Cari @ Amanz

Siri iPhone 13 dan iPhone 13 Pro adalah iPhone terkini daripada Apple yang dilancarkan pagi semalam. Kesemua iPhone ini dijana dengan cip A15 Bionic yang menggunakan rekaan 5nm+ dariapda TSMC. Tetapi seperti biasa, Apple merahsiakan RAM yang digunakan pada kesemua peranti ini – tidak seperti iPad Pro M1.

Kita tahu yang markah penanda aras A15 Bionic adalah lebih tinggi daripada Apple M1, kemudian GPU pada iPhone 13 hanyalah 4-teras berbanding iPhone 13 Pro dengan 5-teras.

Melalui perisian Xcode menurut MacRumors, kesemua iPhone 13 ini masih kekal dengan memori yang sama digunakan pada iPhone 12. iPhone 13 dan iPhone 13 Mini kekal dengan 4GB RAM, manakala iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max pula kekal dengan 6GB RAM.

Walaupun memori yang masih sama, cip A15 masih lagi lebih berkuasa daripada mana-mana cip lain termasuk jika dibandingkan dengan cip pemprosesan pesaing. Jadi tidak terkejut peranti yang dijual pada harga bermula RM3399 untuk iPhone 13 Mini dan RM4899 untuk iPhone 13 Pro ini akan kekal menjadi peranti dengan prestasi CPU dan GPU terbaik di pasaran.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd