Cari @ Amanz

Airbus telah mengumumkan hasrat untuk menawarkan kereta terbang yang digunakan di kawasan bandar sejak 2016. Projek Vahana kemudiannya berjaya melakukan ujian penerbangan sebelum dibatalkan dan digantikan pula dengan projek CityAirbus. Minggu ini mereka berkongsi pula rekaan CityAirbus NextGen yang menyasarkan penerbangan sulung seawal 2023.

CityAirbus NextGen ialah kenderaan mobiliti udara urban yang mampu membawa sehingga empat orang penumpang termasuk juruterbang. Pesawat dilengkapai lapan motor elektrik yang setiap satunya mempunyai empat bilah kipas untuk melakukan penerbangan menegak. Ia turut mempunyai sistem sayap yang memberikan daya apungan seperti kapal terbang konvensional semasa melakukan penerbangan mendatar.

Setiap CityAirbus NextGen mampu terbang pada kelajuan 120 km/j dengan jarak operasi pula hanya 80km. Tumpuan Airbus ialah menghasilkan kenderaan mobiliti udara urban yang senyap dengan bunyi sekitar 65dB ketika terbang mendatar dan 70dB ketika terbang menegak. Ia masih lagi menggunakan pek bateri sepenuhnya untuk beroperasi yang boleh ditanggalkan bagi menyelesaikan isu pengecasan lama boleh mengganggu operasi penerbangan.

Sekiranya penerbangan sulung berjaya dilakukan pada tahun 2023, Airbus berharap pesawat boleh memulakan operasi komersial pada tahun 2025. Rekaan yang digunakan oleh Airbus agak aneh kerana pesaing mereka Volocopter Voloconnect dan Hyundai S-A1 menggunakan sistem kipas penolak untuk penerbangan mendatar. Pada CityAirbus NextGen, kipas penolak langsung tidak digunakan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd