Carian
Ulasan iPhone 14 – Kecil Tetapi Berkuasa
October 12, 2022 Amy Maizuraa

Seperti yang boleh diharapkan, inilah kata-kata yang sesuai dikatakan untuk sebuah peranti Apple iPhone 14. Pengenalannya tempoh hari telah menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding keterujaan dalam kalangan pengguna. Masakan tidak sebahagian besar elemen, ciri dan fungsi yang ditawarkan adalah sama seumpama model terdahulu.

Perbezaan ketara hanya pada perkakasan dalaman yang sekadar menerima kemas kini kecil untuk GPU dan perisian kamera. Ini adalah selari dengan apa yang pernah kami katakan dalam artikel sebelum ini iaitu iPhone 14 mempunyai perubahan kecil dalam tubuh sama. Tapi sejauh mana kehebatan peranti baharu Apple ini? Ini adalah ulasan penuh kami.


Spesifikasi Peranti

Apple iPhone 14
Skrin6.1-inci Super Retina XDR OLED, 2532 x 1170 piksel, (460ppi), 60Hz
PemprosesApple A15 Bionic
Cip2-teras Avalanche
4-teras Blizzard
Cip GrafikGPU 5 Teras
RAM6GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512GB NVMe
Kamera Utama12+12 Megapixel f/1.5+f/2.4, Photonic Engine
Kamera Swafoto12 Megapixel f/1.9, AF, Photonic Engine
Bateri3279 mAh
Pengecasan berwayar 20W
Pengecasan MagSafe 15W
Pengecasan nirwayar 7.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas wajah Face ID
Harga JualanRM 4199 (128GB)
RM 4699(256GB)
RM 5699 (512GB)

Tahun ini Apple tidak lagi menyertakan model mini dalam rangkaian peranti baharu. Sebaliknya mereka meletakkan iPhone 14 sebagai model paling asas. Bagaimanapun ia sama sekali tidak menjadi masalah, sebaliknya rata-rata pengguna bercakap mengenai rekaan dan perkakasan dalaman. Meletakkannya secara bersebelahan dengan iPhone 13 kelihatan seperti pelanduk dua serupa kerana tidak menampakkan apa-apa perubahan. Dua lensa kamera utama besar dengan susunan yang menyilang di antara satu dengan yang lain bersama LED Flash dikekalkan pada kedudukan yang sama.

Turut dikekalkan adalah sisi rata dengan binaan logam tahan karat yang dipadankan dengan panel belakang berkilat. Perlu kami katakan tiada masalah panel belakang yang terlalu mudah kotor dengan cap jari tetapi tidaklah sepenuhnya kekal cantik sahaja. Penggunaan kerangka dan pelindung skrin juga amat disarankan melainkan anda seorang pengguna yang benar-benar cermat dan berwang akan berani menggunakan iPhone ini tanpa dua benda tersebut. Dalam masa sama, penggunaan kerangka juga sedikit sebanyak membantu bagi mengelakkan lensa utama peranti tercalar dengan mudah.

Keputusan Apple untuk mengekalkan kesemua ini langsung tidak memberi isu yang besar pada hemat kami. Malahan peranti kekal cantik tanpa mengorbankan ciri yang ergonomik. Pada masa sama, ia juga terasa sangat selesa dan kemas di dalam tangan. Dalam erti kata mudah, pengalaman penggunaan adalah jauh lebih praktikal berbanding peranti dengan skrin melengkung. Bezel pada iPhone 14 dilihat sedikit lebih tebal berbanding model terdahulu, namun ketebalan yang sekata membuatkan muka hadapan skrin amat seimbang dan seronok sahaja untuk digunakan.

Seperti majoriti peranti Apple di pasaran, takuk besar yang memuatkan kamera swafoto dan sistem Face ID masih terdapat pada bahagian dahi peranti. Ini adalah berbeza dengan model lebih premium seperti iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max yang disertakan dengan sokongan Dynamic Island. Tetapi persoalannya adalah bezel takuk yang besar ini mengganggu penggunaan? Jawapannya bergantung kepada pengguna sendiri. Ada sesetengah pengguna yang tidak puas hati kerana ia dianggap menghalang kandungan yang ditonton secara skrin penuh. Tetapi ada juga yang tidak kisah sama sekali dengan kewujudan takuk ini.

Seterusnya skrin adalah sejenis OLED yang menyokong resolusi Super Retina (600ppi), di samping ciri HDR dan True Tone Display bagi memastikan warna dipaparkan konsisten setiap masa. Di bawah cahaya matahari yang terang juga paparan masih dapat dibaca dengan mudah tambahan pula Malaysia mengalami iklim khatulistiwa yang bersifat panas dan lembap sepanjang tahun. Ini juga boleh mempengaruhi pengalaman penggunaan sewaktu di luar bangunan.

Seterusnya butang kuasa boleh dijumpai pada sisi kanan, seterusnya diikuti dengan dua butang untuk laras audio dan suis membisukan yang terbina di sisi kiri. Turut boleh ditemui adalah slot untuk talam SIM, seterusnya perlu diingatkan model iPhone 14 tanpa slot SIM fizikal hanya terhad untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja setakat ini. Seterusnya port pengecasan Lightning boleh ditemui pada sisi bawah yang diapit dengan dua kekisi audio pembesar suara.

Pembesar suara adalah sejenis stereo yang mana salah satu daripadanya diletakkan di bahagian gagang telinga pada bezel atas skrin peranti. Peranti turut dimuatkan dengan kemampuan IP68 yang secara tidak langsung bertindak sebagai perlindungan tambahan bagi mengelakkan sejumlah komponen terdedah dengan kemasukan debu dan cecair. Seperti biasa, tiada bicu audio 3.5mm yang disertakan.


Pengalaman Penggunaan

Skrin sememangnya cantik dengan paparan warna menyerlah seperti yang boleh diharapkan daripada sebuah peranti Apple. Olahan warnanya cukup baik dan ranggi dengan kandungan visual tampak cantik. Cukup memuaskan digunakan untuk pembacaan dan multimedia tanpa isu kronik. Seterusnya sungguhpun skrin sekadar 60Hz namun prestasinya adalah baik dengan pengalaman tatalan yang memuaskan.

Ia bagaimanapun bergantung kepada penerimaan pengguna sendiri kerana mungkin ada yang berpendapat agak mengecewakan apabila Apple sekadar menyertakan skrin 60Hz pada sebuah peranti yang berharga RM4,000 dan ke atas. Sedangkan ada sahaja peranti Android asas dengan harga lebih rendah mampu menyertakan skrin dengan kadar segar semula tinggi sekurang-kurangnya 90Hz.

Selain daripada itu, pengguna iPhone sedia ada yang sudah terbiasa dengan skrin berteknologi ProMotion dan 120Hz seperti iPhone 13 Pro dan sewaktu dengannya mungkin akan berhadapan dengan isu peralihan animasi yang agak perlahan pada peranti ini. Inilah keadaan yang dialami oleh salah seorang editor kami sewaktu membuat ulasan untuk iPhone 14 Plus sebelum ini. Namun untuk pengguna iPhone dengan skrin tanpa Pro Motion boleh dikatakan tiada masalah kerana skrin adalah lancar dan pantas terutamanya pada aplikasi Apple sendiri.

Seterusnya gabungan saiz skrin yang sedang elok sebesar 6.1-inci juga membuatkan kami tidak mempunyai masalah memegang peranti ini. Melaluinya kesemua permukaan boleh diakses menggunakan sebelah tangan dengan mudah sekali. Ia bagaimanapun bergantung kepada saiz tapak tangan masing-masing dan sekiranya mahukan skrin yang lebih besar, anda boleh dapatkan iPhone 14 Plus yang bersaiz 6.7-inci.

Sistem operasi iOS 16 digunakan adalah versi terkini yang ditawarkan oleh Apple. Secara amnya tiada perubahan yang besar pada antara muka utama peranti kerana ia dilihat lebih menumpukan kepada penambahan ciri dan bukannya olahan semula antara muka pada sistem. Kesemua elemen antara muka masih lagi minimalis dan kemas, dalam masa sama mudah digunakan. Ciri kustomasi skrin kunci seakan peranti Android turut ditawarkan yang membolehkan pengguna menyimpan tema peribadi dengan reka huruf sendiri.

Seperkara yang mungkin mengecewakan adalah ketiadaan sistem Always On Display yang mungkin mengujakan segelintir pengguna. Tetapi tidak pada kami kerana sudah terbiasa dengan ciri ini pada peranti Android. Malahan, kami turut tidak menggunakannya kerana ia memberi kesan terhadap ketahanan bateri pada peranti. Tiada masalah kronik yang ditemui sepanjang ulasan dibuat, malahan pengalaman penggunaan adalah cukup baik serta memuaskan.

Ciri menarik lain yang turut dimuatkan pada iPhone 14 adalah Crash Detection yakni ciri pengesanan kemalangan secara automatik. Ia merupakan ciri yang membolehkan peranti mengesan pelanggaran seterusnya panggilan kecemasan akan dibuat selepas 10 saat tanpa tindak balas. Tetapi perlu ditegaskan pelanggaran yang dimaksudkan di sini adalah berpunca daripada kemalangan jalan raya. Jika sebaliknya, peranti tidak akan dapat mengesan. Contoh situasi adalah mudah, bunyi penggera dan penggera masa akan diaktifkan sejurus peranti mengesan sebarang pelanggaran kereta yang teruk.

Kemudian satu panggilan kecemasan kepada pihak yang sepatutnya akan dibuat berserta dengan maklumat mengenai lokasi kemalangan. Satu penafian di sini kami tidak pula mencubanya kerana memerlukan sebuah kemalangan sebenar berlaku. Perkongsian ini adalah berdasarkan apa yang diterangkan oleh Apple sewaktu WWDC baru-baru ini. Dalam pada itu, ciri ini juga dipercayai boleh memicu pengesanan secara tidak sengaja untuk beberapa insiden lain seperti menaiki rollercoaster dan bumper car. Memetik laporan Wall Street Journal, sebanyak enam insiden sebegini telah dilaporkan berlaku di taman tema Kings Island yang terletak di Cincinnati setakat ini.


Penanda Aras

Cip A15 Bionic yang digunakan adalah sama seperti model terdahulu. Sungguhpun begitu, kebolehan GPU telah ditambah baik yang kini mempunyai lima teras dan bukannya empat seperti sebelumnya. Ini sekaligus membolehkannya berprestasi lebih baik, dalam masa sama reka bentuk dalaman turut dikemaskini untuk kecekapan lebih baik. Peningkatan lain adalah kapasiti memori kini diselaraskan kepada 6GB RAM untuk kesemua model iPhone 14 tahun ini berbanding hanya 4GB pada iPhone 13.

Pilihan storan pula berbeza bergantung kepada jenis model dan iPhone 14 boleh didapati dalam tiga variasi yang merangkumi 128GB/256GB/512GB. Seterusnya, keputusan ujian penanda aras Antutu dan Geekbench 5 turut menunjukkan jurang yang kecil untuk prestasi berbanding iPhone 13 sebelum ini. Sebagai perbandingan, kami turut menyertakan iPhone 14 Pro Max dan Samsung Galaxy Z Fold4 bersama-sama dengannya.

Geekbench 5

  • Apple iPhone 14 – 1747/4786
  • Apple iPhone 13 – 1723/4639
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963

Antutu 3D

  • Apple iPhone 14 – 845,895
  • Apple iPhone 13 – 816,065
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346

WildLife Extreme

  • Apple iPhone 14 – 2,924
  • Apple iPhone 13 – 2,498
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798

Kamera

Dwi-kamera utama adalah 12+12 Megapixel yang menggunakan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar. Turut disertakan adalah kebolehan zum 2X optikal dan 5X digital. Di samping, kamera swafoto yang turut dikekalkan pada sensor 12MP dengan lensa sudut lebar. Saiz sensor ini mungkin kelihatan sama tetapi terdapat beberapa penambah-baikan yang diberi seperti rakaman video dalam Cinematic Mode yang kini menyokong sehingga 4K HDR/30fps sekiranya perlu.

Seterusnya, teknologi baharu dipanggil Photonic Engine turut diperkenalkan yang menurut Apple sangat membantu menjadikan foto kelihatan lebih baik. Khususnya untuk fotografi dalam pencahayaan rendah tanpa kerisauan hilangnya butiran dan warna menjadi gelap.

Tiada komen negatif untuk elemen yang digunakan pada antara muka aplikasi kamera. Fungsi yang diberikan adalah pelbagai dengan kebolehan memilih di antara fungsi time-lapse, slo-mo, cinematic, video, photo, portrait dan panorama. Bagi mengakses ciri Photogenic Engine pula, pengguna perlu mengaksesnya pada menu tambahan yang mungkin agak tersorok. Ia berfungsi seakan ‘penuras’ terbina yang boleh di laras dengan penekanan pada warna dan tona tertentu. Kalau tidak salah, ia menyerupai fungsi Photographic Styles yang terdapat pada iPhone 13 Pro Max sebelum ini.

Secara keseluruhan, kemampuan kamera peranti ini berada di tahap yang memuaskan. Penghasilan semula imej memperlihatkan hasil yang tajam dan terang dalam pelbagai situasi. Perincian pada objek juga dijaga dengan baik. Dalam masa sama, warna juga nampak seimbang dan tepat menyerupai keadaan yang asal. Seterusnya, gambar bersudut lebar juga adalah menarik dengan kontras yang baik. Mod malam juga boleh ditemui yang mana diaktifkan secara automatik apabila kamera mengesan tahap pencahayaan yang rendah. Ia bagaimana turut boleh dinyahaktifkan secara manual sekiranya perlu.

Hasil gambar malam juga tampak baik bergantung pada situasi semasa. Melaluinya, masalah hingar masih kelihatan dan isu Lens Flare turut berlaku dalam beberapa situasi khususnya keadaan dengan pencahayaan yang berlebihan. Hasil gambar swafoto pula baik-baik sahaja dengan kemampuan penghasilan semula warna kulit lebih semula jadi berbanding sejumlah peranti Android yang dilihat keterlaluan dengan ciri kecantikan terbina. Tidak ketinggalan, kemampuan video turut ditambah baik dengan kebolehan Action Mode terbina yang berfungsi seumpama gimbal.


Bateri

Bergerak pula kepada bateri 3279 mAh yang digunakan sedikit lebih besar berbanding 3227mAh pada iPhone 13 sebelum ini. Melaluinya ia diiklankan mampu beroperasi mencapai 20 jam untuk penggunaan main baik video, sementara itu main balik audio pula boleh mencapai 80 jam lamanya. Sistem pengecasan 20W turut disokong oleh peranti yang menurut Apple mampu mengecas mencapai 50% dalam masa 30 minit. Tidak ketinggalan, pengecasan nirwayar menerusi Qi dan MagSafe turut disokong oleh peranti ini.

Dari aspek ketahanan, iPhone 14 mampu bertahan lebih 12 jam penggunaan dengan skrin terpasang lebih 10 jam di mana tahap bateri 100% hingga 7%. Ketahanan ini kemudiannya berkurang sekitar 7 jam dengan skrin terpasang lebih 4 jam untuk penggunaan ekstrem. Kedua-dua penggunaan ini adalah bergantung sepenuhnya kepada penggunaan data Internet. Perlu diingatkan, kepala pengecas perlu dibeli secara berasingan buat mereka yang baru pertama kali membeli peranti iPhone kerana ianya tidak tersedia di dalam kotak pembelian.


Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x iPhone 14
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke Lightning
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Pelekat Apple.

Kesimpulan

iPhone 14 hanyalah sebuah iPhone 13 dengan perubahan kecil pada komponen dalaman. Antara pembaharuan yang diberikan adalah kebolehan GPU dipertingkatkan, kapasiti bateri lebih besar, tumpuan terhadap rakaman pencahayaan rendah lebih baik dan memori 6GB RAM yang kini diselarikan untuk kesemua model. Rekaan tubuh yang dikitar semula bukan suatu isu yang besar sebaliknya berjaya mengekalkan nilai premium pada peranti ini sendiri. Ia bukan sahaja selesa di genggaman malahan jelas membuktikan pengalaman penggunaan adalah seperti yang boleh kita jangkakan untuk sebuah peranti daripada Apple.

Cumanya kami berpendapat, tiada keperluan untuk seorang pengguna siri iPhone 13 untuk menaik-taraf kepada peranti ini kerana tiada perubahan ketara yang kelihatan. Prestasi cip A15 Bionic juga masih berkuasa setakat ini cuma kelebihan untuk iPhone baharu ini adalah GPU yang digunakan. Dengan harga bermula RM4199, iPhone 14 kini sudah boleh boleh didapati di Malaysia dengan beberapa pilihan varian storan bergantung pada penggunaan masing-masing.

Pro:

  • Rekaan premium & sedap di dalam tangan.
  • Pemproses A15 Bionic masih berkuasa.
  • Sistem kamera dengan mod terbina menarik.
  • Kamera swafoto dilengkapi autofokus.
  • Kapasiti bateri & memori lebih besar.

Kontra:

  • Pengecasan masih 20W sahaja.
  • Harga mahal untuk perubahan yang kecil.
  • Peningkatan prestasi cip yang kecil berbanding iPhone 13.
Komen