Nothing Phone (1) sudah pun dilancarkan pada minggu lepas. Peranti sudah pun dijual di beberapa negara terpilih dan kurang seminggu penggunaan, ramai melaporkan yang peranti ini mula mengalami masalah skrin yang serius.
Ramai pengguna dilihat mengalami masalah tunaskrin, di mana apabila peranti berada dalam mod gelap atau ada imej gelap dipaparkan – kesan berwarna hijau akan muncul. Ia berlaku secara rawak, ada yang berlaku pada bahagian atas skrin dan ada juga pada bahagian bawah. Pengguna yang telah menuntut jaminan dan menerima peranti baru juga dikatakan mengalami masalah sama dalam masa beberapa minit penggunaan.
Bukan itu sahaja, beberapa pengguna lain turut melaporkan yang peranti mereka mengalami masalah seakan piksel mati pada bahagian lubang kamera di skrin. Seperti masalah tunaskrin tadi, ada kesan berwarna hijau akan muncul.
Apa yang kelakar di sini adalah, isu tunaskrin hijau ini bukan pertama kali berlaku dengan produk yang melibatkan Carl Pei. Isu ini pernah berlaku pada tahun 2020, ketika Carl Pei masih bersama dengan OnePlus lagi. Ia berlaku pada peranti OnePlus Nord dan juga OnePlus, yang mana isu tunaskrin berlaku jika peranti berada pada kecerahan bawah 25%.
Isu ini boleh jadi pada dua bahagian, satu adalah tetapan profil warna skrin yang mungkin boleh diubah melalui kemaskini perisian. Kedua, ia mungkin berlaku kerana panel skrin yang tidak berkualiti. Buat masa in juga, majoriti laporan masalah peranti ini berlaku adalah di India dan tiada laporan masalah ini berlaku untuk pengguna negara lain seperti di Eropah. Harapnya versi yang akan dijual di Malaysia nanti tidak akan ada masalah ini.
Nothing Phone (1) hadir dengan skrin OLED 6.55-inci 120Hz, dijana cip Snapdragon 778G+, menggunakan dwi-kamera 50MP, serta mempunyai sistem lampu LED unik yang digelar sebagai Glyph. Peranti ini akan dijual di Malaysia pada harga bermula RM2399.