Sonos adalah jenama produk audio yang premium. Tahun ini buat pertama kali, mereka hadir dengan produk yang mampu milik untuk jenama mereka iaitu Sonos Ray. Mereka juga akan melancarkan Sonos Sub Mini agar boleh digunakan bersama dengan Ray pada harga yang lebih murah berbanding Sonos Sub asal mereka. Tetapi Sub Mini ini ditunda pelancarannya.
The Verge baru-baru ini, melaporkan yang Sonos tidak lama lagi akan hadir dengan speaker mercu baharu mereka iaitu Sonos Optimo 2 yang akan hadir dengan rekaan unik berbeza dengan rekaan Sonos yang semua kenal.

Speaker ini akan memuatkan pelbagai ciri dan fungsi daripada speaker Sonos lain dalam satu produk. Ia akan mempunyai pelbagai pemacu audio termasuk yang menghala ke atas. Audio turut akan dikeluarkan melalui kekisi pada bahagian hadapan dan belakang serta di sekeliling. Rekaan yang digunakan adalah jenis melengkung. Sokongan Dolby Atmos turut akan disokong pada Optimo 2 ini.
Speaker ini turut dikatakan akan mempunyai memori yang lebih besar dan storan dalaman untuk kegunaan sistem yang lapan kali ganda besar untuk pelbagai ciri dan fungsi dimuatkan seperti kawalan suara Sonos Voice Control. Optimo 2 akan menyokong sambungan melalui WiFi, Bluetooth, bicu audio dan mungkin juga USB-C. Selama ini Bluetooth hanya boleh digunakan pada Move dan Roam, speaker mudah alih mereka sahaja.

Untuk sokongan kawalan suara tadi, mikrofon akan sedia terbina yang turut berfungsi untuk menala speaker agar mempunyai kualiti audio terbaik mengikut lokasi dan suasana. Sonos dijangka akan hadir dengan Optimo 1 dan Optimo 1 SL (tanpa mikrofon) dalam siri ini.
Buat masa ini masih tiada sebarang informasi mengenai harga dan tarikh pelancaran. Di Amanz, speaker Sonos adalah antara kegemaran kami kerana audio yang hebat dan mudah dikawal dengan pelbagai peranti serta menyokong pelbagai perkhidmatan penstriman muzik. Sama-sama kita nantikan.