Cari @ Amanz

Set kepala realiti terimbuh (AR) Apple diramalkan akan dilancarkan tahun hadapan. Ia akan menjadi jawapan Cupertino kepada set kepala Meta Quest yang menurut Zuckerberg adalah portal terbaik ke dunia metamesta. Terdapat pelbagai ura-ura mengenai peranti yang menerima nama jolokan Apple Glass sebelum ini. Kini Ming-Chi Kuo penganalisa ternama mengatakan pengeluaran set kepala ini akan ditangguh ke separuh tahun kedua 2023.

Isu pada perisian menjadi sebab utama ia ditangguhkan dari sasaran asal Q2 2023. Sebelum ini kami melaporkan sistem operasi xrOS akan digunakan berbanding nama asal realityOS. Apakah isu ini tidak pula diterangkan. Sebelum ini Kuo mengatakan antara isu yang ditemukan di peringkat pembangunan ialah set kepala masih terlalu berat dan memanas.

Apple Glass Set Kepala Realiti Terimbuh

Sebanyak 500,000 unit dipercayai akan dikeluarkan pada tahun pertama. Ia masih lagi dipercayai akan diperlihatkan pada Q1 2023 ketika acara WWDC pada bulan Januari. Dengan tarikh ini semakin hampir, ketepatan ramalan Kuo kali ini akan diketahui dalam masa terdekat.

Set kepala AR Apple akan mempunyai ciri yang sama dengan Meta Quest. Sungguhpun begitu Apple enggan menggunakan terma metamesta untuk mempromosikan peranti ini. Beberapa tahun yang lalu Tim Cook mengatakan teknologi AR akan menjadi lebih penting berbanding sekarang dengan penganalisa merasakan set kepala akan menggantikan iPhone dalam masa sedekad.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd