OnePlus 6 dan OnePlus 6T dilancarkan pada tahun 2018. Kini sudah tahun 2021, iaitu tiga tahun – tarikh luput bagi peranti ini telah tiba.
Terkini, OnePlus telah mengedarkan kemaskini tampalan sekuriti November untuk kedua-dua peranti melalui OxygenOS 11.1.2.2. Dengan kemaskini ini, OnePlus telah menunaikan janji untuk menjaga peranti ini selama tiga tahun. Peranti ini juga tidak disenaraikan dalam kemaskini Oxygen OS 12 berasaskan Android 12, bermakna Android 11 adalah versi terakhir untuknya.

OnePlus 6 hadir dengan skrin bersaiz 6.28-inci, dilengkapi cip Snapdragon 845, memori sehingga 8GB RAM, dan storan sehingga 256GB. Telefon pintar ini turut menggunakan dwi-kamera belakang gabungan 16MP + 20MP, selain kamera 16-megapixel untuk swafoto.
OnePlus 6T pula masih lagi dijana dengan Snapdragon 845, sama pilihan memori sehingga 8GB RAM dan menariknya – kini pilihan storan bermula pada 128GB dan tiada lagi 64GB. Untuk kamera pula, sayang sekali langsung tiada beza. Saiz skrin adalah 6.41-inci dengan rekaan takuk kecil. OnePlus 6T juga sedikit lebih tebal kerana buat pertama kali mempunyai sensor pengimbas cap jari bawah skrin.