Pembatasan sosial, pemakaian pelitup muka dan membaca suhu tubuh dengan kerap adalah norma baharu kehidupan seharian dunia yang masih diserang wabak. Norma baharu perlu dicipta bagi mengurangkan risiko penyebaran virus yang telah meragut lebih 6000 nyawa di Malaysia dan lebih 4,000,000 nyawa pula di peringkat global. Oleh sebab itu satu tradisi yang telah dilakukan sejak acara pertama sukan Olimpik moden perlu dihentikan untuk temasya tahun ini.
Di Sukan Olimpik 2020 Tokyo yang akan berlangsung seminggu dari sekarang, pemenang acara tidak lagi akan disarungkan pingat di podium. Sebaliknya pingat akan diletakkan di dalam talam dan pemenang mengambilnya sendiri sebelum menyarungnya ke leher. Keputusan diambil oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa selepas mengambil kira keselamatan atlit di kesemua 399 acara yang dipertandingkan tahun ini.
Langkah keselamatan tambahan lain yang diambil ialah pemakaian sarung tangan oleh pemberi pingat, larangan bersalaman dan berpeluk oleh pemenang ketika acara pemberian pingat. Kelainan acara tahun ini juga adalah tiada penonton dibenarkan di stadium kerana Tokyo kini sedang menjalani tempoh penutupan penuh.
Bagi memberikan sokongan kepada atlet, audio dari acara Olimpik terdahulu akan disiarkan di sistem audio stadium dan peminat boleh menghantar klip video selama enam saat yang dimainkan pada skrin di stadium.
Sukan Olimpik 2020 sepatutnya menjadi acara paling canggih dan mesra alam pernah dilangsungkan. Kesemua pingat dihasilkan dengan mengitar semula sisa elektronik, acara dipancarkan pada resolusi 8K dan penggunaan robot untuk membantu atlet di perkampungan sukan. Seperti biasa manusia hanya boleh merancang tetapi tuhan yang menentukan.
Sumber AP