Jujur saya katakan selama ini saya tidak tahu mendengar butiran muzik yang terperinci seperti instrumen dari arah mana, apa itu highs, lows, atau mids dan sebagainya. Walaupun sebelum saya telah melanggan Tidal saya hanyalah seorang pengguna yang dungu. Selepas saya mencabar diri untuk menggunakan FiiO Q3 saya baru mula menghargai muzik dari seorang artis.

Saya kemudian terus menceburi arena pendengaran muzik di tahap peminat tegar audio atau lebih dikenali sebagai audiophile. Saya kemudiannya mula menggunakan pula Tempotec Sonata E44 dan turut mula mengulas IEM Moondrop di Amanz. Baru-baru ini saya cuba menggunakan Amp/DAC yang lebih berkuasa. Bukan itu sahaja produk ini turut merupakan pemain media kerana mempunyai skrin dan menjalankan Android. Secara tidak langsung saya tidak lagi memerlukan sebuah iPhone atau peranti Android kerana semuanya tekah terbina.
Produk ini adalah Sony Walkman NW-ZX707 dan NW-A306. Satu yang lebih berkuasa kerana ada port bicu audio 4.4mm untuk audio yang seimbang dan satu lagi terhad kepada port bicu audio biasa iaitu 3.5mm.

Persoalannya adalah produk ini berbaloi untuk dimiliki dan untuk siapakah pemain media seperti ini? Adakah sesuai untuk saya yang sudah bertahun menggunakan Amp/DAC FiiO Q3 atau pengguna yang baru?
Selepas menggunakan kedua-dua Walkman ini dengan bantuan rakan satu pejabat yang turut pakar dalam bidang audio telinga saya kini lebih sensitif ketika mendengar muzik kerana mencari segala butiran yang sepatutnya sesuatu muzik itu ada. Bukan itu sahaja saya turut memadankan dua Walkman ini dengan pelbagai IEM untuk menguji kemampuannya. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman menggunakannya untuk tempoh sekitar satu bulan.
SONY WALKMAN NW-ZX707
Model ini adalah model mercu mereka, di mana mempunyai ketahanan bateri mencapai 25 jam. Untuk sambungan dua port bicu audio iaitu 3.5mm stereo 50mw+50mW dan 4.4mm 230mW+230mW seimbang disediakan yang menyokong frekuensi 20Hz-40,000Hz. Ia turut menyertakan sokongan sambungan Bluetooth 5.0 dengan codec SBC, LDAC, aptX, aptx HD dan AAC.
Walkman ini menggunakan teknologi amplifier digital S-Master HX dengan komponen dalaman yang menggunakan kaedah pateri lebih kemas serta mempunyai emas untuk menambahbaik audio. Selain itu, ia turut mempunyai sistem Edge-AI untuk menguasakan DSEE Ultimate yang mana boleh mengubah audio kualiti rendah ke kualiti CD.

Walkman NW-ZX707 turut menyokong DSD Remastering Engine yang mana sampel-semula audio kepada 11.2 MHz DSD. Sokongan WiFi turut diberikan untuk menggunakan aplikasi penstriman muzik, skrin TFT 5-inci disertakan untuk mudah mengawal antaramuka, storan dalaman 64GB dan ia menjalankan Android 12. Warna yang ditawarkan pula adalah hitam sahaja.
Pemain seperti sudah semestinya akan mempunyai butang kawalan. Tetapi sayang sekali dengan harga mencapai lebih RM3000 butang-butang pada pemain ini tidak sedap ditekan dan banyak kali saya tersalah tekan butang. Misalnya apabila ingin tekan butang laras suara saya tertekan butang langkau ke muzik seterusnya.

Untuk kualiti audio Walkman NW-ZX707 ini mempunyai profil audio yang terkenal di kalangan produk audio Sony iaitu warmth. Dengan kata lain pemain ini memberikan audio yang mesra kepada telinga pengguna. Ia seimbang, selesa, tidak begitu tajam dan bass yang tidak terlampau berkuasa. Contohnya IEM Tin HiFi T3 Plus saya yang mempunyai profil yang tajam akan menjadi lebih enak jika digunakan bersama Walkman ini.
Bukan itu sahaja pemain ini turut mampu memastikan vokal penyanyi lebih jelas dan lembut. Kemudian pementasan audio juga lebih lebar dengan instrumen jelas kedengaran bunyi dari arah mana. Ini memberikan pengalaman pendengaran yang lebih imersif.

Keunikan yang paling ketara pada Walkman NW-ZX707 ini adalah audio yang dihasilkan lebih jernih. Bermakna kesan hingar tidak begitu kedengaran berbanding menggunakan FiiO Q3. Menggunakan produk seperti ini seseorang itu haruslah ada kemampuan imaginasi tinggi seperti mendengar muzik di konsert atau di dalam ruang terbuka. Walkman ini ke arah pentas konsert yang memberi kejelasan audio kepada pengguna.
Kekuatan Walkman ini turut terletak pada perisian yang digunakan. Percayalah kata saya yang pengalaman menggunakannya dari segi kawalan dan sebagainya mirip dengan peranti Xperia. Cuma ada ciri tambahan menarik seperti DSEE Ultimate yang meningkatkan kualiti audio menggunakan kecerdasan buatan. Misalnya pada YouTube Music dan Spotify yang tiada sokongan audio Hi-Res atau nirhilang, ciri ini akan mengubahnya menjadi lebih berkualiti.

Kemudian turut ada DC Phase Linearizer yang mengubah kuasa pemacu secara maya memimik amplifier kelas A, AB, dan B yang melengkapkan fungsi sesebuah produk audio. Ini memberi pengguna mencuba pelbagai jenis amp dan jenis bunyi tanpa membeli jenis yang berlainan. Tetapi ciri kegemaran saya adalah pada The Vinyl Processor yang menjadikan muzik moden seakan didengari melalui pemain piring hitam. Ia memberi kesan hingar klasik yang sangat unik untuk didengari dan membuka telinga pengguna ke arah mendengar lebih butiran.
Untuk pengguna yang lebih profesional ciri DSD Remastering pasti akan dihargai kerana ini adalah format audio yang lebih berkualiti berbanding FLAC. Ciri ini mengubah format fail audio kepada kualiti tertinggi yang menggunakan teknologi Sony tersendiri. Cuma apabila ciri ini dihidupkan ciri-ciri menarik lain terus dimatikan.

Cuma setiap ciri perisian ini mungkin tidak akan berfungsi. Ia bergantung kepada jenis muzik yang didengari dan juga sumber audio misalnya platform penstriman atau fail audio tersendiri. Sesetengah audio akan memanfaatkan DC Phase Linearizer dan ada pula yang kedengaran aneh apabila menghidupkan Vinyl Processor. Sony Walkman NW-ZX707 turut memastikan setiap audio kedengaran natural dan tidak diproses oleh perisian walaupun hakikatnya semuanya telah melalui pasca-proses perisian terbina.
Satu kelemahan pemain media seperti Walkman ini atau iBasso DX170 adalah ketahanan bateri. Mengejutkan Sony berjaya memuatkan bateri (kapasiti tidak didedahkan) yang boleh bertahan sehingga 25 jam. Dalam pengalaman saya yang mendengar muzik sekitar 4 jam sehari, Walkman ini boleh bertahan sehingga 2 hari lebih. Sementara iBasso hanya satu hari. Turut membantu adalah ciri penjimatan bateri Android 12 yang terbina seperti mod gelap automatik dan mematikan peranti mengikut masa tertentu.

Harga jualan Sony Walkman NW-ZX707 adalah RM3699. Ini adalah satu harga yang agak premium hanya demi kualiti audio yang lebih baik. Kelebihan Walkman ini adalah anda tidak perlu mengorbankan storan dan bateri telefon pintar sendiri. Adakah sanggup anda membelanjakan wang hampir RM4000 ini atau lebih rela menggunakan Amp/DAC FiiO Q3 yang berharga sekitar RM600 bersama telefon pintar?
Atau adakah model lebih mampu milik Sony iaitu Walkman NW-A306 yang berharga RM1599 pilihan terbaik? Teruskan membaca jika anda ingin tahu.
SONY WALKMAN NW-A306
Model ini adalah versi lebih mampu milik dengan spesifikasi lebih kurang sama. Beza utama adalah pada saiz, di mana skrin adalah 3.6-inci, bateri lebih tahan laman mencapai 36 jam, dan Sony hanya menyertakan sokongan sambungan bicu audio 3.5mm sahaja tiada sambungan bicu audio 4.4mm seimbang.
Dari segi komponen dalaman laman web Sony menyatakan ia sama sahaja. Apa yang tidak dinyatakan adalah dari segi perisian yang mana Walkman ini tidak dilengkapi dengan semua ciri dan fungsi yang ada pada Walkman NW-ZX707.

Rekaan keseluruhan Walkman ini juga adalah lebih kecil, ringkas dan mudah untuk disimpan atau di bawa ke mana sahaja. Ketika saya menggunakan Walkman ini saya hanya simpan di dalam kocek atau beg kecil sementara Walkman NW-ZX707 perlu disimpan dalam beg galas.
Benar model ini hanya terhad kepada port bicu audio 3.5mm sahaja yang mana jika anda mengikuti trend IEM sekarang yang ramai penggemar audio menggunakan Chi-Fi iaitu IEM dari China majoriti masih lagi dengan sambungan 3.5mm. IEM dengan 4.4mm untuk audio seimbang biasanya lebih mahal dan kadangkala ada juga yang wayar sambungannya dijual berasingan pada harga ratusan ringgit.

Dari segi pengalaman penggunaan majoriti ciri perisian pada NW-A306 adalah sama sahaja dengan NW-ZX707. Hanya tiga perbezaan utama iaitu DC Phase Linearizer tidak boleh memilih kelas, Vinyl Processor tidak boleh memilih jenis hingar dan tiada sokongan DSD Remastering kerana digantikan dengan ciri Clear Audio+ yang memfokuskan ke arah audio lebih jelas dan “jernih”.
Kualiti keseluruhan lebih kurang sama sahaja cuma pada pemain lebih mampu milik ini audio tidak begitu kuat. Paling bagus pada model ini adalah saiz kecil dan ciri yang terhad membawa kepada ketahanan bateri mencapai 36 jam iaitu hampir 4 hari penggunaan.
Jadi jika anda rasakan butiran tambahan itu penting yang dalam pengalaman saya tidak ramai yang dapat membezakannya model ini sudah lebih dari mencukupi. Anda turut akan berjimat sehingga RM2000 yang anda boleh gunakan untuk membeli pelbagai jenis IEM lain.
MASIH PERLU BELANJA LEBIH WANG
Sony Walkman NW-ZX707 dan Walkman NW-A306 bukanlah produk untuk semua orang. Ini kerana produk seperti ini adalah untuk mereka yang berduit sahaja. Saya amat bersyukur kerana bekerja di Amanz yang dapat menggunakan produk seperti ini tanpa mengeluarkan sebarang kos. Anda perlu ingat yang Walkman ini tiada speaker terbina dan IEM wajib dibeli untuk digunakan bersama.

Harga IEM agak subjektif sebenarnya. Biasanya mereka yang mampu membeli NW-ZX707 akan menggunakan set fon kepala atau set fon telinga yang berharga ribuan ringgit. Menjadikan kos yang dikeluarkan mencapai RM4000-RM6000. Sementara jika membeli NW-A306 baki RM2000 tadi anda boleh dapatkan beberapa IEM Chi-Fi yang berharga RM400-RM500 untuk mencuba pelbagai jenis profil bunyi berbeza.
KESIMPULAN
Menutup artikel ulasan produk audio premium ini adalah jika anda tidak memiliki sekurang-kurangnya RM2000 kedua-dua produk ini bukan untuk anda. Sony Walkman NW-ZX707 dan Walkman NW-A306 adalah antara Amp/DAC paling menarik pernah saya gunakan setakat ini kerana memberi pengalaman pendengaran yang terang, penuh kejelasan dan imersif.
Saya menguji kedua-duanya dengan menggunakan FiiO FH3 dan Tin HiFi T5. Dua ini adalah IEM kegemaran saya dan percayalah kata saya muzik-muzik yang saya dengar seperti dari Salem Ilese, Taylor Swift, JVKE atau Ed Sheeran seakan mendengar rakaman baharu yang saya tidak pernah dengar sebelum ini.

Alternatif jika anda masih mahu menikmati muzik yang hebat yang penuh butiran yang anda tidak pernah dengar adalah menggunakan Amp/DAC kelas pertengahan seperti FiiO Q3 yang saya sebutkan sebelum ini. Ia berharga sekitar RM600 dan IEM FiiO FH3 pula sekitar RM500.
Jika anda ingin berjimat lagi Tempotec Sonata E44 boleh dibeli di laman e-dagang China pada harga sekitar RM350 dan jika dipadankan dengan Tin HiFi T5 yang berharga sekitar RM400 kedua-dua pasangan ini baru berharga sekitar RM750 ke RM1100 sahaja. Anda jimat ratusan ke ribuan ringgit berbanding membeli Walkman baharu Sony ini.


Ulasan ini dijayakan dengan bantuan Li Jin Soh