Dua tahun lepas, Google menyatakan mereka sedang berusaha untuk membolehkan Steam dijalankan pada Chrome OS. Membolehkan pengguna Chromebook menikmati permainan video pada platform yang ‘ringan’ ini. Kemudian kedengaran yang Chrome OS bakal hadir dengan ciri Game Mode agar ia boleh memfokuskan prestasi kepada permua yang sedang dimainkan.
Beberapa minggu lalu, Google dilaporkan sedang membangunkan Chromebook memfokuskan gaming dengan menyokong papan kekunci RGB bersama pengeluar seperti HP dan Lenovo. Terkini daripada laman Chromium Gerrit, kod pembangunan Chrome OS untuk menyokong Steam telah menyenaraikan beberapa Chromebook yang boleh menjalankan Steam.
- Volta – Acer Chromebook 514 (CB514-1H)
- Volet – Acer Chromebook 515
- Voxel – Acer Chromebook Spin 713 (CP713-3W)
- Delbin – ASUS Chromebook Flip CX5 (CX5500)
- Drobit – ASUS Chromebook CX9 (CX9400)
- Elemi – HP Pro c640 G2 Chromebook
- Lindar – Chromebook daripada Lenovo yang tidak dilancarkan
Selain itu, syarat minima untuk sesebuah Chromebook boleh menjalankan Steam adalah ia perlu dijana dengan cip Intel Core i5 atau i7 generasi ketujuh dengan memori 7GB RAM paling kurang. Untuk kuasa grafik, Nvidia dilihat turut bekerjasama dengan Google untuk menjayakan usaha ini. Kerana dalam Chromoium Gerrit, mereka turut dilihat menyumbang kepada beberapa perubahan kod.
Dengan fokus kepada gaming untuk Chrome OS, Google turut boleh memperluaskan lagi sokongan seperti Stadia dan akan datang Play Games on PC. Jadi sekarang kita tahu kenapa dari awal, Google melancarkan Chromebook dan tablet Chrome OS dengan spesifikasi tinggi. Sama-sama kita nantikan.