Cari @ Amanz

Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Fold3 – Percubaan Ketiga Untuk Lebih Sempurna

Link Copied!

Adakah peranti boleh-lipat masih lagi relevan di dalam dunia telefon mudah alih moden? Samsung masih merasakan terdapat pasaran untuknya dan beberapa hari yang lalu melancarkan Samsung Galaxy Z Fold3 dan Samsung Galaxy Z Flip3 secara serentak. Strategi yang cukup berani kerana sebelum ini siri Flip dilancarkan di awal tahun dengan Fold pula pada penghujung tahun bagi mengelakkan pertindanan.

Ketika artikel ini ditulis, pasaran peranti boleh-lipat masih lagi kecil dengan hanya Samsung, Motorola, Royole dan Huawei menghasilkan peranti yang boleh dibeli. TCL dan Oppo masih lagi di peringkat prototaip dengan tiada petanda ia akan dipasarkan dalam masa terdekat.

Saya bernasib baik keran Samsung Malaysia menghantar seunit Z Fold3 untuk diulas oleh Amanz. Dengan harga dan tarikh jualan belum lagi diumumkan untuk negara kita yang tercinta ini. Adakah interasi ketiga Galaxy Z Fold adalah kemas kini yang baik serta akhirnya akan menjadikan skrin boleh-lipat sebagai the next form factor? Ini pandang pertama saya untuk Z Fold3.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Fold3
SkrinLuar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
PemprosesQualcomm Snapdragon 888 (5nm)
Cip1 X 2.84 GHz Kryo Prime 680
3 X 2.42 GHz Kryo Gold 680
4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680
Cip GrafikAdreno 660
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama12+12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4+f/2.2, Zum optikal 2X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman10MP f/2.2 / 4MP f/1.8 UDC
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 11W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM 7619* (dari USD)

Skrin

Mustahil untuk memulakan perbualan mengenai Z Fold3 tanpa menyentuh mengenai skrinnya terlebih dahulu kerana ialah adalah sebab utama mengapa ia dihasilkan. Skrin luar masih lagi sebesar 6.2″ Dynamic AMOLED 2X yang lebih tinggi dari lebar. Ia mengingatkan saya kepada nisbah skrin Xperia 1 II yang pernah diulas sebelum ini.

Masih terasa terlalu panjang dan pipih untuk digunakan sepanjang masa. Sejak dari Fold pertama lagi saya hanya menggunakan skrin sekunder ini untuk membaca mesej, WhatsApp dan Waze ketika memandu. Masih tiada pemegang telefon dihasilkan untuk siri Z Fold walaupun sudah tiga tahun maka ia hanya boleh digunakan dalam mod tertutup pada waktu ini ketika memandu.

Skrin masih lagi bersaiz sama tetapi akhirnya dipertingkatkan dengan sokongan kadar segar semula 120Hz secara adaptif. Tahun lalu perbezaan skrin luar 60Hz dan skrin dalam 120Hz menjadi isu di kalangan sesetengah pengulas. Saya secara peribadi tidak merasakan ini adalah isu besar kerana jarang sekali menggunakan skrin luar berbanding dalam.

Masih wujud lubang tetapi secara keseluruhan skrin luaran ini adalah cantik dengan paparan warna yang tepat. Tiada isu untuk menggunakan di luar juga kerana panel AMOLED Samsung terbaik di pasaran sehingga boleh digunakan di bawah cahaya mentari Malaysia yang terik.

Skrin dalaman ialah hero sebenar siri Z Fold3. Saiz juga dikekalkan 7.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz adaptif. Lapisan UTG kembali bagi mengelakkan calar dengan mudah tetapi Samsung masih belum mampu menghilangkan kesan lipatan yang ketara. Jika anda macam saya sudah menggunakan mod gelap sepanjang masa, lipatan skrin tidak kelihatan begitu nyata. Ketika menonton video juga ia berjaya disorokkan oleh visual yang sedang ditonton pada skrin.

Tetapi adalah amat jarang sekali Samsung tidak memperbaiki isu yang menjadi rungutan pengguna sejak tiga tahun lalu. Selepas tiga iterasi peranti Z Fold dan tiga lagi iterasi pada siri Z Flip lurah dendam skrin masih wujud. Tambah aneh apabila anda melihat Huawei sudah menghapuskan isu lipatan ini dalam masa hanya dua tahun. Skrin Huawei Mate X2 bukan sahaja tidak mempunyai sebarang kesan lipatan tetapi juga lebih besar.

Sebagai syarikat yang mempunyai reputasi menggunakan teknologi yang paling terkini, canggih dan terbaik kewujudan lipatan skrin pada Z Fold3 adalah agak membingungkan. Lebih membingungkan ialah penggunaan teknologi kamera bawah skrin (UDC) yang juga terkebelakang. Saya faham mengapa lubang kamera swafoto digantikan dengan UDC tetapi implementasinya pada Z Fold3 menunjukkan ia masih belum bersedia untuk prime time.

Memang skrin kini boleh digunakan secara menyeluruh tanpa cela lubang tetapi mata saya tak boleh tidak melihat kamera masih belum dapat disorokkan sepenuhnya. Pada latar belakang putih nampak perbezaan warna yang ketara berbentuk bulat pada skrin.

Ketika menonton video ia tidak begitu ketara kerana imej yang sentiasa bergerak tetapi ketika melayari web, menggunakan Twitter dan Instagram misalnya lubang kamera ini sedikit mengganggu. Xiaomi dan ZTE membuktikan kamera sudah boleh disorokkan dengan baik pada peranti mereka tahun ini. Samsung gagal melakukannya saya rasakan adalah mengecewakan.

Cukup pembantaian skrin boleh-lipat pada waktu ini kerana sebenarnya ia skrin yang cantik dan sedap mata memandang. Lebih terang sehingga 20% berbanding tahun lalu dan paparan warna HDR10+ yang mantap. Tiada isu color-banding dan imej tidak tajam pada skrin ini. Kandungan resolusi tinggi nampak hidup dan cukup menawan. Dari sudut pandangan insan yang banyak menonton video pada skrin peranti, skrin dalaman Z Fold3 lulus periksa dengan lima bintang.

Yang tidak menerima bintang ialah apabila digunakan di luar. Skrin hadapan saya puji kerana imej masih dapat dilihat terang tetapi pisang tidak berbuah dua kali pada skrin dalaman. Masih sedikit sukar menggunakan skrin dalaman di bawah cahaya matahari yang terik. Selepas sehari menggunakan dapat dilihat isu seperti Z Fold2 tahun lalu.

Penambahbaikan keterangan dapat dilihat tetapi kita bercakap mengenai peranti Samsung di sini yang tahun demi tahun diberikan pujian dari segi keterangan di bawah cahaya matahari terik. Apabila palang prestasi tinggi yang ditetapkan mereka sendiri ini tidak berjaya dipenuhi, rasa seperti rakyat Singapura kecewa dengan Joseph Schooling yang gagal layak ke final renang di Olimpik Tokyo tempoh hari.

S Pen

Selain kemampuan kalis air untuk julung kalinya, sokongan S Pen juga diberikan sekali bagi mengubati kerinduan penungguan siri Note. Ada berita baik dan buruk untuk peminat siri Note ingin saya sampaikan. Berita baik ialah sokongan stylus yang diberikan adalah setanding seperti pada siri Note. Namun begitu anda perlu membeli S Pen Pro yang hadir dengan sokongan bluetooth. Sokongan gestur dan kawalan tambahan hanya boleh dinikmati pada S Pen Pro.

Terdapat juga S Pen Fold Edition yang mempunyai mata pena bergetah dan sistem penyerap tekanan menggunakan spring. Untuk mengelakkan skrin boleh lipat dari mengalami kerosakan, dua sistem ini diperkenalkan. Malang sekali jika anda ingin menggunakan S Pen dari siri Note, Z Fold3 tidak akan mengesannya langsung. Malah amaran dipaparkan pada skrin supaya tidak menggunakannya bagi mengelakkan kerosakan yang serius.

Satu lagi perkara yang perlu disentuh ialah sokongan S Pen tidak diberikan pada skrin luar dan S Pen tidak disimpan secara terbina pada tubuh Z Fold3. Sebaliknya sebuah kerangka khas perlu dibeli secara berasingan.

Rekaan

Rekaan tahun ini lebih rata, padat, nipis dan tahan lasak. Dengan sisi yang rata memegang peranti terasa lebih sedap dan selamat di dalam tangan. Tiada lagi phobia peranti terjatuh kerana sisi bulat yang digunakan sebelum ini adalah agak licin. Ini dipadankan lagi dengan warna hitam matte yang tidak licin. Permukaannya terasa lebih kasar seperti Phantom Black Galaxy S21 Ultra yang saya juga sempat ulas awal tahun ini.

Samsung mengubahsuai lagi bahagian engsel bagi membolehkan peranti diutup lebih nipis sekitar 0.8mm. Bukanlah perbezaan ketebalan yang drastik tetapi berjaya membuatkan peranti terasa lebih selesa disimpan di dalam poket seluar. Tiada lagi perasaan seperti sedang menyimpan bekas penyimpan alat tulis yang digunakan oleh kanak-kanak sekolah.

Dengan rekaan baharu, peranti akhirnya diberikan kemampuan kalis air IPX8 yang amatlah diperlukan. Samsung Galaxy Z Fold3 dan Z Flip3 adalah dua peranti boleh lipat pertama yang berjaya melepasi piawaian ini. Ia boleh dibenamkan di dalam air sehingga 30 minit dan sehingga 1.5 meter tanpa masalah. Saya tidak mencubanya sendiri kerana peranti sekadar dipinjam dan sebarang kerosakan (jika berlaku) perlu ditanggung sendiri.

Butang kuasa dan laras suara masih lagi di kedudukan yang sama iaitu di ‘sayap’ kanan peranti. Kedua-duanya diperbuat daripada logam yang kukuh. Pengimbas cap jari fizikal terbina pada butang kuasa yang bersaiz besar. Ia mengimbas cap jari dengan pantas walaupun sekiranya ia basah. Satu fakta yang tidak ingin diakui oleh pengeluar peranti ialah pengimbas cap jari fizikal masih lebih pantas berbanding pengimbas bawah skrin dan wajah. Ia mungkin dianggap kuno tetapi masih sesuai digunakan pada Z Fold kerana rekaan peranti yang unik.

Sementara itu dua kekisi audio stereo diletakkan pada bahagian atas dan bawah peranti. Speaker adalah cukup besar dengan sokongan audio Dolby Atmos. Samsung masih percaya sepasang speaker adalah mencukupi walaupun Mi MIX Fold yang dilancarkan Mac lalu dilengkapi empat speaker.

Dari segi spesifikasi pula pemproses Qualcomm Snapdragon 888 dipadankan dengan memori 12GB LPDDR5 RAM dan storan sehingga 512GB. Pengguna di Malaysia tidak perlu risau wujud dua versi berbeza di pasaran seperti siri Galaxy S. Ini ialah cip yang kedua paling berkuasa di pasaran untuk platform Android tahun ini. Ura-ura penggunaan cip Exynos dengan GPU AMD dan Snapdragon 888+ nampaknya tidak berlaku. Namun begitu saya tidak melihat ini sebagai negatif kerana Snapdragon 888 masih lagi sebuah cip yang berkuasa tinggi.

Dipadankan dengan kamera utama dan luar yang spesifikasinya tidak berubah dari tahun lalu. Ya masih lagi kamera 12+12+12 MP di luar dengan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan telefoto 2X optikal dengan kamera hadapan 10MP. Perubahan dilakukan pada kamera dalam 4MP UDC yang lebih kecil berbanding 10MP tahun lalu. Ya sensor lebih kecil diberikan untuk memberikan rekaan skrin penuh sebenar. Tiada perubahan pada spesifikasi kamera cuma bonggol tahun ini lebih rendah berbanding tahun lalu.

Kesemua komponen yang berkuasa ini dimasukkan ke dalam tubuh bersaiz 158.2 x 67.1 x 14.4-16 mm apabila tertutup dan 1158.2 x 128.1 x 6.4 mm apabila dibuka dengan berat 271 gram. Z Fold3 adalah lebih kecil dan lebih ringan jika dibandingkan dengan Z Fold2.

Penggunaan Dan Perisian

Penggunaannya adalah sama seperti peranti lain di pasaran. Dalam posisi tertutup skrin utama kini cukup besar untuk melayari web dan menggunakan aplikasi media sosial. Tetapi seperti yang saya katakan beberapa perenggan di atas, nisbah skrin hadapan yang terlalu tinggi menjadikan laman kelihatan terlalu memanjang. Pada waktu yang sama kerana skrin hadapan masih terlalu runcing, proses menaip masih lagi tidak selesa bagi insan yang bertangan besar seperti saya. Saya rasakan nisbah menggunakan skrin besar kepada skrin kecil setakat ini ialah 85:15 kerana masih tidak berapa selesa.

Saya katakan ini dari seorang yang sudah menggunakan dua versi Fold yang terdahulu. Walaupun sudah ada pengalaman lampau, saya masih belum berjaya menggunakan skrin hadapan dengan selesa. Menggunakan skrin dalaman terasa semudah menggunakan sebuah tablet. Transisi menggunakan aplikasi skrin luar ke skrin dalam – Continuity Mode – kini semakin pantas dan lancar. Dibantu dengan kedua-dua skrin yang kini 120Hz.

Menatal terasa lancar. Apabila menjalankan jari pada bahagian tengah skrin masih dapat dirasakan longkang yang wujud di tengah-tengah. Selepas tiga tahun perasaan aneh tidak lagi dapat saya rasai tetapi bagi mereka yang belum pernah menggunakan Z Fold ia akan terasa agak canggung.

Samsung memberikan tumpuan yang lebih banyak pada perisian tahun ini dengan sokongan lebih banyak aplikasi pihak ketiga. Pengguna boleh membuka pautan dalam Samsung Internet pada skrin kedua menerusi mod multi-view. Aplikasi yang tidak direka khusus untuk Z Fold3 boleh dipaksa untuk menyokong Flex Mode sekarang. Isu kekurangan aplikasi diselesaikan dengan cukup mudah.

Ciri paling menarik bagi saya pastinya dermaga pada sisi kanan skrin. Ini ialah ciri yang kali pertama diperkenalkan oleh Xiaomi pada Mi MIX Fold. Sebuah dermaga aplikasi yang sudah dibuka dan aplikasi kegemaran boleh disematkan sentiasa di sisi kanan skrin. Ini menjadikan Z Fold3 berfungsi seperti sebuah komputer desktop DeX, macOS dan Windows 11. Bagi mereka yang gemar melakukan multi-tugas ini ciri yang perlu diaktifkan pada hari pertama pembelian kerana mempercepat dan mempermudahkan penggunaan pelbagai aplikasi serentak.

Aplikasi dari Spotify, Google dan Microsoft kini menggunakan skrin yang lebih besar dengan lebih baik. Dapat dilihat menu tambahan pada sisi skrin dalam photos dan YouTube mempamerkan dua lajur thumnail dalam aplikasi. Sebagai sebuah peranti hibrid sokongan ini amatlah diperlukan kerana kita tidak mahu apa yang terjadi pada tablet Android (kurangnya aplikasi spesifik tablet) berulang sekali lagi.

Kesimpulan

Percubaan ketiga lebih baik dengan pengenalan ciri-ciri yang diminta oleh pengguna Galaxy Fold dan Z Fold2. Saya hanya baru menggunakan peranti selama sehari dan dapat melihat perubahan ketara yang dilakukan khususnya pada rekaan yang lebih selesa dalam tangan dan perisian yang lebih konsisten pada aplikasi pihak ketiga.

Namun begitu masih ada kerisauan pada skrin yang masih menunjukkan lekuk lipatan sedangkan pesaing mereka telah menyelesaikannya. Juga sedikit kecewa dengan sokongan stylus yang bersyarat serta spesifikasi kamera yang dorman sejak tahun lalu.

Harga rasmi masih belum diumumkan oleh Samsung Malaysia tetapi pastinya lebih murah berbanding RM7999 tahun lalu kalau harga jualan di Amerika Syarikat (murah $200 berbanding Z Fold3) digunakan sebagai penanda aras. Jika dijual pada harga RM 7000 sekalipun, ia masih jatuh ke dalam kategori amat mahal kerana setanding dengan sebuah komputer riba premium berkuasa tinggi.

Tetapi Z Fold3 memang menyasarkan golongan yang tidak terkesan dengan pandemik dan tidak mahu berkompromi pada rekaan, penggunaan, spesifikasi dan perisian dari Samsung yang sudah cukup terkenal kualitinya.

Pro

  • Rekaan lebih kemas, nipis dan mantap di dalam tangan.
  • Kalis air IPX8
  • Sokongan S Pen juga buat pertama kali.
  • Spesifikasi mercu yang tidak mengecewakan.
  • Lebih banyak penambahbaikan pada perisian seperti yang diminta pengguna.
  • Perisian akan disokong sehingga 3 tahun.

Kontra

  • Skrin luar masih tidak boleh digunakan dengan selesa.
  • Kamera dalam UDC masih dapat dilihat pada sudut tertentu.
  • Sokongan S Pen bersyarat dengan stylus baharu sahaja.
  • Spesifikasi kamera tidak dipertingkat.
  • Pengecasan masih sekadar 25W.

Komen ()