Carian
Ulasan – Penyesuai Ugreen USB-C Multitouch Adapter Cantik Tetapi Tidak Konsisten
October 28, 2022 Effi Saharudin

Realitinya ialah di tahun 2022 semakin banyak komputer riba tidak dilengkapi I/O yang hanya sedekad yang lalu dianggap perlu. Apple misalnya tidak menawarkan komputer riba dengan USB-A, pembaca kad memori dan LAN. Hanya menerusi model MacBook Pro tahun lalu ia dikembalikan selepas menerima tekanan dari pengguna. Adalah agak kelakar apabila difikirkan hanya beberapa generasi yang lalu sebuah komputer kerja mempunyai kesemua I/O termasuk pemandu CD, cakera liut dan output VGA.

Kerana pengeluar komputer riba enggan berubah, pengguna yang perlu menguba09.81h gaya hidup dan mula membeli penyesuai USB-C bagi mengembalikan semua port-port yang telah hilang. Urgeen menawarkan USB-C Multitouch Adapter ke pasaran Malaysia beberapa bulan yang lalu sebagai penyelesaian semua dalam satu.

Dengan 3x USB-A 3.0, 1x HDMI, 1x VGA, 1x RJ45, 1x kad TF, 1x kad SD, dan bicu 3.5mmm ia adalah penyesuai dengan jumlah I/O yang cukup mewah di atas kertas tetapi realitinya tidak seindah spesifikasi.

Rekaan

Kita mulakan dahulu dengan rekaan kerana ia adalah sebab mengapa kami bersetuju untuk mengulas Ugreen USB-C Multitouch Adapter. Ia nampak segak dan premium dengan warnanya pula serasi dengan MacBook Air M1 yang kami gunakan pada waktu tersebut. Pengguna MacBook Air M1 tidak akan mengaku tetapi walaupun ia sebuah komputer riba yang baik, dengan hanya dua USB-C di sisi ia sukar untuk digunakan.

Jika satu USB-C digunakan untuk mengecas, pemilik hanya mempunyai satu sahaja aksesori USB-C yang boleh digunakan. Maka penggunaan penyesuai adalah perlu bagi memastikan tiada isu untuk menyambung aksesori lain untuk melakukan kerja.

Ia juga mirip dengan penyesuai kelas mercu yang dijual oleh Satechi pada harga yang tiga kali ganda lebih mahal. Dalam kepala kami ingin melihat sendiri sama ada harga berbeza akan memberikan pengalaman yang berbeza.

Kemasan tubuh aluminium bukan sahaja kemas tetapi tidak mudah kotor. Ia juga ringan kerana bahagian dalam penyesuai ini sebenarnya rompong. Bahagian sisinya pula diperbuat daripada bahan plastik hitam.

Pada satu sisi diletakkan 3x USB-A 3.0 dan bicu audio 3.5mm. Pada sisi bertentangan pula diletakkan 1x HMDI, 1xVGA dan 1x RJ45. Pada bahagian bawah terdapat pula slot untuk pembaca kad memori dan di atas pula kabel sambungan USB-C ke komputer dan input USB-C.

Jika markah diberikan untuk gaya, kami boleh memberikan 8/10 kerana penyesuai ini memang nampak premium dan kemas walaupun dijual pada harga yang lebih mampu milik.

Penggunaan

Dengan 10 port pada tubuh, mungkin ada yang menyangka kesemuanya boleh digunakan serentak. Dukacita dimaklumkan ini tidak boleh dilakukan. Isu kami sedari sejak hari pertama ia digunakan. Penyesuai disambungkan kepada port USB-C MacBook Air M2 dengan kemudiannya sebuah monitor 4K disambungkan menerusi port HDMI. Output 4K 60p dapat disokong dengan baik pada kesemua monitor yang kami uji iaitu Samsung M7, Predator X28 dan Prism+ PG320 Ultra.

Kemudian kami cuba menyambungkan sebuah speaker menerusi bicu audio 3.5mm. Sambungan speaker langsung tidak dapat dikesan. Hanya kabel HMDI ditanggalkan barulah bunyi keluar dari speaker. Itupun seperti hidup segan mati tak mahu kerana pada tetapan audio paling kuat sekalipun bunyi yang dikeluarkan adalah tidak bermaya. Seakan output audio 3.5mm dicantas 50% berbanding jika kami sambungkan kepada bicu audio 3.5mm Macbook Air.

Kami kemudian menyambungkan kad mikro SD, dongel Lightspeed untuk fon kepala, SSD USB-A dan HDMI. Kali ini tiada sebarang isu pula. Dalam manual yang diberikan oleh Ugreen tiada pula diberikan maklumat mengenai kombinasi sambungan yang boleh dilakukan ataupun tidak seperti yang mereka berikan pada pengecas GaN yang kami ulas sebelum ini.

Entah mengapa sambungan kabel LAN juga kadang kala dikesan kadang kala tidak walaupun menggunakan kabel yang sama setiap kali. Ini memberikan pengalaman menggunakan penyesuai ini seperti permainan tikam. Kalau bernasib semua OK dan sebaliknya pula berlaku secara rawak.

Ini besar kemungkinan kerana penyesuai ini tidak mempunyai piawaian rasmi MFi dari Apple seperti aksesori penyesuai lain yang lebih mahal. Satu ciri yang konsisten ialah n

Kami turut melakukan ujian pada sebuah Samsung Galaxy Z Fold4, iPad Air M1 dan komputer riba Windows 11. Isu-isu yang sama berlaku mengesahkan ia tidak disebabkan oleh macOS tetapi penyesuai ini yang tidak sesuai dalam semua situasi.

Apabila disambungkan kepada sebuah Z Fold4 kami boleh mengakses DeX secara berwayar apabila disambungkan kepada sebuah monitor. Tiada isu juga untuk menyokong sebuah tetikus dan papan kekunci menggunakan port USB-A.

Kesimpulan

Penyesuai yang baik akan memudahkan kehidupan pengguna peranti yang mempunyai jumlah port yang terhad. Sebagai pengguna MacBook Air M2, kami ialah golongan sasaran untuk membeli Ugreen USB-C Multitouch Adapter kerana terdapat 10 port tambahan dalam satu.

Tetapi tanpa menerima piawaian rasmi MFi dari Apple penggunaan penyesuai ini tidak begitu lancar dan menimbulkan beberapa isu. Tidak semua port boleh digunakan secara serentak dan hanya beberapa ciri sahaja berfungsi dengan sempurna. Output 4K 60p menerusi HDMI adalah sempurna tetapi sambungan 3.5mm pula amat mengecewakan.

Pada hemat kami penyesuai Ugreen ini tidak sesuai untuk semua. Ia adalah penyesuai sandaran yang kami hanya gunakan ketika tiada pilihan lain di pejabat atau jika kami hanya ingin menggunakan maksimum DUA port sahaja. Jika lebih daripada dua aksesori disambungkan pelbagai isu mungkin muncul secara rawak.

Sungguhpun begitu pada jualan yang kini serendah RM173.90 di beberapa gedung atas talian ia masih lebih murah berbanding penyesuai USB-C lain dengan sokongan I/O yang lebih sedikit. Tetapi jika anda inginkan penyesuai MacBook/iPad yang lebih konsisten kami menyarankan anda mencari penyesuai dengan piawaian MFi.

Komen