Ulasan – Oppo A77s Mampu Milik Dengan Beberapa Ciri Menarik

Diterbitkan pada Dis 5, 2022. oleh .

Tahun 2022 menawarkan banyak peranti kelas pertengahan yang prestasinya amat memuaskan sehingga memberikan prestasi yang setanding dengan sebuah peranti mercu dari lima tahun yang lalu. Pernah dilihat sebagai segmen yang agak lemah dari segi ciri, segmen kelas pertengahan sekarang adalah amat kompetitif dengan perbezaan antara peranti adalah amat kecil.

Oppo A77s dilancarkan pada awal Oktober lalu jatuh ke dalam kategori ini. Apakah yang mampu ditawarkan oleh Oppo dengan A77s dan adakah peranti yang baru sahaja dikemaskini harganya ke RM899 berbanding harga asal RM999 menjadikannya berbaloi untuk dimiliki?


Spesifikasi Dan Rekaan

Oppo A77s
Skrin6.56″ IPS LCD, 720 x 1612 pixel,
269 ppi, 90Hz
PemprosesSnapdragon 680 4G (6nm)
Cip4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Cip GrafikAdreno 610
RAM8 GB RAM
Muatan Dalaman128 UFS 2.2 (Mikro SD 1TB)
Kamera Utama50MP, f/1.8 (utama),
2MP, f/2.4 (makro)
Kamera Swafoto8MP, f/2.0
Bateri5,000 mAh
Berwayar
Pengecasan pantas 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi
Harga JualanRM899 (8/128 GB)

Skrin 6.56″ LCD HD+ yang menyokong kadar segar semula 90Hz sahaja digunakan. Ini adalah kompromi pertama yang dilakukan bagi mengurangkan harga jualan peranti. Kerap kali kami mendengar pembaca Amanz mengatakan peranti Oppo terlalu mahal dan A77s ialah antara yang paling mampu milik pernah dikeluarkan oleh mereka setakat ini.

Sungguhpun resolusi tidak tinggi dan hanya sekadar LCD, kualiti visual yang dipaparkan di skrin adalah tidak begitu mengecewakan. Warna tidak sebaik panel AMOLED tetapi masih lagi kelihatan cantik dipandang. Dengan skrin hanya 6.56″, resolusi sekadar HD+ sahaja juga tidak begitu mengganggu.

Tiada sokongan HDR tetapi ini tidak mengapa untuk peranti yang dijual pada harga bawah RM1000. Skrin juga berfungsi dengan lancar pada kadar 90Hz serta mengesan setiap sentuhan yang dilakukan. Kekurangan yang ada ialah penggunaan takuk di bahagian atas, bezel yang tebal pada setiap sudut dan tiada pengimbas cap jari terbina pada skrin. Pengimbas cap jari masih lagi disertakan tetapi terbina pada butang kuasa. Memang rekaan peranti ini nampak sedikit retro tetapi sekali lagi inilah jalan pintas yang diambil jika harga perlu diturunkan ke tahap lebih mampu milik.

Menonton video dan menjalankan pelbagai aplikasi dapat dilakukan tanpa sebarang masalah. Isu hanya muncul apabila menggunakan peranti di bawah sinaran matahari yang terik sahaja kerana ini kekurangan teknologi LCD yang kami pasti ramai pembaca sedia maklum.

Peranti dijana cip lapan-teras Snapdragon 680 4G yang dihasilkan menerusi teknologi 6nm. Ia terdiri daripada empat teras Kryo 265 Gold (berasaskan Cortex-A73) dan empat teras Kryo 265 Silver (berasaskan Cortex-A53) dengan GPU Adreno 610. Ini meletakkan Snapdragon 680 di belakang Snapdragon 690 dan Dimensity 820 yang kini popular di kalangan peranti kelas pertengahan di Malaysia.

Cip ini digunakan pada Huawei Nova 9 SE, Samsung Galaxy A23, Redmi Note 11 dan Honor X9. Snapdragon 680 adalah cip yang paling kerap digunakan pada peranti kelas pertengahan tahun 2022.

Ini dipadankan pula dengan memori 8GB RAM LPDDR4x, memori 128GB UFS 2.2 yang boleh ditambah menggunakan kad mikro SD sehingga 1TB. Membekalkan kuasa pula ialah sebuah bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W menerusi port USB-C. Pengecas diberikan dengan setiap pembelian dengan ia menggunakan kabel USB-A ke USB-C.

Sistem kamera pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, dan kedalaman 2MP. Jarang sekali melihat peranti Android yang hanya dilengkapi sistem dwi-kamera sejak akhir-akhir ini. Di hadapan pula sensor 8MP digunakan untuk kamera swafoto yang diletakkan pada takuk skrin. Tiada sistem OIS diberikan oleh Oppo pada peranti ini. Kedua-dua kamera utama diletakkan di dalam sebuah bonggol empat segi yang agak besar tetapi masih membenarkan peranti diletakkan agak rata pada permukaan meja.

Tubuh peranti diperbuat daripada logam dengan panel belakang pula diperbuat daripada bahan plastik berwarna cerun. Butang kuasa diletakkan pada sisi kanan dan butang laras audio pula pada sisi kiri.

Port pengecasan USB-C diletakkan di bahagian bawah dihimpit oleh kekisi speaker dan juga bicu audio 3.5mm. Slot untuk sim pula diletakkan di sisi kiri dengan ia turut menyokong kad mikro SD, dan talam untuk dua SIM bersaiz nano. Yang agak mengejutkan ialah A77s melepasi piawaian IP54 yang biasanya tidak ditawarkan pada peranti kelas pertengahan.

Perisian

Sistem operasi ColorOS 12.1 yang berasaskan Android 12 digunakan walaupun Android 13 sudah dilancarkan pada Ogos yang lalu. Sehingga artikel ditulis, A77s masih belum menerima kemas kini ke versi Android 13 yang lebih terkini.

ColorOS 12.1 walaupun bukan yang terkini adalah sistem operasi yang mudah digunakan, mempunyai antaramuka yang sedap mata memandang, mempunyai pelbagai ciri menarik untuk memudahkan penggunaan dan berfungsi dengan lancar walaupun pada peranti dengan spesifikasi kelas pertengahan.

Terdapat ciri penambahan RAM sehingga 8GB secara maya pada model yang diulas. Pengguna boleh menetapkan untuk menambah 4, 6 atau 8GB RAM secara maya dengan ia diambil terus dari storan peranti. Ciri ini boleh dimatikan jika pengguna inginkan storan tambahan dan merasakan 8GB RAM sudah mencukupi.

Mod gelap, ciri menggunakan peranti sebelah tangan, sokongan gestur sepenuhnya, aplikasi optimasi sistem dan pintasan pantas menggunakan tab sisi juga diberikan sekali. Dari segi ciri, ColorOS 12.1 yang digunakan pada A77s adalah sama sahaja dengan yang digunakan pada peranti lain keluaran Oppo. Maka tiada isu ciri yang paling premium ditawarkan pada peranti lebih mahal sahaja.


Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah. Skor yang dicatatkan oleh cip Snapdragon 680 pada Oppo A77s ialah setara dengan yang digunakan pada Huawei Nova 9 SE dan Samsung Galaxy A23. Bukanlah markah yang tinggi tetapi tidaklah terlalu rendah.

Geekbench 5

  • Oppo A77s – 376/1556
  • Huawei Nova 9 SE – 385/1661
  • Samsung Galaxy A23 –380/1554

Antutu 3D

  • Oppo A77s – 272,674
  • Huawei Nova 9 SE – 259,954
  • Samsung Galaxy A23 – 244,606

3D Mark Wildlife Extreme

  • Oppo A77s – 121
  • Huawei Nova 9 SE – 126
  • Samsung Galaxy A23 – 121

Prestasi menjalankan permua adalah amat bergantung kepada tahap keperluan grafik. Kesemua permua ringan seperti Clash of Clans, Temple Run dan Stardew Valley boleh dimainkan dengan lancar. Berubah ke permua seperti PUBG Mobile dan COD Mobile, Nova 9 SE hanya boleh memainkannya pada tetapan sederhana sahaja dengan kualiti tekstur dikurangkan. Dengan peranti kelas pertengahan, palang harapan kemampuan grafik juga perlu lebih realistik. Selepas beberapa sesi permua, kami sedari peranti menjadi agak suam.

Untuk aplikasi lain kami tidak menemukan sebarang isu yang serius. Kesemua aplikasi popular boleh dimuat turun terus dari Play Store tidak seperti sebahagian peranti dengan cip MediaTek. Aplikasi media sosial dan video dilancarkan dengan pantas dan lancar. Pendek kata Snapdragon 680 mungkin sudah agak berusia tetapi ia masih mempunyai kuasa mencukupi untuk majoriti aplikasi yang ingin digunakan.


Telefoni dan GPS

Snapdragon 680 sekadar menyokong rangkaian 4G dan bolehlah dilihat sebagai pengganti Snapdragon 662. Kualiti 4G LTE peranti bergantung pada rangkaian. Jika baik maka baiklah ia. Kami sedari sejak 3G dimatikan, kesemua rangkaian 4G di Malaysia menjadi kurang stabil. Prestasi internet 4G pada A77S adalah memuaskan dan begitu juga dengan kualiti telefoni. Prestasi GPS sebaik prestasi selular. Lokasi dapat dijejak dengan mudah apabila aplikasi dibuka. Sambungan GPS adalah stabil sungguhpun apabila kereta bergerak di tengah-tengah KL dengan banyak bangunan yang tinggi.

Kamera

Siri A daripada Oppo tidak terkenal dengan kemampuan fotografi seperti siri F, siri Find dan siri Reno mereka. Maka sejak dari awal lagi kami tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi pada kemampuan fotografi peranti ini. Dengan hanya lensa sudut lebar 50MP, 2MP kedalaman dan 8MP swafoto jika gambar yang sekadar memuaskan sekalipun kami rasakan boleh dianggap sebagai tidak mengecewakan.

Kamera mempunyai antaramuka yang sama seperti pada siri Reno dengan ciri-ciri standard gambar, video, landskap, potret, mod malam dan makro. Tiada mod zum yang tinggi ditawarkan kerana ia hanya sehingga 10X sahaja secara digital.

Prestasi fotografi adalah baik dalam situasi pencahayaan yang baik sahaja seperti beberapa gambar yang sempat kami ambil di Hawaii bulan lalu. Langit nampak biru dan imej yang ditangkap kelihatan tajam. Kekurangan hanya dilihat pada julat dinamik yang tidak konsisten. Kadang kala terang dan kadang kala gelap. Dalam situasi pencahayaan yang kurang memuaskan seperti di kawasan tertutup, hingar mula dikesan dengan kualiti penghasilan semula warna juga menurun.

Kemampuan zum pula kami rasakan hanya elok sehingga 3X sahaja. Melepasi tahap ini imej mula nampak lembut dengan warna yang mula lari dari warna asal. Tiadanya OIS menyebabkan isu ini berlaku. Kami tidak sertakan sebarang sampel mod makro kerana pada tetapan 2MP semua gambar yang diambil langsung tidak memuaskan.


Bateri

Kapasiti bateri 5000 mAh adalah besar untuk peranti yang bertubuh agak nipis. Dalam penggunaan biasa kami berjaya mendapatkan hayat penggunaan sehingga 16 jam dengan SOT 10 jam. Ini adalah hayat yang amat baik. Proses mengecas semula bateri boleh dilakukan dalam masa sekitar 70 minit menggunakan pengecas 33W yang dibekalkan dalam kotak.

Audio

Speaker stereo yang disertakan hanya sekadar sederhana sahaja dengan ia menyokong audio Dirac 3.0. Pada tetapan audio paling lantang bunyi mula pecah. Asalkan audio tidak begitu lantang menonton video dan menstrim muzik adalah memuaskan. Bagi yang ingin menggunakan aksesori audio, terdapat bicu audio 3.5mm untuk sambungan secara berwayar.

Pesaing

Oppo A77sHuawei Nova 9 SERedmi Note 11
6.56″ IPS LCD, 90Hz, 720 x 1612, (269 ppi)6.78″ IPS LCD, 90Hz, 1080 x 2388, (387 ppi)6.43″ AMOLED, 90Hz, 1080 x 2400, (409 ppi)
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Adreno 610Adreno 610Adreno 610
8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
8 GB RAM
128 GB UFS 2.2
4/6 GB RAM
64/128 GB UFS 2.2
50MP, f/1.8 (utama)
2MP, f/2.4 (makro)
108MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (kedalaman)
50MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (monokrom)
8 MP (f/2.0)16 MP (f/2.2)13 MP (f/2.4)
Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm Bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio MonoAudio Stereo
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
4000 mAh
Pengecasan pantas 66W
5000 mAh
Pengecasan pantas 33W
RM899 (8/128 GB)RM1099 (8/128 GB)RM789 (6/128 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Oppo A77s
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas 3 pin 33W SuperVOOC
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Bagi yang mencari telefon pintar yang memuaskan dalam majoriti situasi, Oppo A77s hadir dengan pelbagai ciri-ciri utama yang diperlukan. Pelbagai aplikasi boleh digunakan tanpa masalah dan turut boleh digunakan untuk sesi permua yang ringan. Kekuatan peranti ini adalah bateri yang agak tahan lama sehingga mampu bertahan sepanjang hari. Prestasi kamera adalah sederhana sahaja begitu juga dengan audio. Turut menjadikannya pakej yang menarik ialah kemampuan kalis air IP54.

Dengan harga jualan RM899, ianya adalah mampu milik bagi sebuah peranti keluaran Oppo. Namun begitu mereka yang ingin membeli perlu menyedari skrin bukanlah yang terbaik dan sistem pengecasan yang diberikan hanyalah 33W yang perlahan berbanding yang diberikan pada siri Reno. Bagi sebuah peranti bawah RM1000, pakej A77s masih agak menarik walaupun dengan kekurangan yang ada.


Pro

  • Cip pemproses kelas pertengahan memenuhi keperluan.
  • Bateri 5000 mAh yang bertahan lama.
  • Harga mampu milik.
  • Bicu audio 3.5mm.
  • Audio stereo.
  • Kalis air IP54.

Kontra

  • Skrin bertakuk dengan bezel yang tebal.
  • Resolusi skrin HD+.
  • Masih menggunakan sensor 2MP makro.
  • Sekadar 4G.

komen


© Amanz / 2023 Kami