Cari @ Amanz

Nampaknya pelan langganan untuk telefon pintar sudah menjadi trend. Google mempunyai Pixel Pass, di mana langganan memiliki Google Pixel bersama dengan perkhidmatan digital mereka. Apple juga dilaporkan akan menawarkan perkhidmatan sama pada harga serendah RM148 sebulan.

Terkini, Fairphone telah hadir dengan Fairphone Easy untuk melanggan Fairphone 4 mereka. Langganan mereka boleh didapati pada serendah €21 (~RM96) sebulan jika melanggan untuk lima tahun. Kemudian jika pengguna memiliki peranti Fairphone 4 ini lebih lama, ia akan menjadi lebih murah.

Setiap pelanggan juga tidak perlu membayar untuk membaiki peranti jika rosak. Malah jika kerosakan berlaku, peranti lain yang telah dipulih semula akan diberikan dalam masa 48 jam. Peranti yang rosak tadi pula akan dinilai, sama ada boleh dibaiki atau boleh digunakan sebagai alat ganti untuk dipulih semula dan diberikan kepada pelanggan lain yang mengalami kerosakan peranti.

Langgan ini juga adalah untuk Fairphone 4 8/256 GB yang dijual pada harga €649 (~RM2969). Walaupun jaminan adalah sepanjang hayat, baiki percuma dan peranti ganti percuma terhad untuk beberapa kali sahaja. Dengan €21 (~RM96) sebulan, ia akan menjadi sekitar RM5760 untuk pelan lima tahun berbanding terus beli peranti pada harga RM2969.

Fairphone4

Ini sememangnya idea yang baik. Lebih-lebih lagi untuk pengguna yang pentingkan alam semula jadi dan menggunakan sesuatu peranti pada jangka masa panjang. Ia juga ditawarkan di Belanda sahaja buat masa ini dan tiada perancangan untuk dikembangkan ke negara lain.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd