Cari @ Amanz

Project Connected Home over IP (CHIP) atau kini Matter adalah piawaian untuk menyeragamkan sambungan pada peranti-peranti berhubung (IoT). Peranti berhubung ini adalah peranti pintar seperti mentol pintar, robot vakum, speaker dan skrin pintar, barangan elektrik pintar lain yang sentiasa perlu berhubung di antara satu sama lain serta dengan peranti pengguna.

Matter juga adalah untuk semua pengeluar peranti yang mempunyai produk IoT, boleh digunakan di antara satu sama lain. Ini bermakna, produk dengan Google Assistant, Siri atau Alexa semuanya boleh berkomunikasi di antara satu sama lain.

Google sudah bersiap sedia sejak setahun lalu, sehingga merancang produk peranti berhubung mereka turut boleh disambungkan dengan Fast Pair.

Di acara Google I/O 2022, Google mendedahkan yang produk mereka akan menyokong sistem sambungan Matter sekitar hujung tahun 2022 akan datang. Sambungan Matter ini memerlukan WiFi serta sambungan Thread atau bebenang dengan penghala (router) untuk pengalaman yang lebih lancar.

Antara produk Google yang bakal menyokong Matter melalui kemaskini perisian adalah Google Home, Google Mini, Nest Mini, Nest Hub (pertama dan generasi kedua), Nest Hub Max, Nest Audio, dan Nest Wifi. Untuk Nest Wifi, Nest Hub Max, dan Nest Hub generasi kedua, produk-produk ini turut akan berfungsi sebagai Thread untuk Matter.

Google turut akan mengembangkan lagi program Works with untuk bekerjasama dengan pengeluar lain agar menyokong Matter dan sambungan Google Assistant. Sementara itu nama Works with Hey Google telah diubah kepada Works with Google Home agar semua produk Matter boleh guna Google Home dan tidak lagi memerlukan banyak aplikasi.

Selepas semua produk dikemaskini dan lebih banyak produk dilancarkan dengan Matter, sambungan di antara peranti seperti tetapan dan sambungan untuk penggunaan menyeluruh akan menjadi lebih lancar dan memudahkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd