Kita telah pun melihat rekaan Xiaomi 12 yang tertiris sebelum ini, ia membawakan rekaan skrin melengkung serta modul kamera yang masih ada elemen rekaan sama tetapi lebih kecil. Peranti yang disahkan akan menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 1 ini akan dilancarkan pada 28 Disember kelak.

Xiaomi 12 dilihat menawarkan skrin bersaiz 6.28-inci, yang mana lebih besar berbanding iPhone 13, yang bersaiz 6.1-inci. Apa pun, iPhone 13 dilihat sedikit lebar berbanding dengan Xiaomi 12 dari segi rekaan. Sekaligus membuatkan Xiaomi 12 lebih selesa di tangan pengguna berbanding dengan iPhone 13.
Terkini spesifikasi penting untuk Xiaomi 12 telah tertiris melalui satu poster.

Xiaomi 12 dilihat akan menggunakan skrin 6.28-inci AMOLED Full HD+ (1080 x 2400), menyokong kadar segar semula 120Hz, paparan dengan warna 10-bit, HDR10+, Dolby Vision, serta kecerahan sehingga 16000-level?. Peranti ini juga akan menyokong 5G SA/NSA, memori 8/12 GB RAM LPDDR5, 128/256 GB UFS 3.1, bateri 4,500mAh dengan pengecasan pantas 67W + 30W pengecasan pantas nirwayar. Lain-lain adalah Bluetooth 5.2, WiFi 6 versi enhanced (tetapi bukan WiFi 6E?) dan motor getarar paksi-X jenis linear.
Untuk kamera, ia dilihat menggunakan konfigurasi 50MP saiz 1/1.228-inci, OIS, f/1.9 + 13MP sudut ultra lebar dengan sudut pandangan 123 darjah + sensor tambahan dengan OIS dan zum optikal 3x + hibrid 10x + 30x digital. Peranti turut akan menjalankan MIUI 13 yang dijangka berasaskan Android 12.

Harga jualan untuk Xiaomi 12 8/128 GB adalah 3699 Yuan (~RM2439), 8/256 GB 3999 Yuan (~RM2637) dan 12/256 GB 4399 Yuan (~RM2900).

Pada masa yang sama, untuk Xiaomi 12 Pro – ia turut dilihat akan menggunakan skrin 2K Samsung AMOLED E5, juga dengan LTPO 2.0 (seperti OnePlus), dan teknologi mikro-lensa mikro-prisma, kadar segar semula 1-120 Hz dan MIUI 13. Kadar segar semula ini adalah jenis adaptif dan kandungan yang dipaparkan pada skrin akan menjadi dinamik di mana akan berubah-ubah mengikut kesesuaian sama ada 1Hz sehingga 120Hz. Ini juga akan menjimatkan penggunaan bateri.
Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan 28 Disember kelak apa yang akan Xiaomi dedahkan secara rasmi.