Carian
Prototaip Senjata Laser Untuk Tentera A.S Diletakkan pada Kenderaan Stryker
August 19, 2021 Effi Saharudin

Tentera Amerika Syarikat telah memulakan program pembangunan senjata laser pada kenderaan dan pesawat sejak 2014. Bermula dengan HEL MD yang sebesar trak, sistem senjata laser kini cukup kecil sehingga boleh diletakkan pada kenderaan berperisai. Minggu lalu prototaip pertama sistem senjata Directed Energy-Maneuver Short-Range Air Defense (DE M-SHORAD) telah diuji pada kenderaan berperisai Stryker.

DE M-SHORAD direka untuk menangkis serangan mortar, roket, artileri dan menembak jatuh dron yang berlegak di udara. Sistem laser dilihat sebagai penyelesaian paling baik kerana kos ‘sebutir peluru’ laser adalah sekitar $1 sahaja. Ia turut menembak dengan lebih pantas dan tepat berbanding sistem sedia ada.

Dalam ujian yang dilakukan, krew diuji untuk bertindak balas dengan serangan secara maya. Berdasarkan maklum balas krew, sistem kawalan alat permainan video digunakan kerana ia lebih mudah digunakan. Langkah seterusnya untuk program ini ialah membangunkan empat lagi DE M-SHORAD untuk ujian fasa seterusnya.

Selain DE M-SHORAD, senjata laser HELWS diuji oleh Tentera Udara A.S pada kenderaan pacuan empat roda dan helikopter Apache dan SHiELD pula dibangunkan untuk kegunaan pesawat tempur.

Sumber Army.MIL menerusi New Atlas

Komen