih gelap dan rumah rawak semata-mata untuk duit raya tidak boleh dilakukan, di Amanz ialah menyenaraikan Telefon Terbaik Raya. Jadi untuk tahun 2021, kami membahagikan peranti kepada tujuh kategori iaitu.

  1. Telefon Terbaik Bawah RM1000
  2. Telefon Terbaik Bawah RM1500
  3. Telefon Terbaik Bawah RM2000
  4. Telefon Terbaik Bawah RM3000
  5. Telefon Gaming Terbaik
  6. Telefon Kamera Mampu Milik Terbaik
  7. Telefon Flex Raya

Telefon Terbaik Gaming

Walaupun ada banyak peranti gaming di pasaran seperti Nubia Red Magic 6, Asus ROG Phone 5, Black Shark 4, iQOO dan lain-lain lagi – di Malaysia hanya ada dua sahaja pilihan yang boleh dibuat masa ini. Peranti tersebut adalah Black Shark 4 dan juga Asus ROG Phone 5. Kedua-dua peranti ini dijual dengan beberapa pilihan storan, tetapi model asas masih kekal di bawah RM3000. Kenapa Hari Raya perlu ada telefon khusus untuk permua? Kerana pertama tidak boleh balik ke kampung halaman dan kedua PKP seluruh negara baru sahaja diumumkan. Dengan adanya peranti gaming, baik kita main permua sampai lebam sebagai pengganti perang meriam buluh dengan kampung sebelah.

1.Black Shark 4 – RM2299 (8/128GB)

Black Shark 4 adalah yang paling mampu milik, di mana ia dijual pada harga RM2299 sahaja untuk model 8GB RAM, 128GB storan dalaman UFS 3.1 dan dijana Cip Snapdragon 870 – yang mana sudah sedia terbukti cukup hebat dan hampir setaraf dengan Snapdragon 888. Ciri gaming peranti ini adalah ia mempunyai butang bahu fizikal di sisi, yang mana menggunakan mekanisme pop-naik seakan Black Shark 3 Pro. Binaan dan rekaan adalah premium serta kelihatan seakan peranti biasa dan tiada lagi kemasan agresif seperti model terdahulu.

Skrin pula adalah jenis OLED 144Hz setaraf peranti mercu mewah dengan kadar sentuhan 720Hz. Sistem audio adalah pembesar suara stereo yang cukup lantang dan mempunyai dentuman yang baik. Bateri 45000mAh untuk sebuah peranti gaming memang kecil boleh dicas dalam masa 15 minit menggunakan pengecas 120W. Tidak lupa juga yang Black Shark 4 turut menyokong sokongan berbalik aksesori generasi lama kerana ekosistem mereka adalah sepadan dan berasaskan Bluetooth. 

2. Asus ROG Phone 5 – RM2999 (8/128GB)

Asus ROG Phone 5 adalah sebuah peranti gaming yang premium tetapi harga masih bawah RM3000 untuk model asas 8/128 GB. Sedikit lebih mahal berbanding Black Shark 4 tetapi kami masih sarankan peranti ini adas beberapa sebab. Pertama, ia adalah antara peranti dengan cip Qualcomm Snapdragon 888 yang cukup masih boleh dikategorikan sebagai murah. Peranti dengan cip ini adalah peranti mercu idaman ramai untuk tahun 2021. Kalau anda tidak dapat balik jumpa yang dicintai, anda pasti akan jatuh cinta dengan ROG inipun jadilah.

Skrin juga adalah OLED 144Hz saiz gergasi, iaitu 6.78-inci dengan kadar mengesan sentuhan 300Hz. Masih ada dahi dan dagu yang besar tetapi ia adalah perkara baik kerana pembesar suara stereo menghala ke hadapan. Ciri gaming utama peranti ini adalah pada perisian Armoury Crate yang membolehkan pengguna melewahjam CPU dan GPU ke tahap maksimum. Selain itu turut mempunyai butang bahu, tetapi adalah jenis kapasitif dengan sokongan haptik. Bateri pula adalah 6000mAh yang menawarkan pengalaman bermain permua yang panjang dengan sokongan pengecasan pantas 65W yang cukup pantas.

Telefon Kamera Terbaik Bajet Hari Raya 2021

Walaupun Hari Raya tidak balik, gambar Raya masih wajib diambil sebagai kenang-kenangan. Tidak kiralah secara swafoto, menggunakan tripod atau dengan bantuan rakan serumah yang turut tidak balik beraya. Memandangkan keluarga dan yang tersayang berada di jarak jauh, kemampuan video juga penting untuk sesi telesidang. Meneruskan tema Hari Raya Pandemik, kami menyarankan peranti-peranti di bawah bagi yang mencari telefon pintar mampu milik dengan kemampuan kamera yang baik.

1. Vivo V21 – RM1599 (8/128GB)

Kami memilih peranti ini kerana ia menggunakan sistem kamera yang jarang disertakan pada mana-mana pesaing termasuklah pada peranti mercu. Peranti ini mempunyai sistem penstabilan imej optik atau OIS pada kedua-dua kamera swafoto dan kamera belakang. Di belakang adalah 64+8+2 MP dan di hadapan adalah 44 MP. Kamera swafoto juga hadir dengan dua lampu LED flash di hadapan.

Tanpa menggunakan tripod, gambar serta video yang stabil dapat diambil kerana penggunaan OIS yang disebutkan tadi. V21 bolehlah dilihat sebagai alternatif kepada Vivo X60 kerana rekaan yang hampir sama cuma tiada Carl Zeiss. Cip MediaTek Dimensity 800U yang digunakan juga sedikit lebih baik berbanding Snapdragon 720G serta memori 11GB RAM – yang mana adalah 8GB dan 3GB daripada storan.

2.Samsung Galaxy A52 – RM1499 (8/256GB)

Jika Vivo tidak padan dengan citarasa anda, kami menyarankan juga Samsung Galaxy A52. Kami sarankan variasi 4G yang berharga RM1499 kerana lebih murah dan dijana dengan Snapdragon 720G. Walaupun cip sudah berusia lebih setahun, ia masih lagi berkuasa untuk kegunaan harian. Skrin Super AMOLED Samsung 90Hz pula boleh memaparkan gambar dengan warna yang paling menyerlah.

Di Malaysia A52 dilengkapi kamera utama 64+12+5+5 MP yang terdiri daripada lensa utama, sudut ultra-lebar, kedalaman dan makro. Kamera swafoto pula 32 MP. Bukan sahaja dengan kamera makro ini anda boleh ambil imej pelita pada jarak dekat, malah anda juga boleh mengambil gambar-gambar kuih raya yang akan kelihatan enak. Sebagai bonus, peranti ini turut mempunyai sokongan IP67 yang jarang sekali diberikan pada peranti yang dijual pada harga ini.

3. Oppo Reno5 5G – RM1699 (8/128GB)

Dengar bunyi mercun meletup, lalu melatah Oppocot. Giliran Oppo telah tiba, nanti lihat kehebatannya jangan pula anda terkejut! Kamera utama adalah 64+8+2+2 MP dan kamera swafoto 32 MP dengan kemampuan rakaman video 4K 30FPS Sistem kamera dengan bantuan kecerdasan buatan fotografi Oppo membolehkan rakaman waktu malam yang baik diambil.

Oppo Reno5 5G dijual di Malaysia pada harga RM1699 untuk model 8/128 GB. Ia juga antara yang paling berkuasa dengan cip Snapdragon 765G yang turut membawakan sokongan rangkaian 5G.

4. Redmi Note 10 Pro – RM999 (6/128GB)

Peranti Android terakhir dalam kategori ini ialah Redmi Note 10 Pro. Walaupun dijual pada harga RM999, ia masih dilengkapi kamera 108 MP. Secara tidak langsung melayakkan peranti ini menjadi peranti kamera terbaik pada harga bajet.  

Jika anda rasakan 108MP tidak cukup, lensa 8 MP ultra lebar, 5 MP makro dan 2 MP kedalaman melengkapi kuad kamera utama dan kamera swafoto pula sebesar 16 MP. Melalui MIUI, aplikasi kamera pada peranti ini turut menyokong pelbagai mod rakaman menarik dan kreatif seperti mod kecantikan yang baik, pelbagai penuras hebat, mod video dengan kesan visual unik serta mod malam yang boleh mengambil gambar bintang di langit.

5. iPhone XR

Android sudah tamat, kini giliran iOS pula. Kami menyarankan iPhone XR bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan ekosistem iOS tanpa perlu membelanjakan wang yang banyak. Pada harga bermula RM 2399, ia adalah yang paling berbaloi memandangkan iPhone SE walaupun lebih murah menggunakan sistem kamera yang sudah ketinggalan zaman.

Bukan rahsia bahawa rakaman video seperti IG Stories dan Snapchat adalah lebih baik pada iPhone berbanding pada peranti Android kerana sokongan aplikasi yang lebih baik di iOS. Jika anda ingin lakukan video siaran langsung, swafoto dan panggilan video dengan keluarga – kualiti yang dibawakan iPhone XR pasti tidak akan mengecewakan.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd