Infinix telah merancakkan pasaran peranti pintar di Malaysia dengan kehadiran beberapa model berbeza. Ini termasuklah Infinix Smart 5, Infinix Hot 10, Infinix Note 8 dan Infinix Note 8 Mobile Legends Edition. Malah baru-baru ini, mereka juga hadir dengan dua lagi peranti pintar baharu iaitu Infinix Note 10 dan Note 10 Pro dilancarkan serentak untuk beberapa pasaran luar.
Dalam perkembangan terkini, terdapat laporan yang mendakwa Infinix sedang membangunkan peranti yang berupaya menyokong pengecasan pantas mencecah 160W. Informasi ini diperoleh menerusi laporan terkini xda-developers yang berkongsi satu foto memaparkan rekaan pengecas 160W dengan penjenaaman Infinix. Turut kelihatan, teknologi berkenaan mungkin akan dikenali sebagai 160W Infinix Ultra Flash Charge kelak.
Tapi sayangnya, tiada sebarang butiran lanjut yang dikongsi oleh sumber berkaitan peranti Infinix dengan sokongan pengecasan pantas ini. Bahkan, pihak Infinix sendiri juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan ini.
Justeru itu, adalah lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat yang dikongsi ini masih di peringkat ura-ura. Akan tetapi jika ianya benar, ia bakal menjadi antara peranti yang menyokong pengecasan jauh lebih pantas berbanding kebanyakan peranti Android lain di pasaran ketika ini.
Sumber : xda-developers