Cari @ Amanz

Semasa Apple melancarkan siri iPhone 14 pada September lalu, model yang menarik perhatian ialah iPhone 14 Plus. Ini adalah kali pertama model Plus kembali selepas lali terakhir ditawarkan menerusi iPhone 8 Plus lima tahun yang lalu. Kali terakhir model ini diperkenalkan adalah dengan iPhone 8 Plus pada tahun 2017.

Spesifikasi iPhone 14 Plus adalah sama sahaja dengan iPhone 13 Pro tahun lalu. Beza adalah pada saiz skrin, konfigurasi kamera dan kapasiti bateri. Pemproses A15 Bionic tahun lalu juga dikitar semula yang menjadikan ini kali pertama model dengan siri nombor yang sama menggunakan cip pemproses yang berbeza. Bagi yang kuran arif, iPhone 14 Pro dilengkapi cip A16 Bionic yang lebih berkuasa.

Sebagai pengguna iPhone 13 Pro, saya telah mencuba iPhone 14 Plus sebagai peranti harian untuk lebih seminggu. Apa yang boleh saya katakan walaupun model Plus yang gah telah kembali, ia masih ada beberapa kelemahan yang perlu pembaca tahu sebelum membelinya. Dalam ulasan ini saya akan berkongsi pengalaman penggunaan dan memberi pendapat untuk siapakah iPhone 14 Plus ini sebenarnya.


Spesifikasi Dan Rekaan

Apple iPhone 14 Plus
Skrin6.7-inci, Super Retina XDR OLED 
2532 x 1170-piksel, 460 ppi
HDR, 60Hz
PemprosesA15 Bionic (5nm)
Cip2x 3.23 GHz Avalanche
4x 1.82 GHz Blizzard
Cip GrafikApple GPU 5-teras
RAM6GB RAM LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512 GB NVMe
Kamera Utama12MP, f/1.5, sensor‑shift, OIS (Utama)
12MP, f/2.4, 2x zum optikal (Sudut ultra-lebar)
Photonic Engine, Photographic Styles
Kamera Swafoto12 MP, f/1.9
Autofocus dengan Focus Pixels
Bateri4,323 mAh
Berwayar, sekitar 20W
SIM/TelefoniDwi SIM nano+eSIM
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanFace ID
Harga Jualan128GB – RM4699
256GB – RM5199
512GB – RM6199

Jujur saya katakan, ketika pelancaran iPhone 14 apa yang membuatkan saya teruja hanyalah pada model Pro kerana mempunyai Dynamic Island yang membuatkan rekaan skrin iPhone nampak lebih unik. Model iPhone 14 Plus ini reaksi saya hanyalah “Oh, iPhone 13 yang dibesarkan“. Rekaan skrin masih lagi jenis bertakuk dan tidak nampak beza pun sama ada berlaku pengecilan ataupun tidak. Kecuali pada saiz iaitu 6.7-inci yang sama dengan saiz iPhone 14 Pro Max.

Di sisi kanan masih dengan butang kuasa, sisi kiri kekal dengan butang aras suara serta suis notifikasi, kemudian ada slot kad SIM yang kekal dengan sokongan satu SIM tetapi ada sokongan eSIM untuk yang kedua. Di atas masih tiada apa-apa, di bawah pula menampakkan kekisi speaker dan port Lightning. Belakang peranti hanya mempunyai satu bonggol kamera yang tidak begitu besar yang kita semua kenal sejak iPhone 13.

iPhone 14 Plus masih menggunakan konfigurasi dwi-kamera dengan sensor 12MP utama dan 12MP sudut ultra lebar. Tetapi sensor utama adalah lebih baharu dengan kemampuan yang lebih baik. Sokongan penstabilan Sensor-Shift turut dikekalkan. Kamera swafoto juga masih sama iaitu 12MP, cuma kali in ia menyokong sistem auto-fokus yang selama ini tiada pada mana-mana iPhone.

Cip pemprosesan adalah Apple A15 Bionic (5nm), yang menggunakan CPU 2x 3.23 GHz Avalanche dan 4x 1.82 GHz Blizzard serta GPU Apple lima teras yang sama dengan iPhone 13 Pro sebelum ini. Berbeza dengan iPhone 13 sebelum ini dengan 4GB RAM, semua iPhone 14 menggunakan 6GB RAM.

Penggunaan Dan Perisian

Seperti yang saya katakan pada ulasan iPhone 13 saya, skrin iPhone 14 Plus juga DAHSYAT!. Ia mempunyai kualiti yang terbaik pernah saya lihat. Skrin yang cukup terang walaupun ketika digunakan di bawah cahaya matahari yang terang. Warna yang kelihatan hidup, menarik perhatian dan memberikan pengalaman menonton video yang memuaskan kerana turut menyokong kandungan Dolby Vision. Saiz 6.7-inci yang lebih besar juga memberikan pengalaman tontonan video yang lebih memuaskan.

Tetapi saiz skrin yang besar seperti ini bukanlah untuk saya. Aneh sekali peranti Android dengan saiz skrin besar tiada masalah untuk saya gunakan tetapi pada iPhone saya rasa janggal. Saya lebih selesa dengan iPhone 13 Pro yang digunakan sekarang. Seperkara lagi yang mengecewakan ialah skrin sekadar 60Hz dan tiada Always-On Display walaupun peranti dijual pada harga bermula RM4699. Peranti Android kelas pertengahan yang lebih murah paling teruk sekalipun menyokong 90Hz.

Selepas menggunakan banyak peranti Android dengan skrin 120Hz serta iPhone 13 Pro dengan ProMotion, penggunaan iPhone 14 Plus ini terasa agak perlahan. Animasi peranti pada kadar 60Hz memberikan pengalaman seakan peranti mempunyai isu lengah masa. Ini berlaku kerana saya yang sudah terbiasa dengan 120Hz. Bagi pengguna iPhone tanpa ProMotion sebelum ini, skrin akan masih terasa lancar dan pantas.

Selepas enam belas interasi iOS ciri multi-tetingkap masih tidak disokong. Ia sudah diberikan kepada iPadOS tetapi tempoh menanti ia tiba ke iOS bertambah setahun lagi. Ciri Dynamic Island yang boleh menjalankan beberapa aplikasi terpilih di atas aplikasi lain hanya diberikan kepada model 14 Pro sahaja. Ini faktor kenapa saya tidak gemar menggunakan iPhone dengan skrin yang besar kerana ruang tidak digunakan dengan optimum seperti pada peranti Android.

Tetapi apa yang menarik dengan iOS 16 ialah ia memberikan lebih banyak kebebasan kepada pengguna untuk melakukan kustomasi. Peranti teras lebih peribadi jika dibandingkan dengan IOS terdahulu.

Jika sebelum ini sudah ada sokongan widget pada skrin utama, ia kini ditawarkan pada kunci skrin pula. Kustomasi skrin kuncu iOS 16 adalah lebih pelbagai dan cantik berbanding yang wujud pada Android. Saya turut menggemari ciri Focus, kerana ia cukup pintar dan berfungsi dengan lebih baik berbanding Do Not Disturb pada Android. Ia boleh menetapkan gambar latar mengikut lokasi seperti rumah atau kerja dan mengawal notifikasi untuk paparkan yang penting sahaja ketika kerja.

Terdapat banyak lagi ciri menarik iOS 16 seperti Family Sharing, menyorok gambar dari Gallery dan suntingan mesej dalam iMessage dan banyak lagi. Senarai lengkap ciri-ciri menarik telah disenaraikan di Amanz sebelum ini dan boleh diakses menerusi pautan di bawah. Menerusi sistem operasi ini, ciri-ciri pada iPhone kini semakin setanding dengan yang telah wujud pada Android sejak bertahun lamanya.

Ciri seperti mengesan kemalangan kenderaan turut disokong pada peranti ini, tetapi saya tidak akan mengujinya dan berdasarkan laporan ia dilihat berfungsi dengan baik. Terdapat juga ciri panggilan dan menghantar mesej kerana kecemasan melalui satelit tetapi ia tidak boleh digunakan di Malaysia buat masa ini.

Penanda Aras

Sebelum ujian dilakukan, saya menjangkakan markah penanda aras iPhone 14 Plus dan iPhone 13 Pro akan sama memandangkan spesifikasi A15 Bionic dan 6GB RAM yang sama. Tetapi seperti yang boleh anda lihat sendiri di bawah, markah yang dicatatkan tidak begitu konsisten.

Di AnTuTu 3D peranti ini dapat mencapai skor 798,843 tetapi kadangkala tidak ada masalah untuk mencapai lebih 830,000. Di Geekbench 5 pula ia menerima skor 1713/4625 yang lebih kurang sama dengan iPhone 13 Pro dan akhir sekali melalui 3DMark selepas beberapa ujian dilakukan ia dilihat sentiasa mempunyai skor yang lebih tinggi iaitu 2429 markah berbanding iPhone 13 Pro yang hanya mencapai mencatatkan 2335 markah sahaja.

AnTuTu 3D
  • iPhone 14 Plus: 798,843
  • iPhone 13 Pro: 801,200
  • Galaxy Z Flip4: 804,731
Geekbench 5
  • iPhone 14 Plus: 1713/4625
  • iPhone 13 Pro: 1726/4427
  • Galaxy Z Flip4: 1282/3686
3DMark Wildlife
  • iPhone 14 Plus: 2,429
  • iPhone 13 Pro: 2,335
  • Galaxy Z Flip4: 2867

Bermain permua pada iPhone 14 Plus adalah amat memuaskan. Walaupun tidak dipasarkan sebagai sebuah peranti untuk permua, iPhone mempunyai reputasi permua yang cukup baik dari pengalaman saya di makmal Amanz.

Prestasi yang pantas melancarkan permua, lancar dengan kadar bingkai tinggi, dan anda boleh bermain sehingga berjam-jam lamanya kerana ketahanan bateri yang baiuk. Peranti juga sukar untuk mengalami masalah memanas dan setakat penggunaan tiada lagi masalah lengah masa berlaku. Antara permua yang saya sempat uji pada iPhone 14 Plus adalah Asphalt 9 dan juga PUBG Mobile.

Telefoni Dan GPS

Untuk telefoni seperti panggilan telefon, sokongan VoLTE dan VoWiFi – iPhone 14 Plus adalah antara yang terbaik dengan panggilan telefon yang jelas. Tetapi untuk sambungan data mudah alih, agak mengecewakan ia agak perlahan dan sukar untuk saya mendapatkan akses Internet yang pantas. Masih tiada iPhone di Malaysia disokong oleh rangkaian 5G DNB. Untuk prestasi GPS pula, peranti memberikan lokasi yang tepat, pantas dan tiada masalah dengan arahan selok-belok.

Kamera

iPhone 14 Plus masih lagi menggunakan konfigurasi dwi-kamera 12MP satu dengan sudut lebar dan satu lagi dengan lensa ultra sudut lebar. Hanya lensa sudut lebar dilengkapi sistem OIS Sensor Shift. Kamera swafoto 12MP menyertakan sokongan auto-fokus buat pertama kali untuk imej yang lebih tajam. Keputusan bernas dari Apple kerana kamera hadapan digunakan dengan lebih kerap oleh penghasil kandungan video TikTok dan Instagram sekarang.

Kamera swafoto dilihat mampu memelihara butiran dengan bagus. Bukan itu sahaja, sistem autofokus dilihat amat membantu dan tidak menjadikan kesan latar belakang terus terdedah kepada cahaya yang melampau. Kemudian gambar mod potret juga memberikan kesan bokeh yang lebih kemas.

Kamera utama 12MP adalah kecil berbanding iPhone 14 Pro Max (48MP) atau Xiaomi 12T Pro (200MP) tetapi kualiti gambar yang diambil amat memuaskan. 14 Plus mengesahkan pepatah “saiz bukan segala-galanya” adalah cukup tepat.

Kamera memfokus dengan pantas dan gambar sentiasa kelihatan tajam kerana sistem wujudnya sistem Sensor-Shift yang disebutkan tadi. Secara keseluruhan gambar yang diambil warnanya hidup dan terang. Walaupun tiada sokongan makro, gambar jarak dekat masih mempunyai butiran yang baik. Berikut adalah beberapa sampel gambar yang mempunyai banyak warna. iPhone 14 Plus juga mampu memberikan kesan kabur yang baik walaupun tidak menggunakan mod potret.

Gambar manusia juga apabila diambil, turut boleh memperlihatkan butiran dengan jelas seperti tekstur pada kulit, baju, helaian rambut dan memberikan warna yang lebih semula jadi. Tetapi sejak tahun lalu, iPhone mula memperkenalkan Photographic Styles yang membolehkan pengguna memilih profil warna kegemaran. Jika tahun lepas dengan iPhone 13 saya lebih gemar menggunakan profil Vibrant kali ini pada iPhone 14 Plus saya memberi peluang kepada profil Standard untuk mencuba warna yang tidak dipertingkatkan dan hasilnya agak memuaskan hati.

Hasil sudut ultra-lebar dan mod malam dilihat masih tidak setanding dengan peranti mercu Android ataupun model Pro. Malah pada hemat saya, peranti Android dengan sensor sudut ultra-lebar 8MP pun boleh memberikan hasil yang lebih kurang sama. Cuma pada iPhone ia mempunyai pasca proses yang lebih baik dengan kemampuan fokus yang lebih pantas.

Mod malam kini sudah menyokong pilihan manual dan hasil yang diberikan kadangkala tidak konsisten ada yang terang dan ada juga yang kelihatan pecah. Tetapi untuk sebuah iPhone yang bukan “Pro”, hasilnya masih boleh terima. Sistem zum hanya sekadar sederhana hingga 2X optikal dan sehingga 5X digital. Gambar yang diambil pada tetapan 5X zum nampak lembut dan kabur. Jika zum adalah penting untuk anda, model iPhone Pro adalah pilihan lebih bijak.

Tidak kira siang atau malam prestasi rakaman video iPhone belum pernah lagi mengecewakan. Menerusi Action Mode video di bawah kelihatan seperti diambil menggunakan gimbal tetapi sebenarnya sekadar dipegang dalam tangan.

Audio

Audio yang dihasilkan kuat, cukup seimbang dan memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Di rumah setiap kali saya menggunakan peranti ini, saya hanya bergantung sepenuhnya pada speaker dan tidak menggunakan sebarang aksesori Bluetooth. Ia juga enak, mempunyai bass yang memadai dan penggunaan pada aplikasi penstriman seperti Apple Music tidak membawakan sebarang masalah. Audio spatial dapat dinikmati jika anda mempunyai aksesori yang menyokongnya seperti AirPods Gen 3.

Bateri

Dengan iPhone 14 Plus, saya tidak ada masalah untuk menerima ketahanan bateri mencapai 11 jam SOT untuk penggunaan ringan dan sekitar 5-7 jam untuk penggunaan lebih berat dengan permua, kamera dan banyak aplikasi berjalan di latar. Ini adalah hayat SOT yang cukup baik bagi sebuah peranti mercu.

Sayang sekali kuasa pengecasan masih lagi setakat 20W secara berwayar dan 15W menggunakan MagSafe. Adalah mengecewakan peranti yang berharga lebih RM4000 sekadar menyokong piawaian pengecasan yang perlahan jika dibandingkan dengan peranti Android dalam kelas yang sama.

Pesaing

iPhone 14 PlusGalaxy Z Flip4iPhone 13 Pro
6.7-inci, Super Retina XDR OLED, 2532 x 1170-piksel, 460 ppi, HDR, 60HzDalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+
Luar – 1.9″ Super AMOLED
6.55-inci Fluid AMOLED 120Hz, FHD+, 1080 x 2400 piksel, 402 ppi
HDR10+, 120Hz
A15 Bionic (5nm)
2x 3.23 GHz Avalanche
4x 1.82 GHz Blizzard
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
A15 Bionic (5nm)
2x 3.23 GHz Avalanche
4x 1.82 GHz Blizzard
Apple GPU 5-TerasAdreno 730Apple GPU 5-Teras
6GB RAM LPDDR5
128/256/512 GB NVMe
8GB RAM LPDDR5
128/256/1000 GB UFS 3.1
6GB RAM LPDDR5
128/256/512 GB NVMe
12MP, f/1.5, sensor‑shift, OIS (Utama)
12MP, f/2.4, 2x zum optikal (Sudut ultra-lebar
12MP, f/1.8, OIS (utama)
12MP f/2.2 (sudut ultra-lebar)
12MP, f/1.5, sensor‑shift, OIS (Utama)
12MP, f/2.8, 3x zum optikal, OIS (telefoto)
12MP, f/1.8, (Sudut ultra-lebar)
LiDAR
12 MP (f/1.9)10 MP (f/2.4)12 MP (f/2.2)
NFC, Apple Pay
Bluetooth 5.3
NFC, Samsung Pay
Bluetooth 5.2
NFC, Apple Pay
Bluetooth 5.0
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4323 mAh
Pengecasan berwayar 20W
3700 mAh
Pengecasan berwayar 25W
3095 mAh
Pengecasan berwayar 20W
RM4699 (128GB)
RM5199 (256GB)
RM6199
(512GB)
RM4099 (128GB)
RM4299 (256 GB)
RM4899 (1TB)
RM4599 (Bespoke 256 GB)
RM4599 (128GB)
RM5,099 (256GB)
RM5,999
(512GB)
RM6,899 (1TB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x iPhone 14 Plus
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke Lightning
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Pelekat Apple.

Kesimpulan

Apple dilihat masih cuba untuk menarik perhatian pengguna Android beralih ke ekosistem mereka. Banyak ciri pada iOS 16 kini adalah mirip dengan yang wujud di Android, pilihan skrin lebih besar, cip yang berkuasa, dan kemampuan kamera yang hebat adalah ciri-ciri yang memang dicari oleh pengguna Android.

Tetapi pada hemat saya, iPhone 14 Plus masih sukar untuk meyakinkan pengguna Android lebih-lebih lagi jika mereka sudah biasa dengan peranti dengan skrin 90Hz atau 120Hz dan mempunyai pengecasan lebih pantas. iPhone 14 Plus dijual pada harga bermula dengan RM4699 di Malaysia yang agak mahal dan mempunyai pelbagai kekurangan ketara berbanding peranti Android dengan spesifikasi yang lebih baik.

Tetapi iPhone 14 Plus ialah peranti yang serasi bagi pengguna iPhone yang ingin menaik taraf ke model yang lebih berkuasa dan skrin lebih besar tanpa perlu berbelanja bermula RM5799 untuk iPhone 14 Pro Max. iPhone 14 Plus ialah model iPhone pilihan bagi mereka yang ingin terus kekal menggunakan ekosistem Apple tetapi tidak mahu berbelanja lebih untuk ciri tambahan yang lebih premium.


Pro

  • Skrin yang cantik, terang dan memuaskan untuk tontonan video.
  • Ketahanan bateri yang menakjubkan.
  • Prestasi yang cukup pantas, setaraf peranti mercu lain.
  • Kualiti audio yang hebat dan mengasyikkan.
  • Kemampuan rakaman video yang menggiurkan.

Kontra

  • Skrin sekadar 60Hz
  • Tiada kamera telefoto untuk zum yang jauh.
  • Pengecasan sekadar 20W
  • Sambungan Lightning masih USB 2.0.
  • Mengitar semula cip yang sama setahun lalu.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd