Oppo adalah syarikat pertama yang memperkenalkan teknologi kamera bawah skrin atau USC. Mereka memperlihatkan konsep peranti dengan teknologi ini sejak dua tahun lepas lagi, tetapi sehingga hari ini masih tiada peranti komersil yang dilancarkan.
Peranti yang dikatakan Oppo Ace3 sebelum ini juga entah hilang ke mana? Seperti yang dilaporkan semalam, hari ini Oppo telah memperlihatkan generasi baharu teknologi USC ini.
Melalui generasi baharu ini, Oppo berjaya mengecilkan setiap piksel tanpa mengorbankan jumlah piksel pada paparan agar kadar 400-ppi kekal untuk menjami kualiti skrin terbaik. Sama seperti sebelum ini, mereka menggunakan konsep dwi-skrin pada bahagian sensor kamera. Cuma saiz pendawaian adalah 50% lebih kecil daripada skrin biasa.
Oppo turut menggunakan teknologi satu-ke-satu piksel dengan bantuan algoritma perisian tersendiri untuk mengelak isu tunaksrin dan menambah jangka hayat kepada 50% lebih lama berbanding teknologi generasi awal. Secara tidak langsung beza kecerahan dan warna di antara panel skrin utama dan pada USC adalah 2% sahaja dan mata pengguna sukar untuk membezakannya.


Perisian mereka yang mengintegrasikan sistem kecerdasan buatan juga boleh membatu imbangan putih auto (AWB) dan kadar dinamik tniggi (HDR) pada kamera kekal baik dan mempunyai kualiti swafoto yang berkualiti tinggi.
Buat masa ini Oppo tidak berkongsi lagi peranti apakah yang akan menggunakan teknologi ini. Dengan Oppo Find X iaitu peranti mercu mereka generasi baharu belum dilancarkan lagi, kita boleh jangka yang Oppo mungkin menawarkan teknologi ini pada peranti mercu atau mungkin pada peranti dalam siri baharu. Sama-sama kita nantikan.
