Cari @ Amanz

Siri Oppo Reno7 telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia secara rasmi semalam. Bersama-sama dengan telefon pintar ini, Oppo turut melancarkan Oppo Enco Air2, Oppo Watch Free dan mengumumkan yang Reno7 Z turut akan tiba ke pasaran tempatan.

Selepas acara ini berakhir, saya diberi peluang untuk menemuramah Andy Shi iaitu CEO Oppo APAC. Dengan peluang yang jarang saya terima ini, saya telah kemukakan beberapa soalan yang kerap bermain dalam fikiran kami di Amanz.

1.Amanz: Sejak tahun lepas, OnePlus telah pun menjadi sub-jenama Oppo. Apakah perancangan Oppo APAC untuk jenama ini di pasaran global, lebih-lebih lagi di Malaysia?. Sejak kebelakangan ini, kehadiran produk OnePlus menjadi perlahan dan mempunyai pelbagai masalah.

Andy Shi: Benar, OnePlus kini adalah sebahagian daripada Oppo. Namun fokus utama OnePlus adalah di pasaran India, negara-negara barat dan juga Amerika Utara. Tidak dinafikan OnePlus ada banyak produk premium seperti peranti mercu dan pelbagai produk IoT. Minat membawa masuk ke pasaran Malaysia itu ada, tapi kami perlukan kajian lagi untuk membawa jenama ini masuk ke sini secara rasmi.

2.Amanz: Baru-baru ini Oppo ada mengacah kehadiran tablet. Kenapa baru sekarang? Sedangkan laporan IDC memperlihatkan permintaan tablet semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Ya, Oppo akan melancarkan tablet pertama pada 24 Februari akan datang. Kami sebenarnya sudah lama berminat untuk hadir dengan tablet dan dengan kaji selidik kami melihat permintaan semakin tinggi sejak pandemik dan kami yakin tablet ini boleh menjadi pelengkap ekosistem produk kami.

3.Amanz: Pada pendapat peribadi anda sendiri, apakah kelebihan Oppo berbanding pengeluar peranti lain untuk pasaran Asia Tenggara dan bagaimana Oppo menjadikan diri sendiri lebih sebagai pesaing yang hebat?

Andy Shi: Oppo ada keunikan tersendiri yang mana sebelum menghasilkan sesuatu produk dan sebelum melancarkan ke sesebuah negara, kami ada pasukan penyelidik tersendiri melakukan kajian yang mendalam untuk memastikan semua produk menepati citarasa pengguna. Produk kami lebih menyasarkan pengguna muda, memfokuskan gaya hidup dan boleh diterima. Disebabkan itu di Thailand dan juga di Malaysia menjadi negara yang hebat untuk produk-produk Oppo.

4.Amanz: Bukankah Oppo yang pertama memperlihatkan teknologi kamera di bawah skrin dan sudah pun memperlihatkan pelbagai variasi. Tetapi kenapa Oppo masih belum melancarkan produk dengan teknologi ini, sedangkan pesaing sudah pun hadir dengan beberapa variasi untuk umum dan bilakah Oppo akan melancarkannya?

Andy Shi: Oppo ada standard tersendiri kami. Kami tidak pernah mengalah lagi dalam teknologi ini dan sentiasa melakukan kajian untuk memastikan produk ini cukup sempurna dan melepasi piawaian untuk sebuah produk yang berfungsi dengan baik. Tiada tarikh yang boleh kami janjikan bila Oppo akan hadir dengan peranti ini, tetapi perancangannya masih ada.

5.Amanz: Adakah Oppo akan mengikut Samsung dalam penawaran 4 tahun kemas kini sistem operasi, atau sekurang-kurangnya sokongan sehingga 3 tahun untuk peranti kelas pertengahan?

Andy Shi: Oppo bukan sahaja bekerjasama dengan Google untuk sistem operasi seperti Android. Kami mempunyai falsafah tersendiri dalam produk digital seperti ColorOS. Kami ada cara kami tersendiri untuk memuaskan hati semua pengguna. Untuk tempoh kemas kini siri peranti mercu Find X kami akan tawarkan sehingga 3 tahun, siri Reno pula 2 tahun dan siri lain adalah 1 tahun.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd