Carian
Pixel Watch Mungkin Akan Dilancarkan Pada 26 Mei Ini
January 24, 2022 Fahim Zahar

Pixel Watch adalah jam tangan pintar Wear OS pertama tersendiri oleh Google. Khabar angin mengenai jam ini sudah kedengaran sejak lebih setahun lalu, namun produk ini masih belum dilancarkan. Walaupun Google sudah melancarkan Wear OS 3, iaitu sistem operasi untuk jam tangan pintar serba baharu – jam ini masih belum kelihatan lagi dan Google hanya memberikan eksklusiviti kepada Samsung dengan Galaxy Watch4 mereka sahaja.

Pixel Watch dikatakan akan menggunakan cip pemprosesan tersendiri, yang mungkin adalah berasaskan Exynos. Selain itu, Google juga dikatakan akan menyertakan integrasi Fitbit kepada jam Wear OS ini dan turut akan menawarkan Google Assistant generasi baru.

Peniris terkenal Jon Prosser baru-baru ini ada mendedahkan yang Pixel Watch mungkin akan dilancarkan pada 26 Mei akan datang. Jika laporan ini benar, ia selari dengan bulan yang sama Pixel 6a didakwa turut akan dilancarkan. Bulan Mei 2022 juga sudah hampir ke pertengahan tahun, di mana Wear OS 3 turut dikhabarkan akan dilancarkan secara lebih meluas kepada jam-jam yang layak.

Pixel Watch ialah peranti yang kelihatan futuristik, minimalis dan juga kemas. Keseluruhan muka jam adalah berbentuk bulat tanpa bingkai logam dapat dilihat. Muka jam bulat dipadankan dengan sebuah butang kawalan berputar pada sisi kanan dan sebuah butang fizikal lagi pada sisi kiri. Turut dapat dilihat ialah alur speaker pada bahagian kanan yang membolehkan ia digunakan untuk menjawab panggilan telefon.

Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan lebih lanjut mengenai jam tangan pintar Pixel ini.

Komen