Honor Memanggil Semula Kakitangan Dari India Berikut Siasatan Kerajaan Ke Atas Syarikat China
Effi Saharudin
Kerajaan India meningkatkan siasatan ke atas syarikat pengeluar peranti dari China sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Aset Xiaomi, Vivo dan Oppo telah dibekukan selepas didakwa cuba mengelakkan cukai serta terlibat dalam pengubahan wang. Hari ini menurut laporan South China Morning Post, CEO Honor George Zhao telah memanggil semula kakitangan syarikat dari India.

Beliau dipetik berkata tindakan diambil atas “sebab yang ketara” merujuk kepada siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa India ke atas syarikat telekomunikasi dari China. Honor masih meneruskan perniagaan di India tetapi kini diuruskan oleh rakan niaga mereka.
Konflik antara India dan China pada tahun 2020 menyebabkan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara. Pada peringkat awal pengeluaran pelbagai peranti elektronik terjejas kerana komponen dihalang dari memasuki India oleh pihak berkuasa. Kemudian lebih 200 aplikasi dari China seperti TikTok, WeChat dan PUBB Mobile diharamkan kerana didakwa boleh digunakan untuk mengintip warga India.
[sumber] Sumber – SCMP [/sumber]