Oppo Reno7 Z Mungkin Dilengkapi Dengan Cip Snapdragon 695

Diterbitkan pada Feb 18, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oppo sedia mengemaskini rangkaian peranti di bawah siri Reno dengan penawaran beberapa model baharu. Ini termasuklah Oppo Reno7, Oppo Reno7 Pro dan Oppo Reno7 SE untuk pasaran China. Tidak lama kemudian, ia dipasarkan untuk pasaran global pula dengan beberapa perubahan yang dibuat pada sokongan cip pemprosesan.

Dalam diam-diam rupanya terdapat sebuah lagi model lain di bawah siri yang sama kini ditemui. Peranti berkenaan adalah Oppo Reno7 Z 5G dan ia telah tersenarai di laman Oppo Indonesia. Rekaan fizikal dan beberapa spesifikasi utama pada peranti turut sama didedahkan, sekaligus sedikit sebanyak memberi bayangan mengenai produk.

Melaluinya, ia menunjukkan peranti dilengkapi panel hadapan berlubang dengan sokongan kamera swafoto tunggal. Turut dapat dilihat, paparannya juga sejenis rata dengan padanan saiz bezel yang seimbang pada bahagian atas serta sisi. Sinonim dengan kelasnya yang berada dalam segmen pertengahan, kewujudan dagu dirasakan bukanlah satu hal yang baharu.

Seterusnya, panel belakang pula menempatkan modul kamera berbentuk segi empat. Ia dimuatkan dengan sistem tri-kamera dan dua daripada sensor berkenaan bersaiz besar. Melengkapinya adalah satu sensor bersaiz kecil yang diletakkan selari dengan LED Flash. Terdapatnya tulisan ‘AI Potrait Camera’ jelas menunjukkan peranti turut memfokuskan kepada kebolehan potret yang baik.

Setakat yang diketahui, Oppo Reno7 Z 5G dikatakan hadir dengan Snapdragon 695 dan bateri 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 65W. Di samping itu, ia turut sama disertakan dengan ciri penambahan RAM secara maya yang seakan sudah menjadi trend kebanyakan pengeluar. Terdapat juga kebarangkalian yang mana Oppo Reno7 Z 5G hanyalah sebuah Oppo A96 5G yang dijenama semula untuk beberapa pasaran luar.

Sumber : Oppo Indonesia

komen


© Amanz / 2022 Kami