Carian
Wujudkah Kemerdekaan Sebenar Di Zaman Teknologi?
September 16, 2022 Effi Saharudin

Selamat menyambut hari istiqlal Tanah Melayu yang ke-65 dan pembentukan Persekutuan Malaysia ke-59. Lebih enam dekad kita berdikari bebas dari kekangan baginda Queen, dan residen British yang kemudiannya digantikan pula dengan rantai besi Liga Perdana Inggeris dan London Almond. Usia negara kita Malaysia yang sudah meningkat ke-59 tahun masih melayakkan kita sebagai antara negara yang termuda di dunia.

Saban tahun akan ada artikel tentang erti kemerdekaan yang dinukilkan oleh penulis yang dipaksa oleh editor demi memenuhi tema yang hanya hadir setahun sekali. Giliran menulis artikel tema merdeka jatuh ke tangan aku tahun ini kerana seperti kata Thanos “baiklah aku buat sendiri”.

Apple Merdeka Malaysia

Kita masih belum merdeka secara total tetapi sekurang-kurangnya ketakutan kepada Covid-19 kini berkurangan beberapa ribu peratus. Ketakutan akan meninggal dunia sudah tidak lagi menghantui kita setiap hari terima kasih kepada vaksin dan pemakaian pelitup muka yang masih lagi tinggi jika ingin dibandingkan dengan Barat.

Kembali kepada topik asal mengenai kemerdekaan. Melihat kepada apa yang terjadi kepada China dan Ukraine sejak empat tahun kebelakangan ini membuatkan aku terfikir mengenai erti merdeka di zaman teknologi siber digital.

Dalam masa kurang enam bulan, ekonomi Rusia mula terumbang ambing selepas sekatan perdagangan dikenakan oleh negara-negara Barat. Syarikat teknologi utama seperti Apple, Microsoft, Dell dan Samsung mula menarik diri dari pasaran Rusia serta menutup perniagaan mereka.

Dell yang mempunyai pegangan besar perkakasan server di Rusia menghentikan sokongan ke atas produk yang digunakan pelanggan sejak Februari lalu. Intel juga tidak lagi menawarkan cip mereka kepada Rusia dengan akses kepada teknologi fabrikasi cip milik Amerika Syarikat juga telah ditarik. Dua contoh ini sahaja sudah berjaya melumpuhkan teknologi IT di Rusia sehingga terdapat ramalan keadaan akan kembali ke status sebelum robohnya Kesatuan Soviet.

Rusia ialah negara dengan keluasan tanah terbesar di dunia. Walaupun dikategorikan sebagai salah satu kuasa besar dunia, mereka tidak berkuasa untuk melawan sekatan perdagangan yang telah dikenakan ke atas mereka. Pergantungan mereka kepada teknologi buatan China sekarang sebagai ganti teknologi Bart dilihat sebagai insiden yang cukup memalukan. Masih belum di tahap kesipuan selepas kekalahan di Selat Tsushima tetapi ia menunjukkan bagaimana China berjaya memintas mereka dari segi kemajuan teknologi dalam masa hanya tiga generasi.

China Amerika

Bercakap mengenai China, mereka kini di dalam sasaran Amerika Syarikat dan sekutu mereka pula. Bermula dengan sekatan ke atas Huawei tiga tahun lalu, pelbagai sekatan baharu dikenakan pula ke atas DJI, ZTE dan banyak lagi syarikat dari China.

Akses kepada teknologi fabrikasi yang berteknologi lebih tinggi sudah dikekang dan penjualan cip juga memerlukan kebenaran daripada Jabatan Perdagangan terlebih dahulu. Joe Biden kemudian menambah kesengsaraan ke atas China yang dimulakan Trump dengan mengekang jualan cip kecerdasan buatan pula beberapa minggu lalu.

Kesatuan Soviet tidak mempunyai masalah membantu China untuk membangunkan industri mereka lebih 70 tahun yang lalu atas dasar solidariti pemahaman Marx-Lenin yang dikongsi. China yang pada awalnya dipanggil negara yang hanya bijak “copy-ori” sudah berjaya melakukan inovasi sendiri seperti yang dapat dilihat dengan kejayaan stesen angkasa Tiangong dan kapal pengangkut pesawat Fujian dengan CATOBAR.

Ironi di sini ialah kedua-dua teknologi asas kepada dua sistem ini diberikan oleh Rusia kepada China tetapi kini Rusia tidak memiliki kedua-duanya. Modul ISS Rusia memerlukan modul dari negara lain dan kapal pengangkut Rusia bermasalah hanya tinggal satu (China mempunyai tiga) dengan ia tidak dilengkapi CATOBAR.

5G Malaysia

Amerika Syarikat gemar mengatakan merekalah yang balik bebas dan merdeka sekalipun jatuh tergolek apabila barangan yang perlu diimport dari China terhenti rantaian bekalannya akibat Covid tempoh hari. Jika esok Malaysia dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat, berapa lamakah dapat kita bertahan selepas infrastruktur teknologi seperti 5G yang ditunjangi teknologi luar negara berhenti beroperasi?

Apa yang aku cuba sampaikan di sini ialah, negara dengan keluasan tanah terbesar dan ekonomi kedua terbesar dunia masih belum mampu merdeka sepenuhnya kerana hakikatnya di kurun ke-21, tidak ada satupun negara yang benar-benar merdeka secara total. Selamat menyambut bulan kemerdekaan dan Selamat Hari Malaysia.

Komen