Carian
Meizu Watch Akan Menjalankan Sistem Operasi Berasaskan Harmony OS
May 28, 2021 Fahim Zahar

Minggu lepas, Meizu mendedahkan rekaan jam tangan pintar pertama mereka – Meizu Watch. Jam ini menggunakan rekaan mirip Apple Watch dan dikatakan akan dilancarkan pada 31 Mei ini. Meizu juga mengesahkan yang jam mereka dijana dengan cip Snapdragon Wear 4100, yang mana adalah antara yang paling berkuasa setakat ini. Ia juga akan mempunyai sokongan pengecasan pantas – 15 minit cas satu hari penggunaan.

Khabar angin sebelum ini mendakwa yang Meizu akan menggunakan sistem operasi tersendiri untuk jam tangan mereka. Tetapi ciapan mereka di Weibo menyatakan yang Meizu Watch akan menjalankan sistem operasi Harmony OS. Laman Weibo Meizu untuk produk gaya hidup pula mendedahkan, jam mereka menyokong imbasan nadi, membaca oksiegn dalam darah, memantau tidur dan membaca tekanan. Ia juga akan hadir dengan sokongan pembantu digital tersendiri.

Meizu Watch juga akan menggunakan dermaga pengecasan khas yang unik, untuk sokongan pengecasan pantas. Memandangkan Meizu menyatakan nama rasmi sistem operasi jam mereka adalah Flyme for Watch, Harmony OS yang ditawarkan kepada mereka besar kemungkinan adalah asas baharu – pengganti kepada AOSP. Mungkin Huawei bina satu asas tersendiri, tetapi pelagak yang menjalankan perisian dan aplikasi masih lagi mengesan elemen Android – membutakan APK masih boleh dipasang.

Pengumuman Meizu ini selari dengan laporan, tiga pengeluar peranti akan menjalankan Harmony OS. Kemudian telefon pintar Meizu juga sedia menjalankan HMS Core. Sama-sama kita nantikan.

Komen