Selepas bertahun lamanya menguji Fuchsia OS, akhirnya sistem operasi ini sedia digunakan oleh pengguna. Tetapi bukannya pada tablet, komputer atau telefon, sebaliknya terhad pada sebuah peranti sahaja – Google Home Hub atau nama baharu Google Nest Hub.
Paparan pintar yang dilancarkan pada tahun 2018 ini mula menerima kemaskini secara lebih meluas, menggantikan sistem operasi Chromecast dengan Fuchsia yang lebih stabil. Sayang sekali, perubahan ini hanyalah pada asas sahaja dan dalam ujian saya sendiri – langsung tiada beza dengan versi lama.
Antara sebab sistem ini digunakan dikatakan adalah untuk penggunaan sambungan piawaian Matter lebih lancar dan memberi sokongan lebih baik pada produk seperti ini. Dengan permulaan baharu ini dan Android 12 yang masih baru, nampaknya lambat lagilah untuk kita cuba Fuchsia pada sesebuah telefon.
Apa-apa pun cukup menarik untuk melihat projek Google yang bertahun lamanya menjadi realiti dan tidak terkubur (harapnya). 1.52.260996 adalah versi sistem pada Nest Hub yang menggunakan Fuchsia. Anda boleh semak kemaskini melalui aplikasi Google Home.