Pandang Pertama Huawei MatePad Pro 12.6″ – Lebih Harmony Dengan OS Terbaru

Diterbitkan pada Jun 4, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Setelah sekian lama dijanjikan, HarmonyOS 2.0 diumumkan secara rasmi malam semalam. Menerusi iterasi terkini HarmonyOS, sistem operasi kendiri dari Huawei kini menyokong telefon pintar dan tablet selepas sebelum ini hanya menyokong skrin pinter seperti Vision S. Huawei menjanjikan pengalaman penggunaan peranti yang lebih pantas serta sokongan ekosistem yang lebih meluas menerusi satu sistem operasi untuk semua.

Di Malaysia peranti HarmonyOS 2.0 pertama yang akan dipasarkan bukanlah sebuah telefon pintar sebaliknya adalah tablet Huawei MatePad Pro 12.6″ yang turut dilancarkan semalam. Kami telah diberikan akses kepada tablet ini sehari awal dan berikut adalah pendapat kami mengenai lembaran baru ekosistem Huawei dalam bentuk sebuah tablet profesional.

Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei MatePad Pro 12.6″
Skrin12.6″ OLED, 2560 x 1600  pixel
PemprosesHiSilicon Kirin 9000E
Cip1 x 3.13 GHz Cortex-A77
3 x 2.54 GHz Cortex-A77
4 x 2.05 GHz Cortex-A55
Cip GrafikARM Mali G-78
RAM8 GB RAM LPDDR5
Muatan Dalaman256GB (NM card 256GB)
Kamera Utama13 +8 Megapixel +3D ToF, f/1.8+f/2.4
3D TOF
Kamera Swafoto8MP f/2.0
Bateri10050 mAh
Pengecasan berwayar 40W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCTiada
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan Wajah
Harga JualanBelum diumumkan

Skrin

Ini ialah tablet mercu dari Huawei yang bersaing secara terus dengan iPad Pro dan Samsung Galaxy Tab S7+. Oleh itu skrin 12.6″ OLED dengan resolusi 2560 x 1600 pixel digunakan. Ia walau bagaimanapun sekadar menyokong kadar segar semula 60Hz sahaja pada waktu ini. Bezel skrin adalah agak besar tetapi tidak membuatkan peranti kelihatan buruk kerana sekata.

Isu kami ialah nisbah skrin 16:10 yang digunakan. Ini ialah nisbah yang munasabah pada sebuah telefon pintar tetapi tidak pada tablet. Menggunakannya pada kedudukan menegak adalah amat canggung kerana terlalu memanjang.

Kekurangan lain MatePad terserlah di sini kerana iPad Pro dan Tab S7+ kedua-duanya telah menyokong skrin 120Hz. Persamaan yang ada adalah sokongan stylus secara terbina. Huawei M Pencil generasi kedua boleh digunakan pada skrin MatePad Pro dengan kemampuan mengesan 4096 tahap tekanan, mengesan sendeng dan kawalan tap sisi untuk mengawal aplikasi.

Perkakasan

Pemproses yang digunakan ialah Kirin 9000E (5nm)yang merupakan cip seakan Kirin 9000 (yang digunakan pada Mate 40 Pro) tetapi dengan teras NPU yang lebih rendah serta GPU dengan 2 teras dikurangkan. Dengan cip ini pemprosesan tahap mercu dapat dinikmati pengguna dan dipadankan pula dengan 8GB RAM dan storan sehingga 256GB. Jika ini tidak memadai penambahan storan menerusi kad NM boleh dilakukan.

Tri-kamera diletakkan dalam sebuah bonggol yang bersaiz sederhana. Sensor 13 MP dipadankan dengan sensor 8MP ultra sudut lebar dan sebuah sensor 3D ToF. Pada bahagian hadapan pula kamera 8MP digunakan. Sensor ini disorokkan pada bezel peranti yang kami katakan agak besar beberapa perenggan di atas.

Bingkai logam dengan sisi yang dibulatkan adalah selesa untuk dipegang. Peranti kelihatan premium walaupun panel belakang menggunakan bahan polikarbonat. Butang kuasa diletakkan pada bahagian sisi kanan dengan butang laras audio pada bahagian atas. Kedua-duanya diperbuat daripada logam dengan binaan yang tegap.

Terdapat kemasan warna merah pada butang kuasa yang memudahkan butang dicari.Peranti yang kami gunakan mempunyai tubuh berwarna hitam memang agak sukar mencari butang kuasa dan laras audio jika tanda ini tidak diletakkan.

Lapan pembesar suara yang ditala Harman Kardon digunakan dengan empat pada setiap sisi dengan kekisi yang bersaiz besar. Sistem audio Histen 7 disertakan bagi menawarkan pengalaman audio yang kuat. Sejak halangan perdagangan dikenakan, Huawei tidak lagi boleh menyertakan sistem audio Dolby Atmos pada peranti mereka. Walaupun lapan pembesar suara boleh diberikan, Huawei tidak mempunyai ruang untuk sebuah bicu audio 3.5mm. Mengecewakan tetapi ini selari dengan apa yang dilakukan oleh Huawei pada telefon pintar keluaran mereka.

Jika sambungan berwayar perlu bagi anda, ini boleh dilakukan menerusi port USB-C pada sisi kanan. Port ini digunakan untuk mengecas bateri gergasi 10050 mAh dengan sokongan pengecasan sehingga 40W. Ia turut boleh dicas secara nirwayar dengan output 27W dan melakukan pengecasan berbalik 10W. Sebuah pengecas dan wayar disertakan dengan setiap pembelian. Tiada isu perlu berbelanja lebih untuk menikmati pengecasan terpantas berlaku di sini.

Penggunaan Dan Perisian

Bintang utama MatePad Pro ialah sistem operasi HarmonyOS 2.0 yang buat pertama kalinya digunakan pada sebuah tablet. Sekilas pandang dapat dilihat beberapa perubahan dilakukan pada antaramuka berbanding EMUI berasaskan Android sebelum ini.

Pertama sekali ialah terdapat dermaga untuk pintasan pantas kepada aplikasi pilihan dan aplikasi yang telah dibuka. Ia mengingatkan kami kepada dermaga yang digunakan pada macOS Big Sur. Sehingga empat aplikasi yang dibuka boleh dipaparkan pada dermaga ini untuk membukanya dengan pantas tapi mengakses skrin multi-tugas.

Skrin multi-tugasnya pula amat mirip dengan iPadOS 14 dimana aplikasi disusun dalam grid 3×2. Aplikasi boleh dibuka dalam tetingkap kecil untuk memudahkan lagi penggunaan lebih dari satu aplikasi serentak atau menggunakan mod multi-window yang menyokong dua aplikasi serentak dengan skrin dibahagi dua. Saiz skrin boleh diubah mengikut keperluan. Dengan kata lain penggunaan HarmonyOS 2.0 pada MatePad adalah menyerupai penggunaan pada sebuah iPad.

Sebagai pengguna iPad kami tidak merasakan ini adalah sesuatu yang negatif kerana dalam bahasa Inggeris ada pepatah “mengajuk itu adalah bentuk pujian yang paling rendah”. iPad berjaya kerana perisiannya dan tak salah jika HarmonyOS 2.0 mengambil inspirasi dari sistem operasi tablet terbaik di pasaran sekarang.

Tak berakhir di situ, talam notifikasi juga boleh dilihat dengan menatal bucu atas kiri dan talam tetapan pula dengan menarik dari bucu atas kanan. Rekaan antaramuka mengekalkan elemen dari EMUI 11 tetapi dengan menambah ciri mirip Control Center iPadOS. Hasilnya ialah antaramuka yang mudah digunakan, mudah difahami dan tidak mengelirukan sekiranya anda seperti saya sudah masak dengan penggunaan iOS dan iPadOS.

HarmonyOS juga meminjam beberapa elemen dari Android 11 dengan memperkenalkan ciri kawalan setempat pelbagai peranti pintar, aksesori dan peranti berhubung yang dimiliki. Aksesori seperti fon telinga dan stylus M Pencil akan dapat dilihat terus dari talan pintasan pantas. Kami tidak mempunyai lebih dari satu peranti HarmonyOS pada waktu ini dah tidak dapat menguji ciri-ciri baharu yang diperlihatkan Huawei ketika pelancaran sistem operasi ini pada Rabu yang lalu.

Adakah ia benar-benar lebih pantas berbanding EMUI 11 dengan Android? Ikhlas kami katakan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Penggunaan adalah sama sahaja seperti menggunakan Mate 40 Pro yang dilengkapi cip dengan kuasa pemprosesan setanding (Kirin 9000). Aplikasi dilancarkan dengan pantas, mudah, tanpa masalah dan sokongan yang lebih baik menerusi Petal Search.

Kami menyedari apabila aplikasi tidak ditawarkan di App Gallery, pautan terus ke Petal Search kini diberikan. Dahulu jika aplikasi tidak dijumpai (seperti Netflix, Twiter dan Spotify) kami perlu keluar dari App Gallery sebelum sekali lagi melakukan carian dari Petal Search. Sesuai dengan nama HarmonyOS, App Gallery dan Petal Search kini berharmoni untuk memudahkan pengguna.

Keharmonian diteruskan dengan aplikasi yang dahulunya tidak berfungsi dengan baik atau dihalang kini boleh digunakan dengan lebih baik. Kejutan pertama ialah Netflix boleh digunakan pada HarmonyOS walaupun APK sistem operasi Android dimuat turun dari Petal Search. Semua video boleh dimainkan dan lengkap dengan sokongan Google Chromecast.

Ini adalah perkara yang cukup tidak kami sangka kerana sebelum ini ciri Cast milik Google ini dihalang sama sekali. Seperkara lagi penstriman di Netflix terhad kepada SD sahaja kerana tiadanya sokongan DRM Widevine L1 yang diperlukan. Turut hilang ialah sokongan HDR. Pada waktu ini kami bergembira aplikasi boleh digunakan dan tidak peduli jika sokongan penuh tidak boleh diaktifkan.

Masih ada beberapa kekurangan iaitu aplikasi Google yang memerlukan GMS masih tidak boleh digunakan langsung. Ini tidak dapat dielakkan selagi Amerika Syarikat enggan menarik sekatan ekonomi ke atas Huawei yang kini memasuki tahun ketiga.

Seperti dalam ulasan Mate 40 Pro kami tahun lalu, Huawei Mobile Services kini sudah semakin baik dengan pelbagai aplikasi alternatif berfungsi dengan baik. Perasaan terseksa kerana tiada sokongan aplikasi tidak lagi berulang dan sebenarnya semakin baik tahun demi tahun.

Stylus M Pencil

Stylus M Pencil generasi kedua tidak lagi memerlukan sambungan berwayar untuk ditambat kepada tablet. Sebaliknya ia diaktifkan sejurus selepas ia dilekapkan kepada dermaga magnet pada sisi peranti. Dengan pengecasan penuh M Pencil boleh beroperasi sehingga 1 jam. Perubahan lain terletak pada sensor yang kini mengesan tap pada bahagian tubuh. Sekali lagi inspirasi diambil dari Apple Pencil. Selain itu bahagian kepala M Pencil kini lutsinar dengan saduran platinum yang membuatkannya lebih tahan lasak.

Sokongan mengesan 4096 tahap tekanan dan sudut sendeng ketika digunakan dikekalkan tanpa sebarang perubahan. Kerana tubuh yang lebih bersegi, stylus tidak mudah bergolek apabila diletakkan di atas meja. Tetapi stylus masih lagi selesa di dalam tangan ketika digunakan kerana saiznya yang sama dengan sebatang pensel sebenar.

Kami tidak mempunyai superbakat seni seperti Sakuragi tetapi kami mendapati M Pencil adalah stylus yang setanding dengan Apple Pencil dan S Pen. Tiada sela masa ketika melukis dan pengesanan tekanan juga amat baik. Isu sekarang hanyalah sokongan aplikasi. Banyak aplikasi Adobe misalnya tidak disokong oleh cip Kirin 900E. Tanpa aplikasi perkakasan yang baik adalah tidak berguna.

Jadi ini mungkin sebab mengapa MatePad Pro 10.8″ telah dilancarkan semula dengan cip Snapdragon 870. Walaupun tidak secara rasmi boleh dimuat turun menerusi App Gallery, pengguna masih mempunyai pilihan memuat turun dari Petal Search.

Smart Magnetic Keyboard

Aksesori Smart Magnetic Keyboard menambah papan kekunci fizikal kepada MatePad Pro. Sambungan dilakukan dengan magnet dengan tambatan secara bluetooth. Ya sambungan secara bluetooth. Papan kekunci mengambil kuasa menerusi sistem pengecasan nirwayar yang disokong oleh Matepad.

Proses tambatan adalah mudah dengan tablet mengesan papan kekunci sejurus selepas ia disambungkan. Kekunci yang digunakan mempunyai pergerakan menegak yang selesa untuk menaip cuma kami rasakan ianya terlalu lembut dengan pergerakan yang sedikit kurang sekata. Walaupun ia membenarkan dua sudut menaip dipilih, ia masih belum cukup memuaskan bagi kami untuk MatePad menggantikan sebuah komputer riba. Tambahan lagi tiada trackpad disertakan.

Sebagai seorang insan yang memasuki dekad ke-empat hidup di muka bumi, kami masih memerlukan trackpad untuk bekerja. Perpindahan ke sistem skrin sepenuhnya masih belum boleh kami lakukan dengan selesa. Satu lagi isu yang kami ada dengan papan kekunci ini ialah kemasan plastiknya kurang premium tidak selari dengan kemasan MatePad yang jauh lebih baik.

Kesimpulan

Huawei MatePad Pro 12.6″ ialah tablet Huawei terbaik pernah kami gunakan setakat ini. Perkakasan dengan spesifikasi tinggi dipadankan dengan skrin yang mantap dan akhirnya perisian yang berharmoni dengan kesemua komponen yang digunakan. Isu kekurangan aplikasi menggunakan HMS sudah berjaya diselesaikan sebanyak 90%.

Pelbagai aksesori yang ditawarkan juga setanding dengan yang dihasilkan oleh pesaing. Hanya papan kekunci sahaja yang mempunyai kemasan plastik kurang premium, tiada trackpad dengan papan kekunci yang terlalu lembut. Huawei perlu mengkaji binaan Magic Keyboard iPad sekiranya mereka ingin benar-benar menghasilkan tablet yang boleh menggantikan sebuah komputer riba.

Masih terlalu awal untuk memberikan kata putus sama ada MatePad Pro 12.6″ ialah tablet yang perlu dimiliki terutamanya di era pandemik. Tetapi pengalaman menggunakannya selama dua hari memberikan petanda positif. Nantikan ulasan penuh dalam masa terdekat.

Pro

  • Kemasan yang premium nipis menarik untuk dilihat.
  • Kombinasi pemproses, RAM dan storan yang baik berkuasa.
  • Skrin yang terang walaupun di bawah cahaya matahari yang terik.
  • Sokongan M Pencil yang baik.
  • Saiz bateri yang besar.
  • Perisian HarmonyOS 2.0 yang lebih matang khusus untuk tablet.

Kontra

  • Cip Kirin 9000E tidak disokong sesetengah aplikasi.
  • Tiada GMS masih adalah isu besar bagi kebanyakan pengguna.
  • Tiada bicu audio walaupun saiz peranti yang besar.
  • Aksesori papan kekunci kurang memuaskan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami