HomePod adalah speaker pintar tersendiri Apple yang tidak dijual secara meluas. Ia hadir dengan Siri terbina untuk pengguna kawal peranti berhubung di rumah dengan arahan suara atau juga mengawal Apple Music. Jika ada dua atau lebih HomePod, ia boleh disambungkan antara satu sama lain menjadikannya satu sistem stereo.
Tahun 2020 Apple hadir dengan HomePod Mini dan kemudian menghentikan pengeluaran HomePod pada tahun 2021. Sejak daripada itu, mula kedengaran Apple akan hadir dengan HomePod baharu yang mempunyai kamera dan menjalankan tvOS serta skrin pintar seperti Nest Hub.
Terkini menurut Mark Gurman, Apple akan hadir dengan sebuah peranti pintar seakan hibrid iPad dan speaker khusus untuk digunakan di dapur. Beliau mendakwa Apple sedang menguji empat jenis prototaip untuk produk sebegini. Produk ini mungkin akan menggantikan HomePod yang asal kerana mempunyai saiz lebih kurang sama. Tambahan beliau lagi, HomePod Mini generasi baharu juga mungkin akan dihasilkan.
HomePod baharu ini mungkin akan mengambil masa setahun lagi untuk dilancarkan. Beliau menjangkakan yang HomePod baharu ini akan dilancarkan sekitar hujung tahun 2023 atau awal tahun 2024.