Carian
Ulasan Razer Barracuda Pro – Bateri Tahan Lama Khusus Untuk Gamer
July 8, 2022 Effi Saharudin

Kerana banyak menghabiskan masa di rumah sepanjang PKP, fon kepala yang boleh membatalkan bunyi bising jiran berkaraoke sumbang seperti menyeru hujan, bertukang sepanjang hari dan bermain bola di ruang tamu adalah perlu. Sekiranya tidak mustahil kami dapat bekerja dengan baik di rumah. PKP sudah berakhir tetapi fon kepala dengan ANC masih lagi perlu kerana kini kami perlu kembali bertugas ke luar negara dan menghabiskan berjam-jam dalam kapal terbang dan lapangan terbang.

Fon kepala pilihan kami sebelum ini ialah Sony WH-1000XM3 kerana ianya membatalkan hingar dengan baik dan mempunyai ketahanan bateri yang amat memuaskan. Kini Razer Barracuda Pro pula tiba ke makmal Amanz dan kami cukup teruja dengan kombinasi ANC dan bateri yang boleh bertahan sehingga 40 jam. Ia juga direka untuk golongan gamer. Ini ialah ulasan untuk Razer Barracuda Pro.

Spesifikasi

Razer Barracuda Pro
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu50mm TriForce Bio-Cellulose
Mikrofon2 mikrofon beamforming
Bateri40 Jam ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECAAC, SBC, THX AAA
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad KawalanTiada
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 1399

Rekaan yang digunakan Razer Barracuda Pro adalah agak retro jika dibandingkan dengan fon kepala terkini Sennheiser dan Sony. Ia masih menggunakan sistem angkup kepada dengan rel laras plastik dan span sederhana besar di bahagian atas kepala. Dua cawan telinga yang besar pula dipadankan dengan span yang agak besar. Oleh sebab itu keseluruhan telinga dapat ditutup dengan baik tanpa cuping telinga tersepit. Sepasang pemandu audio 50mm Razer TriForce Bio-Cellulose diletakkan dalam cawan telinga yang besar ini.

Sebagai insan yang berkepala dan telinga besar, saiz Barracuda Pro yang besar ini amat kami hargai kerana majoriti fon kepala di pasaran adalah agak kecil untuk kami. Dengan span yang besar juga, sistem penapisan bunyi secara pasif adalah baik walaupun dengan ANC dimatikan. Ini adalah kebaikannya tetapi mewujudkan isu telinga tidak dapat “bernafas” kerana tiada kitaran udara yang baik. Selepas sekitar sejam telinga terasa berpeluh dan tidak selesa. Pemakaian untuk sesi gaming yang lalu tidak begitu selesa dan ia perlu ditanggalkan setiap beberapa jam sebelum telinga terasa kepam.

Kami cuma mempunyai sedikit isu sakit di bahagian atas kepala kerana Barracuda Pro adalah agak berat – 340 gram. Kesemua berat ditampung bahagian span kepala yang agak kecil. Cengkaman angkup kepala juga agak ketat menambahkan ketidakselesaan untuk pengguna jangka masa lama. Cengkaman yang kuat perlu kerana ini fon kepala ini berat. Sebagai perbandingan Sony XM5 hanya seberat 250 gram tetapi mempunyai span kepala yang lebih besar dan selesa untuk penggunaan lebih lama.

Cawan telinga diperbuat daripada plastik yang tidak berkilat. Ini membantu untuk mengurangkan kesan minyak dan kotoran. Razer juga hanya menawarkan fon kepala ini dalam warna hitam sahaja. Ini sedikit mengecewakan kerana sebelum ini pada siri Opus X, Razer menawarkan pilihan warna seperti hijau dan merah jambu yang lebih menarik.

Satu lagi perkara yang kami rasakan agak menarik ialah logo Razer pada bahagian cawan telinga juga berwarna hitam. Ia hanya kelihatan pada sudut tertentu. Agak stealth tidak seperti rekaan Razer dahulu yang logonya terpampang dengan jelas. Satu lagi penjenamaan Razer terletak di atas angkup kepala yang juga tidak ketara.

Walaupun dipasarkan sebagai fon kepala gaming, Barracuda Pro tidak hadir dengan mikrofon jenis boom. Dua mikrofon terbina pada cawan telinga dengan teknologi beam forming. Satu lagi yang tidak disertakan ialah sokongan sambungan secara berwayar. Tiada langsung bicu audio 3.5mm atau sambungan ke PC dengan kabel USB. Agak aneh kerana ini adalah dua ciri yang lazim ditemukan pada fon kepala gaming.

Ini besar kemungkinan keran Barracuda Pro dipasarkan juga sebagai fon kepala untuk dipakai di dalam pesawat seperti WH-1000XM5 dan Bose Headphone 700. Tetapi ini meletakkannya di dalam kelas yang sama dengan Sony INZONE H9 yang juga tidak menyokong sebarang bentuk sambungan berwayar dengan tumpuan diberikan kepada sesi gaming.

Butang kuasa, membisukan mikrofon dan roda laras kekuatan audio terletak pada cawan telinga kiri. Sementara itu pada cawan telinga kanan terdapat butang untuk mengawal mod ANC/Ambience dan pertukaran pintar antara dua peranti. Tiada pad sesentuh terbina pada bahagian sisi. Kawalan muzik dilakukan dengan menekan butang kuasa. Kami cukup suka dengan roda laras audio fizikal yang diberikan. Lebih mudah mengawal audio secara granular berbanding sistem pad sesentuh yang memerlukan jari ditatal ke atas dan ke bawah yang tidak begitu mesra pengguna sebenarnya.

Tekan sekali untuk memainkan atau menjeda, tekan dua kali untuk melangkau ke lagu seterusnya dan tekan tiga kali pula untuk kembali ke belakang. Rekaan klasik tetapi terasa sedikit aneh tiada pad sesentuh memandangkan fon kepala premium biasanya hadir dengan ciri yang kini sudah dianggap standard.

Bekas simpanan Barracuda Pro diperbuat daripada bahan plastik yang boleh mengakis air dan permukaannya agak kasar. Dari segi saiz ia adalah agak besar. Kami merungut dengan saiz bekas simpanan XM5 yang besar. Jika diletakkan bersebelahan, bekas simpanan Barracuda Pro lebih besar menyukarkannya untuk dimuatkan ke dalam beg.

Di dalam bekas simpanan terdapat ruang untuk satu fon kepala. Tiada penebat yang tebat untuk mengelakkan kerosakan berlaku ke atas fon kepala ketika disimpan. Hanya kekerasan bahan plastik tubuh bekas yang melindungi fon kepala sepanjang masa.

Sebuah ruang khas dengan pintu bermagnet pula menempatkan pemancar radio 2.5 GHz berkepala USB-C, kabel pengecas USB-C – USB-A dan kabel USB-A ke USB-C (betina) untuk memanjangkan kabel pengecas. Kedua-dua kabel adalah dari jenis disulam yang tahan lasak. Kabel pengecas juga panjang memudahkan pengecasan tidak sekadar 6″ seperti yang dilakukan oleh Sony.

Selain tiada sokongan sambungan berwayar, Barracuda Pro juga tidak mempunyai sokongan tambahan pantas dengan NFC, Quick Pair pada peranti Android dan tiada sokongan codec LDAC. Hanya codec AAC, SBC dan THX AAA milik Razer. Mungkin kerana tumpuan lebih diberikan kepada gaming, LDAC yang biasanya disokong pada fon kepala pada harga jualan yang sama tidak diberikan langsung.

Penggunaan dan Perisian

Tiada sokongan Google Fast Pair apabila dihidupkan buat pertama kali. Maka proses tambatan kepada peranti pintar, komputer, tablet dan pelbagai lagi peranti elektronik secara bluetooth memerlukan langkah tambahan. Pengalaman pada Android dan iOS adalah setara. Selepas tambatan dilakukan, aplikasi Razer Audio perlu dimuat turun bagi mengakses pelbagai ciri tambahan.

Dari aplikasi pengguna boleh mengubah tahap kekuatan ANC, mod gaming, equaliser, tahap meredam bunyi mikrofon, sambungan pantas ke peranti lain, mengubah suara sistem, kemas kini firmware dan masa diambil sebelum Barracuda Pro dimatikan secara automatik. Pemasangan aplikasi ini pada telefon pintar adalah amat kami sarankan untuk memudahkan penggunaan fon kepala.

Pujian kami berikan kepada Razer kerana sistem audio cue Barracuda Pro menyokong bahasa Inggeris,Jepun, Perancis, Korea, Cina, Sepanyol dan Jerman. Ini memang produk untuk pengguna global. Satu lagi pujian diberikan kepada audio cue yang jelas. Pemakai diberitahu fon kepala sedang menggunakan mod apa, fon kepala sedang dihidupkan/dimatikan dan sedang dalam mod tambatan dengan suara yang mudah difahami. Ini mungkin seakan trivial tetapi tidak semua pengeluar menyertakan audio cue yang mudah difahami.

Razer mengatakan Barracuda Pro boleh ditambat kepada dua peranti serentak. Ini adalah benar tapi hanya satu secara bluetooth dan satu lagi menggunakan dongel nirwayar 2.4 GHz. Proses penukaran audio antara dua peranti perlu dilakukan secara manual tidak automatik seperti pada AirPods dan Sony XM5. Kami tidak mengatakan Razer mengelat tetapi sebagai pembeli anda perlu tahu bahawa “tambatan kepada dua peranti serentak” bukanlah secara bluetooth yang mungkin disangka.

Kualiti Audio

Mulakan ulasan audio dengan pengalaman menggunakan Barracuda Pro sebagai sepasang fon kepala gaming terlebih dahulu kerana ini ialah fungsi utamanya. Kami menggunakan Barracuda Pro pada sebuah telefon Android secara nirwayar dan komputer riba gaming. Terdapat sedikit masa pendam yang ketara apabila memainkan permainan FPS seperti COD Mobile dan Left For Dead. Ini diselesaikan dengan mengaktifkan gaming mode. Serta merta isu masa pendam ini hilang.

Dalam sesi gaming kami dapat mendengar arah tembakan, letupan dan tapak kaki musuh yang cuba menyerang hendap. Sungguh jelas kesemuanya. Bunyi tembakan dan letupan juga mantap memberikan pengalaman permainan yang lebih imersif berbanding menggunakan speaker telefon pintar.

Kami padankan Barracuda Pro dengan Black Shark 5 Pro – sebuah peranti dengan speaker stereo yang baik. Sesi COD Mobile kami terasa lebih baik dengan Barracuda Pro kerana lokasi musuh serta medan pertempuran kedengaran lebih jelas menerusi fon kepala gaming ini.

Dengan muzik pula pengalaman adalah berbeza bergantung kepada genre muzik. Bass pada fon kepala ini terlalu kuat sehingga mencapai tahap bergegar koklea mendengarnya. Muzik elektronik dan EDM sangat cocok sekali didengari tetapi kami merasakan ia tidak begitu sesuai untuk muzik klasik dan instrumental. Bunyi bass yang terlalu kuat membuatkan bunyi lain sedikit tenggelam.

Bagi mereka yang inginkan audio yang lebih seimbang, Barracuda Pro bukanlah fon kepala untuk mendengar muzik pilihan kami. Terdapat equaliser untuk menyelesaikan isu ini tetapi ia memerlukan pemahaman frekuensi mana yang perlu diubah bagi mendapatkan profil bunyi yang paling serasi dengan telinga pemakai.

Kesimpulannya Barracuda Pro adalah fon kepala yang sedap digunakan untuk sesi permainan video tetapi tidak untuk menstrim muzik kegemaran jika anda bukan dalam golongan yang memang sukakan bass yang kuat. Pada harga jualan melebihi RM1000 sepasang, kami meletakkan standard yang lebih tinggi. Palang yang tinggi ini belum mampu dilepasi Barracuda Pro pada waktu ini.

ANC

ANC pada Barrracuda Pro adalah setakat sederhana sahaja. Tidak setanding Sony XM5 yang kami rasakan terbaik di dalam kelasnya. Di pejabat ia boleh menapis bunyi pendingin hawa, dan perbualan rakan sepejabat tetapi tidak cukup mantap menghalang bunyi lagu yang dimainkan di speaker pejabat.

Sistem pembatalan hingar pasif sebenarnya lebih dari memuaskan untuk sesi permainan biasa. Penggunaan ANC dalam permua tidak begitu ketara pada telinga kami kerana tahap audio dalam permainan adalah cukup kuat untuk menghalang audio dari luar menerjah masuk ke dalam rongga telinga.

Mod Ambient yang disertakan juga memuaskan sahaja dengan bunyi dari luar yang didengari tidak terasa semua jadi. Boleh didengari hingar digitalnya. Sekali lagi ia masih tidak setanding Sony XM5 yang memberikan pengalaman seakan fon kepala ditanggalkan terus apabila mod Ambient diaktifkan.

Adalah mod ANC memberikan peningkatan pengalaman permainan video pada komputer dan telefon pintar? Jawapan ikhlas kami tidak.

Mikrofon

Mikrofon amat penting untuk sebuah fon kepala gaming. Tanpa mikrofon jenis boom, kualiti audio perbualan dalam permainan video atas talian kami adalah tidak memuaskan pada Barracuda Pro. Suara kedengaran jauh dan tidak cukup lantang. Sistem pembatalan hingarnya bagus tetapi audio yang terasa jauh sedikit sebanyak mengurangkan pengalaman permainan kami. Bagi yang memerlukan mikrofon jenis boom, Barracuda X yang turut telah dijual di Malaysia mungkin adalah pilihan lebih baik.

Bateri

Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 40 jam dengan ANC. Sepanjang tempoh ulasan kami rasakan kami dapat menikmati lebih 30 jam sekali caj kerana kami gemar menggunakan tahap audio yang tinggi ketika mendengar muzik. Ini masih lagi baik kerana setanding dengan kesemua fon kepala nirwayar di pasaran sekarang. Kami tidak sempat pula menguji hayat bateri tanpa ANC. Pengecasan adalah menggunakan sambungan USB-C. Masa diambil untuk mengecas semula adalah sekitar 2 jam yang kami rasakan munasabah.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Razer Barracuda Pro
  • 1x Beg menyimpan fon kepala.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kabel penyambung USB-A ke USB-C (female)
  • 1x Dongel 2.4GHz USB-C
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Razer Barracuda Pro ialah percubaan Razer untuk menawarkan fon kepala gaming yang juga masih kelihatan cantik dipakai di luar. Percubaan serampang dua mata mereka ini kurang berjaya untuk kali ini kerana keperluan pengguna gaming tidak semuanya bertindan dengan peminat pengguna yang memerlukan fon kepala untuk mendengar muzik. Pertindanan yang wujud pula adalah kecil dalam rajah Venn.

Ia bagus untuk gaming dengan audio yang menyerlah, berjaya menunjukkan arah musuh yang cuba menyerang dan hayat bateri yang amat baik. Tetapi ia tidak menyokong sebarang bentuk sambungan berwayar dan mikrofonnya pula tidak di tahap fon kepala gaming lain di pasaran.

Untuk digunakan sebagai fon kepala muzik pula ia terlalu berat dengan bass yang terlalu kuat memerlukan kami mengubah tetapan pada equaliser bagi mendapatkan bunyi yang lebih seimbang. Tanpa sambungan 3.5mm, bagaimana untuk menggunakan Barracuda Pro dengan sistem hiburan kapal terbang?

Oleh kerana cuba menjadi semua dalam satu, Barracuda Pro tidak berjaya melakukan tugas yang sempurna sebagai fon kepala gaming atau fon kepala untuk muzik. Semuanya sederhana maka untuk membelanjakan RM1399 yang tidak sederhana harganya adalah sedikit sukar.

Pro

  • Sokongan tambatan kepada dua perantis serentak.
  • Ketahanan bateri yang amat baik.
  • Butang kawalan fizikal adalah lebih praktikal dari sistem pad sesentuh.
  • Sokongan aplikasi yang baik dengan pelbagai kustomasi boleh dilakukan.
  • Tiada sela masa dalam mod gaming.
  • Bunyi cukup baik dan jelas untuk permainan video.

Kontra

  • Bass terlalu kuat kurang seimbang untuk semua genre muzik.
  • Tiada sambungan berwayar langsung.
  • Kurang selesa untuk pemakaian lama.
  • Mikrofon kurang jelas untuk sesi permainan video.
Komen