Royole FlexPai adalah telefon pintar pertama dengan skrin boleh-lipat yang dijual secara komersil. Tetapi seperti biasa, apabila dibandingkan dengan Samsung atau Huawei – Royole jauh ketinggalan. Namun begitu, apa yang tidak baik pada model pertama diperbaiki dan Royole FlexPai 2 hadir dengan banyak perubahan yang menarik perhatian ramai.
Dengan hasrat masih ingin menawarkan telefon pintar, Royole mungkin sudah bersedia untuk memperkenalkan generasi ketiga – Royole FlexPai 3 atau turut dikenali sebagai Royole F3.
Berdasarkan imej pengolokan yang ditiriskan oleh @evleaks, peranti ini akan hadir dengan kamera swafoto pop-naik, skrin bezel tebal, dengan modul kamera belakang yang lebih mengikut trend. Engsel dilihat masih gergasi dan mungkin masih teknologi sama yang lebih baru. Skrin dikatakan bersaiz 7.2-inci apabila dibuka dan akan mempunyai bateri 3360mAh sahaja.
Tiada informasi mengenai tarikh pelancaran dan spesifikasi dalaman. Kita mungkin akan mendengar khabar tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.