Nothing nampaknya berjaya membuatkan orang ramai tidak sabar untuk menantikan pelancaran rasmi telefon pintar pertama mereka Nothing Phone (1). Masih tidak banyak yang kita tahu mengenai spesifikasi peranti selain daripada rekaan dan juga sistem LED.
MKBHD telah mendedahkan yang peranti Nothing Phone (1) bukan sekadar gimik, tetapi ia mengembalikan penggunaan LED notifikasi dengan iterasi tersendiri seperti setiap kerlipan boleh diubah mengikut nada dering, aplikasi, kenalan, pengecasan dan banyak lagi.
Untuk yang benar-benar minat dengan peranti Nothing Phone (1), mereka telah melelong peranti ini di StockX sejak 9PM semalam. Hanya 100 unit sahaja akan dihantar dengan ukiran Edition 1/100 sehingga Edition 100/100.
Setakat hari ini ketika artikel ini sedang ditulis, sudah terdapat 100 bidaan untuk peranti ini. Harga yang diminta oleh peminat dilihat bermula daripada $633 iaitu sekitar RM2789 sehinggalah $2679 iaitu sekitar RM11802. Ini juga bukan harga terakhir, kerana 100 yang terpilih dengan bidaan tertinggi hanya akan tamat pada 23 Jun nanti.
Penghantaran peranti yang berjaya juga adalah sehingga 35 hari. Peranti ini akan dilancarkan pada 12 Julai nanti, yang mana saya sendiri rasa harga peranti tidak akan cecah $600 atau mencapai $2000. Berdasarkan maklumat tersebar di web, peranti ini adalah peranti kelas pertengahan premium yang cuba menjadi pesaing sengit.
Saya secara peribadi mengharapkan harga peranti adalah sekitar $399-$499 iaitu sekitar RM1758-RM2198. Anda rasa bagaimana, apakah harga yang patut Nothing letak pada telefon pintar pertama mereka yang unik ini?