Bagus Atau Tidak? – Masih Berbaloikah Membeli Apple MacBook Air M1

Diterbitkan pada July 18, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple MacBook Air M2 sudah boleh ditempah di Malaysia sejak dua minggu dan pembelian secara terus pula sudah boleh dilakukan sekarang. Strategi pemasaran Apple untuk Macbook Air M2 adalah sedikit aneh kerana MacBook Air M1 masih lagi ditawarkan. Berbeza dengan MacBook Pro 13 yang kini ditawarkan dengan cip M2 sahaja.

Semasa pra-tempahan dibuka, kami menerima beberapa soalan sama ada masih berbaloi untuk membeli sebuah MacBook Air M1 yang harga jualannya bermula daripada RM4399 berbanding Macbook Air M2 yang dijual pada harga bermula RM5499 sebuah. Perbezaan harga yang agak besar sekitar 25% lebih tinggi.

Jawapan kepada persoalan “bagus ataupun tidak” ini amat bergantung kepada beberapa faktor dan keperluan. Pertama sekali kita mulakan dengan teknologi skrin.

Skrin – 13.6″ vs 13.3″

Skrin MBA M2 ialah 13.6″ IPS LCD dengan resolusi retina. Hanya sedikit sahaja lebih besar berbanding MBA M1 dengan skrin 13.3″ IPS LCD. Tiada peningkatan teknologi yang besar kecuali 100 nits lebih terang dan wujudnya takuk untuk kamera. Selepas menggunakan MBA M2 selama beberapa hari, kewujudan takuk ini bukanlah isu yang besar dengan hanya menu dalam beberapa aplikasi seperti Photoshop kini diletakkan pada kanan takuk. Selepas beberapa jam takuk ini hilang daripada pemandangan seperti mana kami membiasakan diri dengan takuk pada iPhone 13 Pro Max.

Majoriti skrin yang “lebih besar” ini hanyalah ruang paparan yang kini 2 cm lebih tinggi berbanding pada MBA M1 maka sebenarnya tidaklah membawakan perubahan yang ketara. Skrin juga masih lagi mempunyai sudut pemandangan, sudut bukaan dan profil warna yang sama. isu skrin tidak begitu jelas di bawah sinaran matahari yang terik masih lagi wujud kerana ini kekurangan IPS LCD.

Cip Pemproses – Apple M2 vs Apple M1

Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan peningkatan kuasa CPU adalah sekitar 10% pada satu teras dan sekitar 14% dalam ujian multi teras. Perbezaan prestasi GPU pula lebih ketara iaitu sekitar 35%. Bagi mereka yang menyunting video menggunakan format ProRes pula, M2 ialah cip yang mempunyai sokongan natif lebih baik.

Kami menulis artikel ini dari perspektif pengguna biasa yang menghabiskan 90% waktu di pejabat menaip dalam aplikasi Google Docs, Sheets, Office dan menerusi WordPress. Peningkatan prestasi CPU dan GPU antara M1 dan M2 dalam situasi kerja di atas tidak langsung memberikan impak. Malahan M1 adalah terlebih berkuasa untuk digunakan sebagai sebuah komputer kerja.

Peningkatan prestasi M2 hanya dapat dilihat dalam tugasan lebih berat seperti memproses video dan melakukan suntingan Photoshop yang memerlukan rangkaian neural. Dalam dilihat masa yang diambil lebih pendek. Tetapi tanpa sistem penyejuk berkipas, MacBook Air M2 dan M1 kedua-duanya berhadapan dengan isu pemanasan sehingga prestasi cip dikurangkan bagi mengelakkan kerosakan. Dalam ulasan untuk MBA M2, kami mengatakan jika anda bercadang untuk melakukan banyak suntingan video panjang, MacBook Air bukanlah komputer paling sesuai. Bayar lebih sedikit untuk MacBook Pro 13 M2 yang mempunyai sistem penyejukan aktif.

Prestasi SSD dan RAM

Jangan terpedaya kerana wujud perbezaan prestasi yang ketara antara SSD 256GB yang digunakan pada MBA M2 dan MBA M1. Pada MBA M2, storan SSD paling asas ini hanya memberikan separuh kelajuan membaca dan menulis berbanding yang digunakan pada model asak MBA M1. Untuk mencapai prestasi yang setanding, model dengan SDD 512GB perlu dilpilih pada MBA M2. Prestasi RAM pula masih sama kerana penggunaan komponen yang sama.

Papan Kekunci dan Pad Sesentuh

Kedua-dua papan kekunci adalah dari keluarga Magic Keyboard dengan mekanisme gunting yang lebih tahan lasak berbanding sayap kupu-kupu yang tidak lagi digunakan. Pengalaman menaip adalah sama dan amatlah selesa. Magic Keyboard adalah antara papan kekunci komputer riba paling mesra menaip pernah kami gunakan.

Perbezaan adalah kecil dimana baris pertama Magic Keybord di MBA M1 adalah lebih kecil (sekitar separuh) berbanding kekunci lain. Pada MBA M2 kesemua kunci sama saiz dan simbol nampak lebih jelas khususnya dalam gelap dan lampu menyalah. Butang kuasa dengan Touch ID juga lebih besar mempercepatkan proses menyahkunci dengan sokongan biometeri.

Audio – 4 Speaker vs 2 Speaker

Speaker pada MBA M2 jauh lebih mantap dengan ia seakan keluar terus dari skrin. Selain Dolby Atmos ia juga menyokong audio spatial. Empat speaker baharu ini disorokkan antara tubuh dan skrin sekaligus tiada lagi kekisi audio pada sisi kanan seta kiri papan kekunci. Isu speaker terhalang ketika menaip tidak lagi berlaku pada MBA M2. Audio pada MBA M1 masih lebih baik berbanding majoriti komputer riba di pasaran tetapi perbezaan pengalaman audio antara kedua-dua komputer riba ini amat ketara. Seperkara lagi kedua-duanya masih mempunyai bicu audio 3.5mm.

Bateri – MagSafe 3 vs USB-C

Pengecas MagSafe 3 kembali ke MacBook menerusi MacBook Pro 14/16 tahun lalu. Pada MBA M2, ini bermakna isu kekurangan port USB-C ketika mengecas diselesaikan. Kabel MagSafe 3 juga dari jenis bersulam yang lebih tahan lasak berbanding kabel PVC MBA M1. Dari segi pengececasan tiada perubahan kuasa kerana masih lagi 30/35W bergantung kepada model.

Bateri lebih besar besar juga digunakan pada MBA M2 (52.6 Whr vs 49.9 Whr) tetapi hayatnya setanding iaitu sehingga 18 jam. Dari pengalaman peribadi memang tiada beza kerana bateri boleh bertahan sehingga 14 jam sekali caj dalam penggunaan tugasan kerja pejabat biasa.

Kamera Web – 1080p vs 720p

Selamat datang ke dunia model Apple! Kamera 1080P akhirnya digunakan pada MBA M2 yang diletakkan pada takuk skrin yang kami sebutkan pada perenggan pertama. Memang terdapat peningkatan resolusi, kualiti dan ketajaman imej pada kamera baharu. Jika anda bercadang melakukan banyak panggilan video dan menyertai sesi telesidang kamera pad MBA M2 adalah memuaskan.

Rekaan – Berkotak vs Aerodinamik

Akhir sekali kita menyentuh pula soal estetik rekanan yang sukar diukur kerana citarasa manusia berlainan antara satu sama lain. Ikhlas kami katakan rekaan MacBook Air M1 adalah lebih aerodinamik dan ikonik kerana telah digunakan Apple sejak generasi pertama Dari sisi ia kelihatan seperti bilah sayap kapal terbang yang tebal di hadapan sebelum menjadi semakin nipis di hujung. Rekaan ini sangat ikonik ia ditiru oleh pengeluar lain pada komputer riba kompak mereka. Bahagian penutup MBA M1 melengkung ke sisi membuatkannya kelihatan cukup mewah sehingga Apple menggunakannya semula sebagai atap beberapa Apple Store.

Tetapi harus juga dikatakan bahawa rekaan ini sudah dikitar semula sejak 2008. Sir Jony Ive sudah tidak lagi bersama Apple maka rekaan beliau haruslah digantikan dengan yang lebih segar. MBA M2 mempunyai tubuh berkotak dan permukaan satah lebih rata. Rekaannya kini lebih selari dengan iPhone, iPad, iMac, dan MacBook Pro. Nampak lebih moden berbanding produk-produk Apple generasi terdahulu. Adakah antara menyukai rekaan klasik atau rekaan kontemporari? Jawapan kepada soalan ini akan membuatkan anda membeli produk berbeza.

Bagus Atau Tidak MacBook Air M1?

MacBook Air adalah siri komputer riba yang dipasarkan khusus untuk tugasan-tugasan kerja yang ringan dimana prestasi tertinggi tidak diperlukan sepanjang masa. Oleh sebab itu ia popular di kalangan pelajar dan pekerja pejabat yang inginkan MacBook tanpa perlu berbelanja lebih.

Dari pengamatan kami, MacBook Air M1 masih lagi berbaloi dibeli pada tahun 2022 atas beberapa faktor. Cip Apple M1 masih lagi berkuasa untuk majoriti keperluan kerja. Peningkatan sekitar 14% pada CPU tidak menjadikan peningkatan harga 25% berbaloi. Speaker lebih baik pada MBA M2 juga bukan faktor besar kerana dari pengamatan kami di pejabat ramai menggunakan fon telinga/fon kepala.

Tiada perubahan pada papan kekunci dan pad sesentuh yang masih setanding. Begitu juga prestasi bateri yang tiada peningkatan walaupun saiznya ditambah. Skrin lebih “besar” tidaklah ketara kerana sekadar menambah ruang kerja yang 2 cm lebih tinggi. Kamera web lebih baik dan MagSafe 2 juga bukan alasan paling kukuh untuk membayar lebih untuk sebuah komputer riba.

Kami sarankan anda membeli MacBook Air M1 16/512 GB pada harga RM5999 yang memberikan nilai terbaik jika dibandingkan dengan MacBook Air M2 8/256 GB pada harga RM5499. SSD dua kali ganda lebih pantas dan RAM yang mencukupi sehingga 5 tahun ke hadapan. Belilah selagi model masih ditawarkan Apple.

komen


© Amanz / 2022 Kami