Fossil Gen 6 Tertiris – Dijana Snapdragon Wear 4100+ Dan Menjalankan Wear OS 3

Diterbitkan pada Ogos 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jam tangan pintar dengan sistem operasi Wear OS baharu hanya boleh didapati pada Galaxy Watch 4 sahaja buat masa ini. Tetapi Wear OS 3 pada jam Samsung ini adalah Wear OS Powered by Samsung, kerana dioptimasikan untuk One UI dengan pelancar One UI Watch.

Pengguna yang sedia memiliki jam Wear OS dukacitanya masih tiada berita baik bilakah kemaskini ini akan diedarkan. Tetapi Fossil Gen 6, iaitu generasi baharu jam Wear OS mereka akan menjalankan sistem operasi serba baharu ini. Butiran penuh jam ini telah didedahkan oleh WinFuture dan ia dilihat mungkin akan menjadi jam Wear OS paling berkuasa setakat ini – kalau tiada isu biasa yang dihadapi pada jam-jam Fossil seperti sebelum ini.

Wear OS 3 yang baharu ini adalah berasaskan Android 11 dan akan sedia menyokong pelbagai aplikasi Google baharu. Skrin jam ini adalah 1.28-inci OLED, dijana Snapdragon Wear 4100+, dengan storan dalaman 8GB, sokongan GPS, perlindungan daripada air sehingga 50 meter, serta bateri yang boleh bertahan sehingga beberapa hari tetapi tiada tiada dwi-skrin seperti TicWatch 3 Pro GPS untuk penjimatan bateri.

Fungsi membaca SpO2, nadi, kira jarak langkah, pemantauan tidur dan lain-lain akan dikekalkan seperti biasa. Jam ini akan hadir dengan dua saiz sama ada 42mm atau 44mm dengan tali jam besi, kulit atau fabrik. Ia dilihat akan dijual pada harga €299 dan €329 iaitu sekitar RM1481/RM1986. Fossil Gen 6 ini dikatakan akan dilancarkan pada 27 September akan datang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami