OnePlus 10 Pro adalah peranti mercu baharu daripada OnePlus yang dijangka akan diperkenalkan seawal Disember ini atau Januari akan datang. Peranti ini dikatakan akan menjadi eksklusif di pasaran China terlebih dahulu, sebelum menembusi pasaran global.
Kita sudah tahu yang peranti ini akan menggunakan rekaan seakan S21, di mana modul kamera terus bergabung dengan siri peranti – tetapi dengan susunan kamera tersendiri. Terkini, 91Mobiles telah mendedahkan spesifikasi penuh peranti ini.
OnePlus 10 Pro akan menggunakan skrin AMOLED 120Hz bersaiz 6.7-inci dengan resolusi QHD+, ia juga dikatakan akan menggunakan cip pemprosesan Qualcomm baharu – Snapdragon 8 Gen 1 yang dipadankan dengan memori 8GB atau 12GB RAM serta storan dalaman mencapai 256GB UFS 3.1.
Konfigurasi kamera dikatakan adalah 48+50+8 Megapixel yang ditala oleh Hasselblad dan menggunakan kamera swafoto 32MP. Peranti ini turut tidak akan menggunakan teknologi kamera periskop, sebaliknya akan kekal dengan kamera telefoto biasa dengan kemampuan zum 3.3x optikal serta zum digital mencapai 30x.
Bateri pula didakwa akan hadir dengan kapasiti 5000mAh dan peranti ini akan mempunyai perlindungan IP68. Dengan harga OnePlus 9 Pro juga sudah melangkaui RM4000 pada pelancaran, tidak terkejut jika OnePlus 10 Pro juga akan dijual pada harga premium. Peranti ini turut akan menggunakan Android 12 dengan antaramuka ColorOS di China atau Oxygen OS (ColorOS yang dijenamakan semula) untuk pasaran global.