Carian
Sepetang Bersama Xiaomi Cyberdog – Anjing Suci Daripada Xiaomi
May 20, 2022 Effi Saharudin

Semasa aku membesar aku mahu membela seekor anjing kerana pengaruh siri TV Lassie dan Benji. Anjing-anjing dipaparkan dalam siri ini sebagai haiwan peliharaan yang bijak, comel, manja dan boleh membantu tuannya menyelesaikan masalah duniawi. Tetapi hakikatnya aku orang Melayu dan tabu membeli anjing amat tebal ketika membesar di dekad 80an.

Maka impian membeli anjing terkubur begitu sahaja. Tabu Melayu membela anjing kini sudah berkurangan tetapi masih dipandang serong. Oleh itu apabila Xiaomi Cyberdog diumumkan Ogos tahun lalu aku teruja kerana ini mungkin akan merealisasikan impian membeli anjing tetapi versi “suci” tanpa tangan perlu disertu sepanjang masa.

Berita buruk bagi anda yang mempunyai impian yang sama ialah Cyberdog tidak boleh dibeli dengan hanya 1000 unit dihasilkan oleh Xiaomi di bawah inisiatif Xiaomi Academy. Robot diberikan kepada institusi terpilih untuk menghasilkan perisian dan ciri menarik yang boleh menjadikan Cyberdog bukan sekadar sebuah anjing robotik.

Berita baik bagi anda ialah terdapat tiga unit Cyberdog dan Xiaomi Malaysia akan membawanya menjelajah ke seluruh negara bermula Jun depan. Kami di Amanz telah diberikan akses untuk mencuba anjing ini selama sepetang.

Apakah Cyberdog

Ia adalah robot sebesar anjing berbaka Schnauzer ataupun lebih kurang tiga ekor kucing dewasa. Keempat-empat kaki Cyberdog menggunakan 12 motor servo yang dibangunkan sendiri oleh Xiaomi. Ini dipadankan pula dengan 11 sensor seperti kamera 3D Intel RealSense, kamera 2D, 3D ToF dan LiDAR bagi membolehkan ia bergerak di dunia sebenar dengan selamat. Platform NVIDIA Jetson Xavier NX digunakan sebagai otak dengan kemampuan memproses 21 TOPs. Xiaomi berkata dengan pelbagai sensor ini, Cyberdog boleh bergerak dengan tepat pada skala sentimeter.

Selain itu terdapat juga mikrofon yang membolehkan Cyberdog sentiasa mendengar arahan suara yang diberikan oleh pengguna seperti seekor anjing sebenar. Ketika sesi ujian Cyberdog yang digunakan hanya memahami arahan dalam bahasa Mandarin kerana ia menggunakan Xiao Ai yang merupakan pembantu maya peranti Xiaomi di China. Setiap kali arahan diterima, lampu pada wajah akan berubah menjadi warna biru sebelum ia menyalak untuk menandakan arahan difahami.

Antara arahan suara yang difahami ialah memberikan status cuaca dan juga tahap pengecasan bateri. Menurut wakil Xiaomi menerusi inisiatif Xiaomi Academy dena penggunaan sumber terbuka, diharap Cyberdog boleh memahami arahan bahasa lain seperti Inggeris.

Kawalan boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar. Cyberdog boleh dikawal seperti kereta kawalan jauh atau diberikan rutin untuk melakukan rondaan di kawasan tertentu selepas pemetaan 3D yang lengkap telah dilakukan. Ciri ini mirip dengan robot Boston Dynamic Spot yang boleh diberikan kredit sebagai anjing siber pertama yang mempunyai kemampuan autonomi yang tinggi sehingga digunakan sebagai pemantau penjarakan sosial di Singapura sewaktu pandemik.

Kesemua komponen ini diletakkan ke dalam robot yang sebesar 14 kilogram yang nampak berat tetapi sebenarnya lebih ringan berbanding berat anjing sebenar dengan saiz sama. Ia boleh diangkat dengan selesa menggunakan sebelah tangan dan aku sempat juga menjadikannya seperti pemberat di gimnasium.

Teknologi Comel

Kemampuan mengekori pemilik kemana sahaja mereka bergerak kecuali menuruni tangga turut dapat kami lihat. Dengan kemampuan bergerak pada kelajuan sekitar 11 km/j, anda masih boleh melarikan diri sekiranya dikejar. Jauh lebih perlahan berbanding kelajuan anjing terpantas dunia Greyhound yang mampu mencecah 72 km/j.

Untuk waktu terdekat kita tidak perlu risau robot pembunuh seakan Dogs dari siri Black Mirror akan memburu kita sehingga menjadi spesis terancam. Kerana tiada lagi ancaman membunuh, Cyberdog cuba mencubit hati pengguna menerusi beberapa rutin comel.

Ia boleh melakukan balik kuang ke belakang seperti Black Panther, berguling-guling, berdiri di atas dua kaki dan “meminta sedekah” dan memberikan salah satu kaki untuk dipegang persis seekor anjing sebenar. Semasa mencubanya di perkarangan pejabat Xiaomi, sesi penggambaran kami terganggu beberapa kami kerana orang ramai ingin mengambil gambar dengan Cyberdog. Konsensus dari orang ramai mengatakan anjing siber ini adalah comel tanpa sebarang aura membunuh seperti dalam karya sains fiksyen.

Apa Fungsi Sebenar?

Apakah fungsi sebenar Cyberdog ialah soalan pertama kami berikan kepada wakil Xiaomi kerana syarikat ini tidak mempunyai sejarah robotik yang lama. Jawapan pendek yang diberikan ialah ia menjadi platform robotik yang mampu milik bagi menarik minat pengaturcaraan di kalangan peminat robotik. Dengan sumber terbuka digunakan, penerima Cyberdog bebas untuk melakukan apa sahaja yang diinginkan dengan batasnya adalah kreativiti peribadi sahaja.

Jawapan lebih panjang ialah ia menjadi platform ujian pelbagai teknologi baharu yang belum sedia digunakan pada produk komersil Xiaomi. Sebagai contoh sistem LiDAR dan kamera 3D RealSense Cyberdog boleh dijadikan platform menguji teknologi swapandu yang akan digunakan pada kereta elektrik Xiaomi yang akan diperlihatkan prototaipnya tahun ini. Ciri pengecaman wajah Cyberdog pula telahpun digunakan pada siri Xiaomi 12 yag sudahpun di pasaran sekarang.

Mana Nak Tengok?

Jika anda berminat untuk melihat sendiri Cyberdog di depa mata serta berinteraksi dengannya, Xiaomi akan melakukan siri jelajah seluruh Malaysia bermula Jun hadapan. Lokasi dan tarikh acara ini masih lagi sedang diperhalusi maka Xiaomi berkata sila berikan perhatian kepada akaun media sosial mereka untuk pengumuman yang bakal dilakukan kelak.

Secara peribadi aku merasakan Cyberdog masih lagi sebuah peranti generasi pertama yang mempunyai potensi tetapi turut jelas mempunyai beberapa kelemahan yang perlu ditambahbaik sebelum ditawarkan kepada umum. Dalam kes Cyberdog, ia memberikan masa depan yang cerah untuk kita semua memiliki anjing siber yang comel di rumah dan bukannya multimesta menakutkan seperti Black Mirror.

Komen