Google Pixel diperkenalkan sejak 2016 dan dengan Pixel 6, ia telah menjadi peranti Pixel generasi ke sembilan selepas Pixel, Pixel 2, Pixel 3, Pixel 3a, Pixel 4, Pixel 4a, Pixel 5 dan Pixel 5a. Kesemua lapan sebelum peranti baharu dengan cip Google Tensor ini termasuk Google Pixel 5a masih menggunakan kuasa pengecasan pantas asas 18W.
Antara sebabnya adalah untuk kesihatan bateri dan menepati piawaian standard USB-PD. Tetapi kita tahu USB-PD juga sudah semakin berkembang maju dan ketahanan bateri juga sudah semakin baik. Untuk Pixel 6 dan Pixel 6 Pro, kedua-dua peranti ini dikhabarkan akan menyokong pengecasan pantas 33W.
Pixel 5a mempunyai kapasiti bateri paling besar dalam sejarah peranti Pixel, untuk Pixel 6 dan Pixel 6 Pro kapasitinya masih menjadi misteri dan dikhabarkan adalah sekitar 4500-5000mAh. Kuasa 33W pun boleh dikatakan masih perlahan dan lembab, kerana majoriti pesaing sudah beralih ke 45W sehingga 120W.
Adakah anda bersetuju Google kekal dengan kuasa pengecasan rendah agar kesihatan bateri terjamin? Atau itu hanya sekadar alasan?