Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Google dijangka akan hadir dengan Chromecast with Google TV baharu dengan kod nama Boreal. Ia dikatakan adalah pengganti kepada model sedia ada yang dilancarkan pada tahun 2020.
Menurut laporan Android Police baru-baru ini, nama produk ini mungkin adalah Chromecast HD with Google TV dan ia bukannya versi lebih premium atau mahal, sebaliknya mungkin adalah versi lebih mampu milik dengan harga jualan sekitar $40 – iaitu dalam lingkungan RM168. Google juga akan mengekalkan rekaan bentuk dongel.

Spesifikasinya dijangka akan dijana dengan cip AMlogic S805X2, menyokong codec AV1, paparan HDR10+ dan mempunyai memori sekurang-kurangnya 2GB RAM. Fokus model baru Chromecast with Google TV ini adalah penstriman 1080p HD, jadi ia dijangka akan dijual pada harga lebih murah kerana model sedia ada sudah menyokong 4K dan harga adalah $49.99.
Google dijangka akan melancarkan Pixel 6a pada Mei ini bersama-sama dengan Pixel Watch. Mungkin dongel Android TV ini juga akan dilancarkan serentak, sama-sama kita nantikan.