Sudah bertahun Google cuba menjadikan Chrome OS sebagai satu sistem operasi yang boleh menggantikan komputer. Daripada sistem operasi berasaskan web dan seakan sebuah pelayar web Chromes sehinggalah sistem Android diintegrasikan ke dalamnya. Dua tahun lepas, Google ingin jadikan Chrome OS sebagai satu sistem operasi yang turut boleh menjalankan permainan video bergrafik tinggi.
Ciri Game Mode sudah pun dibangunkan dan Google juga dilihat cuba membawa sokongan Steam ke Chrome OS.

Dalam acara Google for Games Developer Summit 2022, Google akhirnya mengumumkan secara rasmi sokongan Steam untuk Chrome OS. Ia digelar sebagai Steam Alpha kerana masih di peringkat awal pembangunan dan hanya pengguna Chrome OS Dev pada Chromebook terpilih sahaja dapat menggunakannya.
Laporan pada Februari lalu telah pun menyenaraikan beberapa Chromebook yang boleh menjalankan Steam ini. Selain itu spesifikasi minima untuk menjalankan Steam turut didedahkan yang mana, peranti perli dijana dengan cip Intel Core i5 atau i7 generasi ketujuh dengan memori paling kurang 7GB RAM. Untuk grafik, Nvidia dilihat ada kerjasama dengan Google untuk projek ini – namun masih tidak pasti bagaimana lagi.
- Sumber: Chromebook Help