Semalam kami laporkan aplikasi 32-bit jika dijalankan pada peranti Android 64-bit, amaran akan diberikan. Kemudian, aplikasi yang tidak dikemaskini akan disembunyikan daripada pengguna.
Di China pula, Oppo, Vivo dan Xiaomi telah bekerjasama untuk memastikan tiada lagi aplikasi 32-bit boleh digunakan. Untuk itu, bermula April tahun ini kesemua gedung aplikasi mereka tidak lagi akan menyenaraikan aplikasi 32-bit.
Ini bermakna V-AppStore Vivo, Xiaomi GetApps dan Oppo AppMarket tidak akan membenarkan pembangun memuat naik aplikasi 32-bit lagi. Jika sebelum ini kedua-dua versi termasuk 64-bit dibenarkan, kali ini hanya satu versi sahaja boleh iaitu 64-bit.

Mereka turut menyatakan yang peranti dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 dan Dimensity 9000 memerlukan aplikasi 64-bit untuk ia berfungsi dengan lancar dan pada prestasi yang optimal. 64-bit juga memerlukan peranti dengan memori 4GB RAM paling kurang dan aplikasi versi ini juga mampu memberi lebih banyak perlindungan kepada pengguna dari segi privasi dan sekuriti.
Tidak lupa juga yang ARM sudah bercadang untuk terus menghentikan sokongan aplikasi 32-bit boleh dijalankan dan ingin fokus terus kepada aplikasi 64-bit.