Pepatah Melayu ada mengatakan sekilas ikan di air, sudah tahun jantan betinanya. Kami yakin ramai melihat Samsung Galaxy S23 Ultra dan dalam hati berkata “tak ada bezapun!”. Kami sendiri pada awalnya mempunyai pendapat yang sama mengenai peranti ini kerana memang sukar mencari perbezaannya.
Tetapi kami boleh katakan di awal ulasan ini bahawa S22 Ultra dan S23 Ultra mungkin mempunyai rekaan yang sama tetapi sebenarnya terdapat banyak bezaanta. Perbezaan ini adalah cukup ketara membuatkan penaiktarafan ke model terkini berbaloi. Sungguhpun begitu masih terdapat beberapa isu berbangkit menghalangnya daripada menjadi peranti Ultra yang sebenar.
SPESIFIKASI
Samsung Galaxy S23 Ultra | |
---|---|
Skrin | 6.8″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+, 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy (4nm) |
Cip | 1 X 3.36 GHz Cortex X3 4 X 2.8 GHz Cortex A715 3 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 740 |
RAM | 12GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256GB /512GB/1TB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) 10MP f/4.9, OIS (Telefoto 10X) |
Kamera Swafoto | 12 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 45W Pengecasan nirwayar 15W Pengecasan berbalik 4.5W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / eSIM / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 5699 (12/256GB) RM 6699 (12/512GB) RM 7199 (12/1000GB) |
SKRIN
Serupa tetapi tak sama ialah tema paling sesuai untuk siri Galaxy S23. Jika S23 dan S23+ menerima rekaan Floating Camera baharu, S23 Ultra mengekalkan rekaan yang sama seperti S22 Ultra. Rekaan antara ketiga-tiga model S23 adalah lebih konsisten dengan kesemuanya tidak lagi mempunyai bonggol yang besar di bahagian belakang. Berita baik bagi golongan anti-bonggol.
Skrin masih lagi 6.8″ QHD+ dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dari jenis LTPO. Tiada langsung perubahan pada spesifikasi berbanding tahun lalu cuma wujud ciri Vision Booster yang menurut Samsung memastikan imej masih kekal tajam dan boleh dilihat dalam pelbagai situasi pencahayaan. Tiga tahap Vision Booster diberikan pada skrin S23 Ultra. Sepanjang hampir dua minggu peranti diulas, tidak dapat dinafikan skrin S23 Ultra berfungsi dengan cemerlang di bawah matahari yang terik dan juga dalam kegelapan malam.
Lengkungan skrin masih lagi wujud pada bahagian sisi kiri serta kanan cuma tidak melampau seperti pada siri Vivo X90. Tiada isu kandungan melimpah keluar atau skrin mengesan sentuhan tidak sengaja. Panel Samsung sentiasa cemerlang dan warna yang dipaparkan nampak hidup, sudut pandangan adalah cemerlang dan ia mengesan setiap sentuhan pada skrin dengan jitu. Untuk ketahanan, skrin menggunakan kacak Gorilla Glass Victus 2 yang lebih tahan lasak.
Sebuah pengimbas cap jari optikal turut dikekalkan di bawah skrin. Kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Samsung tidak mengatakan sensor diubah maka bolehlah diagak bahawa sensor yang digunakan sebelum ini dikekalkan. Prestasi pengimbas cap jari adalah amat pantas.
Kandungan HDR disokong masih lagi sehingga HDR10+ sahaja dengan keterangan melebihi 1750 nits. Dalam ujian yang sempat dilakukan, kandungan HDR dapat dimainkan dengan lancar dan tanpa sebarang isu seperti colour banding. Bagi yang mencari skrin yang baik untuk tontonan video, skrin S23 Ultra adalah antara yang terbaik sekarang.
S PEN
Sokongan S-Pen juga kembali tahun ini selepas siri Note dan Galaxy S digabungkan. Tiada peningkatan pada kejituan mata pena, ciri baharu yang besar, hayat bateri atau perbezaan pada saiz stylus. Ini ialah stylus yang sama digunakan sejak siri Note 10.
Ia masih menyokong Air Getsure, boleh mengawal zum kamera dan menjadi alat kawalan jauh untuk mengambil gambar menerusi tambatan bluetooth. Satu ciri baharu yang ditambah ialah S Pen boleh digunakan dalam aplikasi Google. Tulis URL dalam kotak alamat Chrome dan ia memahami tulisan pengguna.
Kurangnya inovasi mungkin boleh dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Tetapi tiada stylus lain di luar sana yang mempunyai kepelbagaian fungsi seperti S Pen setakat ini.
REKAAN
Tubuh S23 Ultra lebih berkotak dengan sisi rata berbanding S22 Ultra yang mempunyai sisi dibulatkan. Peranti menjadi lebih selesa dalam tangan kerana luas permukaan rata yang lebih besar. Dari segi estetik ia juga nampak lebih segak. Kali terakhir rekaan seperti ini digunakan oleh Samsung ialah pada Galaxy Alpha dan Galaxy Note 4.
Yang pasti ia mengingatkan kami kepada rekaan klasik Ominidesign Sony Xperia Z yang dikacukkan dengan rekaan iPhone 14 Pro Max. Sebagai peminat kedua-dua peranti ini, kami tidak merungut dengan rekaan baharu S23 Ultra.
Butang laras audio dan kuasa diletakkan pada sisi kanan. Kedudukannya adalah mudah untuk diakses walaupun digunakan sebelah tangan. Talam dwi-SIM nano, port pengecasan USB-C, kekisi audio dan tempat simpanan S Pen diletakkan di bahagian bawah peranti. Pada bahagian atas pula terdapat lubang untuk mikrofon.
Ketiga-tiga lensa kamera utama tidak diletakkan di dalam bonggol dengan rekaan yang dipanggil Floating Camera. Saiz tiga lensa utama adalah sekata dan sedikit lebih besar tahun ini. Oleh sebab itu mungkin ramai tidak menyedari sensor untuk lensa sudut lebar kini sebesar 200MP. Ini adalah sensor ISOCELL HP2 baharu yang mempunyai kemampuan menggabungkan 16 pixel menjadi satu untuk menghasilkan imej lebih tajam. Dalam mod ini gambar yang dihasilkan hanya sebesar 12.5MP.
Ini dipadankan dengan lensa ultra sudut lebar 12MP, telefoto 3x optikal 10MP dan telefoto 10x optikal 10MP. Ketiga-tiga sensor dari S22 Ultra dikitar semula pada S23 Ultra tanpa sebarang perubahan pada lensa.
Floating Camera tidak diletakkan dalam bonggol yang besar tetapi peranti masih tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Hanya penggunaan kerangka dapat menyelesaikan isu ini. Samsung tidak menawarkan kerangka percuma dengan pembelian tetapi mereka ada menawarkan kerangka rasmi yang boleh memberikan perlindungan kepada lensa kamera belakang dan meratakan panel belakang.
Perubahan lebih penting dilakukan di dalam di mana sistem penyejukan yang lebih besar digunakan pada kesemua siri S23. Kami difahamkan pada model tertentu siri S23 sistem penyejuk kini sehingga 2.7X lebih besar berbanding siri S22. Pada S23 Ultra ia meningkat 2.1X kali ganda menyelesaikan isu kuasa memproses yang dikurangkan apabila peranti menjadi panas. Ini adalah penyelesaian Samsung untuk isu berbangkit pada peranti mercu dengan cip Snapdragon.
Seperti skrin peranti, panel belakang S23 Ultra turut menggunakan kaca Gorilla Glass Victus 2 yang tahan lasak. Pada kesemua model, panel kaca ini tidak berkilat dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Akhir sekali S23 Ultra melepasi piawaian IP68 untuk ketahanan debu dan juga ditenggelamkan di dalam air.
Bagi mereka yang mungkin menaiktaraf daripada S22 Ultra ke S23 Ultra, kerangka lama tidak boleh digunakan semula kerana perubahan pada saiz lensa kamera di belakang. Kami menggunakan semula kerangka Spigen dan rasmi Samsung pada S23 Ultra dan menyedari sebahagian lensa kamera telefoto 10X dihalang oleh kerangka lama.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – One UI 5.1
Sistem operasi One UI 5.1 digunakan pada S23 Ultra dengan ia berasaskan Android 13. Antaramuka One UI 5.1 tidak banyak bezanya dengan One UI 5.0. Ini kerana tumpuan diberikan kepada penambahan beberapa ciri baharu yang sudahpun diperkenalkan menerusi One UI 5.0 hujung tahun lalu.
Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, mudah difahami dan kemas. Terdapat kustomasi tema dengan warna elemen antaramuka berubah mengikut warna latar belakang yang digunakan. Pada One UI 5.1, widget dipertingkatkan dengan ia boleh disusun secara berlapis. Sehingga sembilan widget dengan saiz yang sama boleh disusun berlapis. Pengguna boleh menukar widget mana yang ingin dilihat dengan melakukan tatalan ke kiri dan kanan.
Skrin kekunci juga diberikan kustomasi lebih mendalam. Jenis widget, tona warna, dan reka huruf boleh ditukar dengan lebih mudah. Penambahbaikan kepada sekuriti menerusi Samsung Knox juga diperkenalkan dengan ia akan mengesan sekiranya data peribadi pengguna telah tertiris. Notifikasi menukar kata laluan akan diberikan sekiranya ini berlaku.
Kesemua ciri-ciri ini adalah mirip dengan ciri yang boleh ditemukan pada iOS 16. Selepas beberapa tahun iOS mengambil inspirasi dari Android, kini tiba giliran One UI mengambil inspirasi daripada iOS pula. Selain kustomasi skrin kunci, memilih teks terus dari gambar, mengembalikan tetapan telefon lama ke S23 menggunakan kod QR dan papan kekunci menjadi pad sesentuh turut dipinjam One UI 5.1 daripada iOS 16.
Dalam tempoh dua minggu peranti digunakan, ia terasa pantas, lancar, tiada isu memasang aplikasi dan terdapat penambahan ciri-ciri yang menarik. Isu hanyalah penambahan ciri yang diberikan ini mungkin tidak begitu ketara dan besar. Ini bukanlah isu dengan One UI tetapi adalah kerana dengan Android sudah banyak menyertakan ciri menarik, tiada ciri baharu yang benar-benar menakjubkan boleh diperkenalkan.
Kekuatan peranti Samsung dengan One UI masih lagi sokongan kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun yang adalah yang terbaik di kalangan pengeluar Android pada waktu ini.
PENANDA ARAS – Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy
Dari segi spesifikasi pula S23 Ultra ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy seperti ura-ura sebelum ini. Ia adalah cip Snapdragon 8 Gen 2 hadir dengan teras utama Cortex-X3 yang sedikit lebih pantas dan juga GPU yang dilewah jam. Dengan peningkatan ini, Samsung berharap ia akan memberikan kelebihan berbanding Snapdragon 8 Gen 2 versi biasa.
Cip ini dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5X dan storan sehingga 1TB UFS 4.0. Bagi mereka yang merasakan penawaran RAM mungkin tidak mencukupi, terdapat ciri RAM Plus yang menambah sehingga 8GB RAM lagi secara maya apabila diperlukan dengan mengambil ruang storan peranti.
Berikut ialah markah yang dicatatkan selepas peranti diuji menggunakan aplikasi penanda aras popular. Bandingkan skor yang dicatatkan dengan OnePlus 11 (Snapdragon 8 Gen 2), Vivo X90 (Dimensity 9200), Apple iPhone 14 Pro Max (A16 Bionic), dan Samsung Galaxy Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1)
Geekbench 6
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
- OnePlus 11 – 1495/4805
- Vivo X90 – 1668/4000
- Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317
- Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963
Antutu 3D
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
- OnePlus 11 – 1,104,135
- Vivo X90 – 1,147,029
- Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
- Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
Wild Life Extreme
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
- OnePlus 11 – 3712
- Vivo X90 – 3176
- Apple iPhone 14 Pro Max – 3373
- Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798
Di atas kertas prestasi Gen 2 For Galaxy adalah amat baik berbanding Snapdragon 8 Gen 2, Dimensity 9200 dan Snapdragon 8+ Gen 1. Kelebihan hanya dapat dilihat pada markah ujian multi teras Geekbench 6 berbanding pada peranti Android lain. Tetapi Gen 2 For Galaxy belum mampu memintas Apple A16 Bionic dari segi kemampuan CPU.
Tetapi sepanjang ulasan tiada perbezaan yang ketara dari segi kelancaran dan kepantasan antara sebuah S23 Ultra dan iPhone 14 Pro Max. Ini kerana dalam kegunaan aplikasi biasa kuasa maksimum cip pemproses tidak diperlukan.
Majoriti permua yang dimuat turun boleh dijalankan pada tetapan grafik dan resolusi paling tinggi tanpa sebarang isu. Kami lebih arif dengan COD Mobile dan Asphalt 9. Sepanjang ulasan tiada isu aplikasi tidak berjalan lancar kami sedari. Yang disedari ialah aplikasi COD Mobile dilancarkan lebih pantas kerana penggunaan memori LDPPDDR5x dan storan UFS 4.0. Pemasangan aplikasi juga hampir sepantas kilat kerana storan pantas ini.
Dengan kebuk penyejuk lebih besar, isu pemanasan semasa sesi permua berjaya diselesaikan. Selepas 5-6 sesi MP COD Mobile peranti sekadar suam sahaja. Pada peranti dengan Snapdragon 8+ Gen 1 tahun lalu, biasanya ia akan terasa lebih hangat sehingga kurang selesa dipegang. Prestasi yang cukup mengagumkan kerana ia sebaik pengalaman kami menggunakan Vivo X90 dengan Dimensity 9200 yang juga tidak memanas selepas sesi permua yang panjang.
TELEFONI Dan GPS
Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mampu menikmati rangkaian 5G di Malaysia kerana ia masih belum disokong secara rasmi. Ia hanya boleh menggunakan 4G LTE + menerusi rangkaian Digi. Terdapat sokongan VoLTE dan VoWiFi yang kedua-duanya cemerlang.
Panggilan telefon adalah jelas. Sebagai telefon bimbit S23 Ultra adalah cemerlang. Prestasi WiFi juga amat pantas kerana boleh menyokong WiFi 7. Kami hanya mempunyai modem WiFi 6 di rumah dan ia tiada isu mencapai kelajuan yang tinggi.
Prestasi GPS turut cemerlang kerana lokasi boleh dijejak dalam aplikasi Waze dan Google Maps dengan pantas. Semasa memandu isyarat tidak terputus walaupun di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dipenuhi bangunan tinggi.
KAMERA
Dengan sensor baharu 200MP untuk lensa sudut lebar, Samsung mengatakan prestasi kamera adalah lebih baik. Kami masih belum mampu melakukan ujian yang lengkap. Berikut ialah beberapa sampel yang sempat diambil menggunakan mod automatik.
Dalam situasi pencahayaan yang baik gambar diambil adalah terang, jelas dan tajam. Gambar dari lensa sudut lebar 200MP khususnya mempunyai imej yang sangat tajam kerana teknik penggabungan 16 pixel menjadi satu yang digunakan. Tahun lalu wujud isu perbezaan warna antara lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar. Isu ini masih berterusan seperti yang dapat anda lihat di bawah. Gambar ultra sudut lebar 12MP nampak lebih gelap sedangkan ia diambil pada waktu dan lokasi yang sama. Turut masih wujud ialah shutter lag yang ketara.
Ini pula sample mod makro dengan bokeh. Pengasingan objek dengan latar belakang adalah baik tetapi warna pula pada tahap saturasi yang terlalu tinggi sehingga keperincian pada kelopak bunga hilang. Warna merah pada kelopak bunga adalah lebih terang berbanding subjek sebenar.
Berikut pula ialah kualiti gambar pada tetapan zum 1x, 10x, 30x dan 100x. Memang menakjubkan kerana pada tetapan 30x sekalipun kekisi gril pada sisi bangunan nampak jelas. Gambar yang diambil pada tetapan zum 30x di waktu siang masih boleh digunakan.
Yang menarik perhatian kami ialah pada tetapan zum 100x sekalipun viewfinder boleh kekal stabil. Tiada peranti lain pernah kami ulas memberikan kestabilan viewfinder pada tetapan 100x. Sistem zum tidak memerlukan tripod untuk digunakan.
Tiada isu Melakukan zum pada waktu siang. Bagaimana pula pada waktu malam? Berikut ialah gambar pada tetapan 0.6x, 1x, 3x dan 10x pada waktu malam. Ianya masih menakjubkan walaupun menjadi sedikit lembut. Papan tanda Capital Land yang sukar dilihat boleh dibaca walaupun pada tetapan 10x.
Akhir sekali ialah perbezaan prestasi kamera S23 Ultra dan S22 Ultra dalam situasi gelap dengan sumber cahaya neon. Biasanya dalam situasi ini sumber cahaya akang menghasilkan kesan blooming yang ketara. Pada gambar S23 Ultra (kanan), imej nampak lebih jelas khususnya pada sumber cahaya lampu neon.
BATERI
Bateri kekal dengan kapasiti 5000 mAh yang boleh dicas secara berwayar dengan kuasa 45W, nirwayar dengan kuasa 15W dan pengecasan nirwayar berbalik. Jika ada satu spesifikasi yang mengecewakan pada S23 Ultra ialah sistem “pengecasan pantas” yang digunakan adalah perlahan untuk peranti tahun 2023. Sebelum ini kami mengulas Poco X5 Pro yang merupakan peranti berharga RM1499. Walaupun mampu milik ia hadir dengan pengecas 67W yang diberikan dengan setiap pembelian.
Sistem pengecasan mengecewakan tetapi nasib baik hayat bateri S23 Ultra membanggakan. Secara purata peranti mencecah 9 jam SOT dan hayat bateri melebihi 19 jam sepanjang tempoh ulasan 2 minggu dengan penggunaan sederhana. Dengan penggunaan lebih berat (5G, ambil banyak gambar dan menjalankan permua), 10 jam SOT boleh dicapai tetapi hayat bateri turun ke sekitar 13 jam sahaja. Prestasi bateri yang cemerlang.
Tetapi kerana pengecas sekadar 45W, tempoh mengecas semula mengambil masa 75 minit. Jika pengecas 25W digunakan, ia meningkat ke 80 minit. Jika anda bercadang membeli pengecas 45W kami rasakan baik lupakan sahaja kerana hanya menjimatkan 5 minit.
Satu ciri yang perlu disentuh ialah terdapat ciri memintas bateri apabila pengecas disambung (PD Power Bypass). Ciri ini disorokkan dari menu Game Booster dan ditemukan oleh rakan media Nasi Lemak Tech. Jika diaktifkan bateri tidak akan rosak walaupun pengecas disambungkan berjam-jam lamanya. Ini adalah ciri yang diiklankan pada peranti Sony, ASUS dan Black Shark. Tidak tahu kenapa ia dirahsiakan kerana agak berguna.
PESAING
Samsung Galaxy S23 Ultra | Vivo X90 Pro | iPhone 14 Pro Max |
6.8″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO, WQHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.78″, AMOLED, QHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.7″ Super Retina XDR OLED, FHD+, Dolby Vision, 120Hz |
Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy (4nm) 1 X 3.36 GHz Cortex X3 4 X 2.8 GHz Cortex A715 3 X 1.8 GHz Cortex A510 | Mediatek Dimensity 9200 (4nm) 1 X 3.05 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Apple A16 Bionic (4nm) 2 X 3.43 GHz Firestorm 4 X ? GHz Icestorm |
Adreno 740 | Arm Immortalis-G715 | GPU 5 Teras |
12GB LPDDR5X | 12GB LPDRR5 | 6GB LPDDR5 |
256/512/1000 GB UFS 4.0 | 256 GB UFS 4.0 | 128/256/512/1000 GB NVMe |
Kamera Utama 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X Optikal) 10MP f/4.9, OIS (Telefoto 10X Optikal) 8K 30p | Kamera Utama 50 MP, 1″, f/1.75, OIS (Sudut Lebar) 12 MP, f/2.0 (Sudut Ultra-Lebar) 50 MP, f/1.6, OIS (Telefoto 2x Optikal) 4K 60p | Kamera Utama 48MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 12MP, f/2.8, OIS (Telefoto 3x Optikal) 4K 60p |
Kamera Hadapan 12-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 12-Megapixel f/1.9 |
IP68 | IP68 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 45W) | 4870 mAh (Berwayar 120W) | 4323mAh (Berwayar 20W) |
RM 5699 (12/256GB) RM 6199 (12/512GB) RM 7199 (12/1000GB) | RM 4999 (12/256 GB) | RM 5799 (6/128GB) RM 6299 (6/256GB) RM 7299 (6/512GB) RM 8299 (6/1000GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy S23 Ultra.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Samsung Galaxy S23 Ultra ialah peranti terbaik dalam rekaan candybar pernah mereka hasilkan setakat ini. Kombinasi rekaan yang premium, pemproses yang cukup berkuasa, perisian lancar, tiada isu pemanasan, kamera yang dipertingkat dan prestasi bateri yang cukup tahan lama. Untuk pengguna Samsung ini ialah kemuncak rekaan Samsung dan adalah peranti paling Ultra pernah mereka tawarkan ke pasaran Malaysia.
Tetapi adakah ia masih berbaloi? Pada harga mencecah RM7199, ramai inginkan kesempurnaan dari segenap aspek. Pengecasan hanya 45W yang adalah perlahan untuk tahun 2023. Kamera walaupun cemerlang mengekalkan 3 sensor dan lensa tahun lalu. Oleh itu shutter lag dan warna saturasi berlebihan masih kekal.
Di Malaysia jualan Samsung Galaxy S23 Ultra ialah RM6199 untuk 12/256GB, RM6699 untuk 12/512GB dan RM7199 untuk 12/1000GB. Memang harga meningkat naik berbanding S22 Ultra. Bagi yang mencari peranti terbaik Samsung inilah pilihan paling tepat cuma perlu menerima hakikat untuk mendapatkan yang paling premium harga yang perlu dibayar juga premium.
Pro
- Rekaan tubuh lebih berkotak dan semakin selesa dalam tangan.
- Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy lebih berkuasa berbanding edisi biasa.
- Kamera utama kini sebesar 200MP.
- Menyokong S Pen.
- Kemas kini empat versi Android dan sekuriti lima tahun.
- Hayat bateri yang amat baik.
Kontra
- Sensor kamera lain masih sama seperti tahun lalu.
- Masih terdapat sela masa pada kamera.
- Pengecasan 45W tidak lagi layak dipanggil pantas.
- Peningkatan harga yang mendadak.