Cari @ Amanz

Wear OS tidak dinafikan adalah sistem operasi jam tangan pintar yang bagus, sekurang-kurangnya perubahan ini mula disedari sejak Wear OS 2.0 dan menjadi semakin baik selepas Wear OS 3.0 diumumkan. Sayang sekali, cara Google mengedarkan kemaskini kepada jam tidak seperti telefon pintar.

Wear OS 3.0 buat masa ini terhad pada Galaxy Watch4, itu pun adalah versi Wear OS Powered by Samsung dengan One UI Watch di atasnya. Menjadikan jam ini lebih bagus digunakan pada peranti Samsung dan pada peranti lain ciri dan fungsi menjadi terhad. Ini termasuk dengan pelbagai aplikasi Google baharu seperti YouTube Music dan Google Maps.

Spotify walau bagaimanapun mengambil arah berbeza dengan memperkenalkan kemaskini aplikasi Wear OS mereka untuk kedua-dua Wear OS 2.0 dan Wear OS 3.0. Melalui kemaskini ini, muzik dan podsiar akhirnya dapat dimuat turun secara luar talian pada jam. Terkini, pengguna Wear OS 2.0 dilihat sudah mula menerima kemaskini aplikasi Spotify ini.

Secara keseluruhan, tidak banyak perubahan yang dilakukan pada aplikasi ini selain mengaktifkan ciri memuat turun untuk mendengar muzik dan podsiar secara luar talian. Antaramuka aplikasi adalah terlampau ringkas dan tidak menyokong fungsi carian. Sebaliknya apa yang Spotify cadangkan itulah yang pengguna boleh dengar dan muat turun.

Selepas itu, proses muat turun hanya boleh dilakukan pada senarai main muzik dan laman sesuatu episod podsiar sahaja. Ia berbeza dengan kebolehan pada peranti. Aplikasi juga dilihat tidak begitu stabil dengan memainkan fail di luar talian menyebabkan aplikasi tertutup dengan sendiri dan terpaksa dilancarkan semula.

Pengguna juga tidak boleh menggunakan pembesar suara pada jam dan perlu menambatkan aksesori audio seperti TWS. Ujian yang saya lakukan ini adalah pada TicWatch Pro 3 GPS, untuk jam yang berkuasa ini – Spotify yang ringkas ini juga tidak dapat beroperasi dengan baik.

Pengguna juga boleh lakukan kawalan aras suara, memilih lokasi untuk memainkan audio-audio ini serta mudah untuk membuang fail yang telah dimuat turun.

TicWatch Pro 3 GPS saya menjalankan Wear OS 2.30, Google Play Services versi 21.30.13, Home App 2.50.0.386517529 dan Spotify yang dijalankan pada jam adalah versi 8.6.58.345 sama pada versi beta yang saya jalankan pada telefon Android. Perlu diingatkan yang anda memerlukan langganan premium untuk menikmati ciri ini. Harapnya pada Wear OS 3.0 aplikasi Spotify ini tidak ada banyak masalah kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd