Cari @ Amanz

Bangun pagi ini dan Disney+ Hotstar kini boleh dilanggan oleh pegguna di Malaysia tepat pada masanya hari ini kita memulakan sekatan pergerakan penuh bagi merendah lekuk (sekali lagi). Tetapi kami yakin dengan terdapatnya banyak platform penstriman ditawarkan di Malaysia, adalah Disney+ Hotstar berbaloi untuk dilanggan hari ini dengan situasi ekonomi yang terumbang ambing seperti iPhone di hujung tanduk, kami cuba menjawab beberapa soalan yang membantu anda melakukan pilihan hari ini.

1.Banyak ke kandungan yang boleh ditonton?

Sebanyak 800 filem dan ribuan episod siri TV boleh ditonton bermula hari ini. Kandungan adalah terdiri daripada kesemua kandungan asli Disney+ yang diumumkan sebelum ini seperti The Mandalorian, WandaVision dan Falcon And The Winter Soldier. Selain itu katalog hampir kesemua filem Marvel Cinematic Universe, X-Men, Star Wars, Pirates of The Carribean, Pixar, Fox dan Disney juga boleh dinikmati. Sebagai antara studio terbesar dunia, anda boleh mencari kandungan pelbagai genre dengan mudah. Tidak seperti Apple TV+, Disney+ Hotstar tidak boleh habis ditonton dalam masa sebulan.

Disamping itu kandungan tempatan juga turut ditawarkan dari studio Grand Brilliance, Upin dan Ipin, Boboiboy dan katalog Yasmin Ahmad. Siri TV tempatan juga ditawarkan lebih awal berbanding yang ditayangkan di kaca TV seperti Single Terlalu Lama dan Kekasih Hati Mr Bodyguard (kini menjadi meme pemacu USB yang tular di media sosial). Dari segi penawaran kandungan, Disney+ Hotstar mempunyai kandungan yang sama banyak seperti Netflix dan jauh lebih baik berbanding Apple TV+ WeTV iFlix, MUBI, dan Viu.

2.Boleh tengok dekat mana?

Ketika artikel ditulis Disney+ Hotstar boleh distrim menerusi Android, Android TV, iOS, iPadOS, tvOS dan pelayar web. Malang sekali masih tiada aplikasi untuk konsol PlayStation 5, Playstation 4, Xbox One, Xbox Series X, Xbox Series S, dan Nintendo Switch. Adalah amat aneh aplikasi tidak ditawarkan kerana di luar negara aplikasi Disney+ ditawarkan pada majoriti konsol utama malahan diberikan secara terpasang.

Pada televisyen pintar pula aplikasi untuk Tizen (Samsung), dan webOS (LG) masih belum ditawarkan di Malaysia. Berita baik yang boleh kami kongsi ialah di India wujud aplikasi untuk Disney+ Hotstar untuk Tizen dan webOS cuma tidak diketahui bilakah ia akan ditawarkan di Malaysia.Tetapi jika anda masih ingin menonton menggunakan televisyen pintar ada masih boleh menggunakan pelayar web terbina. Pada pengguna komputer, tiada isu juga mengakses kandungan menggunakan pelayar web.

Kepada pelanggan Astro Movie Pack, Astro akan memberikan sokongan aplikasi pada Astro Ultra dan Astro Ulti box menjelang penghujung 2021.

3. Berapa orang boleh pakai serentak?

Sehingga dua peranti sahaja boleh menstrim kandungan dari satu akaun yang sama pada satu-satu masa. Ini sama seperti langganan akaun Netflix Standard di Malaysia.

4.Boleh tak pakai Chromecast?

Chromecast Ultra

Dari FAQ yang diberikan, hanya Chromecast generasi kedua dan ke atas disokong. Ini ialah Chromecast berbentuk bulat seperti buah hoki ais. Chromecast memanjang tidak disokong. Kami telahpun menguji Chromecast with Google TV dan setakat ini tiada sebarang masalah. Sokongan memancarkan kandungan (Google Cast) dari aplikasi telefon pintar dan tablet juga boleh dilakukan menerusi peranti Android dan iOS. Pada awalnya kami tidak dapat mengakses ciri memancarkan kandungan tetapi ia muncul selepas aplikasi dipasang semula.

5. Bagaimana pula dengan Apple AirPlay?

Sama seperti Chromecast, sokongan lontaran AirPlay boleh digunakan pada televisyen pintar dan Apple TV yang menyokongnya. Tetapi kami mendapati kualiti audio apabila menggunakan pancaran AirPlay dari iPhone ke TV adalah tidak memuaskan.

6. Ada tak profil untuk pengguna berbeza?

Tak ada. Hanya satu profil sahaja membuatkan proses mengasingkan kandungan yang ditonton oleh isi rumah menjadi mustahil. Dari segi ini Netflix dan Prime Video lebih progresif kerana sehingga lima profil diberikan sebagai standard. Bagi mereka yang ingin berkongsi satu akaun dengan adik beradik atau rakan serumah Disney+ Hotstar akan membuangkan baris recently played akaun anda menjadi serabut.

7. Boleh tak kunci kandungan tak sesuai dari kanak-kanak?

Tak ada juga. Adalah aneh sekali ciri standard pada penstriman lain ini juga tidak diberikan. Ia berbahaya kerana kandungan Disney+ Hotstar tak semuanya sesuai untuk kanak-kanak. Filem seperti Deadpool, Logan, The New Mutants, Terminator Dark Fates dan Kingsman The Secret Service ditawarkan di platform. Filem-filem ini adalah ganas dengan bahasa yang tak sesuai untuk koklea anak-anak kecil di rumah.

Disney+ Hotstar hanya menawarkan segmen khas Kids Safe sahaja yang menyaring kandungan-kandungan mata dari diakses. Tetapi tanpa sistem menguncinya dari diakses kanak-kanak bila-bila masa sahaja mereka boleh menonton babak Wolverine menikam kepala musuh dengan kuku Adamantium beliau dalam filem Logan.

8. Ada tak kandungan 4K?

Ada tetapi jumlahnya masih lagi rendah. Kami menyedari hanya kandungan baharu seperti WandaVision, The Mandalorian dan Falcon and Winter Soldier ditawarkan pada resolusi 4K. Aneh sekali kesemua filem MCU dan Star War hanya ditawarkan sehingga 1080P sahaja pada ketika ini. Mengapa tiada? Hanya Bob Iger (dan mungkin Ahmad Izham Omar) boleh memberikan jawapan.

9. Apa yang ada pada Disney+ Hotstar tetapi tak ada pada platform lain?

Yang menjadikan platform ini unik ialah jumlah kandungan dalam Bahasa Melayu yang banyak. Anda boleh menonton Iron Man dalam Bahasa Melayu. “Ya saya ialah Iron Man”, “Awak pernah cuba Shawarma?” “Avengers… bersatu!”. Tiga dialog ikonik dari filem MCU kini boleh anda dengari dalam Bahasa Melayu lengkap dengan sari-kata Bahasa Melayu. Platform lain tidak mempunyai penawaran audio dalam Bahasa Melayu yang banyak seperti Disney+ Hoystar.

10. Ok sekarang bagaimana pula dengan harga langganan?

Pada waktu ini langganan selama tiga bulan sekaligus ditawarkan pada harga RM54.90 atau bersamaan dengan RM18.40 sebulan. Pihak Disney+ Hotstar belum mengumumkan apakah harga langganan bulanan selepas tempoh tiga bulan ini. Berikut ialah harga langganan beberapa platform lain di Malaysia.

  • Amazon Prime – RM25 sebulan
  • Apple TV+ – RM19.90 sebulan/RM199.90 setahun
  • Curiosity Stream – dari RM12.40 sebulan
  • HBO Go – RM34.90 sebulan
  • Mubi – RM15
  • Netflix – RM17 – RM55 sebulan
  • Viu – RM10

Dengan 10 soalan telah terjawab. Mungkin kini anda boleh melakukan pilihan lebih bijak sebelum melanggan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd