Cari @ Amanz

Jika dalam ulasan Redmi 12C yang kami ulas minggu lepas kami katakan peranti itu adalah mesin masa kerana banyak ciri retro dikembalikan. Artikel kali ini adalah ulasan Realme C55 pula yang nampak moden, tetapi rasa seakan menggunakan sebuah peranti lama.

Peranti ini sebenarnya menarik untuk digunakan cuma akan menguji kesabaran seseorang ketika bulan Ramadan ini. Rekaan yang nampak cantik, ada ciri perisian yang moden, menggunakan USB-C, serta dijual pada harga yang agak mampu milik. Dengan harga sama dengan Redmi 12C kami rasakan ini adalah peranti asas premium yang patut anda cuba.

SPESIFIKASI

Realme C55
Skrin6.72″ IPS LCD,
1080 x 1400 , 90Hz
PemprosesMediatek Helio G88  (12nm)
Cip2x 2.0 GHz Cortex-A75
6x 1.8 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G52 MC2
RAM6/8 GB LPDDR4X
Memori Maya 6/8 GB
Muatan Dalaman128/256 GB UFS
Mikro SD 1TB
Kamera Utama64MP (Sudut Lebar)
64MP AI Camera (2MP)
Kamera Swafoto8MP AI Selfie
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari belakang
Harga JualanRM 699 (6/128 GB)
RM 799 (8/256 GB)

SKRIN

Saya amat terkejut apabila skrin bersaiz 6.72″ IPS LCD peranti ini cantik dan terang. Bukan itu sahaja resolusi yang disokong adalah FHD+ dan turut menyokong kadar segar semula 90Hz. Ciri ini menjadikan peranti Redmi 12C seakan sebuah peranti usang. Benar bezel peranti ini kelihatan tebal tetapi masih boleh diterima. Tiada takuk yang nampak usang tetapi ada lubang untuk kamera swafoto yang masih memberi pengalaman hampir imersif.

Walaupun saya sudah selesa dengan skrin 120Hz pada banyak peranti Android dan iOS yang saya gunakan. Menggunakan skrin 90Hz sebenarnya masih rasa baik. Saya nampak bezanya tetapi saya tetapkan minda saya untuk menerima apa yang ditawarkan oleh Realme pada harga yang mampu berbanding peranti mahal lain.

Sepanjang menggunakan peranti ini saya banyak habiskan masa dengan YouTube Shorts, beberapa video ulasan di YouTube dan turut sempat habiskan masa dengan Netflix. Dengan bangga saya katakan saya selesa dengan skrin peranti ini.

REKAAN

Realme C55 menggunakan rekaan yang cantik. Nampak seksi di belakang dengan menggunakan konsep rata pada setiap bahagian. Ada dua bonggol kamera bulat di kelilingi dengan bentuk kotak dengan warna dua tona dengan panel belakang yang ada corak bergaris. Lihat panel belakang peranti ini anda pasti tidak percaya yang ini adalah sebuah peranti berharga bawah RM1000.

Disebabkan kekangan teknologi skrin LCD, dagu tebal pada peranti ini tidak boleh dinipiskan lagi. Jadi saya harus menerimanya. Sekurang-kurangnya tidak seteruk pada Redmi 12C yang menggerunkan. Tiada apa-apa di atas peranti tetapi di bawah ada port bicu audio 3.5mm yang saya sangat bersyukur pengeluar peranti masih ingin menyertakannya pada tahun 2023. Tambahan lain di bawah adalah lubang mikrofon, port USB-C dan kekisi speaker.

Di sisi kanan terdapat butang kuasa merangkap pengimbas cap jari. Biasanya pengimbas cap jari di sisi saya katakan pantas tetapi pada peranti ini amat perlahan dan sekitar 90% masa sepanjang ulasan saya menggunakan kod pada skrin sahaja untuk menyahkunci. Selain itu turut ada butang laras suara pada sisi ini. Sisi kiri hanya ada slot kad SIM yang menyokong dwi-SIM 4G serta kad mikroSD.

Peranti juga cukup ringan dan walaupun bersaiz besar tiada masalah untuk dikendalikan dengan satu tangan sahaja. Realme C55 juga tidak licin di tangan kerana corak di panel belakang yang saya sebutkan tadi memberi cengkaman tambahan.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – REALME UI 4.0

Realme nampaknya semakin hebat dalam perisian. Peranti ini menggunakan Realme UI 4.0 berasaskan Android 13 yang terkini. Jadi tidak perlu risau peranti menggunakan sistem operasi yang ketinggalan satu ke dua generasi ke belakang. Memang benar siri C biasanya lambat menerima kemas kini. Model tahun lalu iaitu Realme C33 juga masih belum menerima kemas kini lagi dan dijadualkan akan menerimanya pada penghujung tahun ini.

Realme C55 dijana dengan cip MediaTek Helio G88 yang dipadankan dengan memori 8GB RAM dengan sokongan memori maya tambahan sehingga 8GB serta mempunyai storan dalaman sehingga 256GB jenis UFS. Ini memberi sedikit keyakinan untuk menjalankan banyak aplikasi serentak.

Dapat dirasakan perbezaan prestasi dengan Redmi 12C yang masih menggunakan eMMC. Jadi menjadi misteri mengapa 12C dipasarkan pada harga yang sama sedangkan ianya terdapat banyak kekurangan yang ketara. Adakah sekadar membuang stok dengan komponen sudah berusia?

Peranti Realme ini ada bezanya antara memori maya 4GB dan 8GB. Saya boleh rasa peningkatan prestasi pada peranti ini. Jangan salah faham peranti ini masih lagi sukar menjalankan aplikasi asas. Malah aplikasi Amanz sendiri mengambil masa agak lama untuk memuat.

Setiap tatalan pada peranti mengalami masalah lengah masa. Tidak begitu serius tetapi jika anda seorang yang penyabar isu ini tidak akan menjadi satu masalah. Saya ingin sarankan kepada anda jika anda membeli peranti ini mod 90Hz wajib digunakan jika tidak anda boleh rasa hilang sabar. Bulan Ramadan ini menguji diri untuk mengawal rasa marah.

Walaupun begitu Realme UI 4.0 masih padat dengan ciri dan fungsi menarik. Malah versi sistem operasi ini hampir serupa dengan Realme UI pada Realme GT3 dan OnePlus 11. Cuma Realme masih kekalkan ciri ikonik peranti kelas asas dan pertengahan mereka iaitu dipenuhi dengan iklan. Iklan ini lebih kepada mempromosikan aplikasi melalui gedung aplikasi mereka sendiri. Mungkin ini cara Realme membezakan Realme UI kelas premium dengan yang asas.

Realme C55 turut ada satu ciri unik yang tiada pada peranti BBK Electronics yang lain. Ciri ini adalah Mini Capsule iaitu ciri seakan Dynamic Island pada iPhone 14 Pro. Ini adalah peranti Android pertama yang dipasarkan secara komersial menyokong ciri ini. Mini Capsule akan muncul di bahagian lubang kamera pada skrin dalam bentuk kapsul yang panjang memaparkan maklumat.

Realme ada merancang untuk menyertakan sokongan notifikasi, sokongan pemain media dan banyak lagi. Tetapi buat masa ini ia hanya menyokong paparan pengecasan untuk beberapa saat sahaja dan tiada cara lain untuk mengaktifkannya. Dalam hal ini implemnetasi Mini Capsule adalah separuh masak.

Berikut adalah beberapa ciri menarik pada Realme UI 4.0 dalam Realme C55;

  1. Optimised Night Charging – Kuasa pengecasan dihadkan kepada 80% dan hanya akan penuh selepas anda bangun tidur.
  2. Real Sound Technology – Teknologi penalaan audio Realme tersendiri dengan sokongan aras suara sehingga 200%.
  3. Memory Extension – Menambah memori maya dari 4GB ke 8GB menjadikan peranti mempunyai RAM sehingga 16GB.
  4. Special Features – Ciri dan fungsi tambahan yang sama dengan peranti mercu Oppo dan OnePlus seperti Flexible Windows, Smart Sidebar, Split Screen dan banyak lagi.
  5. Global Search – Carian universal pada talam aplikasi atau talam notifikasi untuk mencari aplikasi, terus cari video di Netflix dan banyak lagi.

PENANDA ARAS

Cip MediaTek Helio G88 adalah cip yang dilancarkan pada tahun 2020 dan merupakan pesaing kepada cip Snapdragon 662 yang dilancarkan pada tahun sama. Walaupun sudah ada 16GB memori termasuk RAM maya peranti ini masih tidak mempunyai prestasi yang lancar. Relame UI 4.0 tidak dinafikan sudah dibina dengan baik dengan pengurusan memori yang bagus tetapi cip yang berusia menjadi kekangan kepada peranti untuk beroperasi pada prestasi tinggi.

Saya hanya menguji permua Marvel Snap yang 2D dan Asphalt 9 pada tetapan lalai. Kedua-dua permua ini tidak dapat dimainkan dengan pengalaman memuaskan. Permua 2D pun ada banyak tersangkut-sangkut pada setiap pergerakan dan grafik 3D pula nampak tidak cantik seakan ada kesan pixelated.

Geekbench 6

  • Realme C55 – 420/1377
  • Redmi 12C – 403/1212

AnTuTu 3D

  • Realme C55 – 251,263
  • Redmi 12C – 212,386

3DMark

  • Realme C55 – 745
  • Redmi 12C – Tidak boleh diuji

TELEFONI Dan GPS

Seperti Redmi 12C hanya rangkaian 4G LTE sahaja disokong pada Realme C55. Tiada masalah untuk menggunakan sokongan VoWiFi dan VoLTE yang membantu ketika isyarat tidak kuat. Panggilan suara tidak begitu jelas kerana hanya ada satu mikrofon. GPS pula amat perlahan dan menjengkelkan ketika digunakan.

KAMERA

Kamera utama peranti ini adalah 64MP sudut lebar dengan butiran spesifikasi sensor yang tidak didedahkan. Dipadankan pula dengan sensor 2MP yang juga dirahsiakan. Tetapi Realme menyatakan peranti ini menggunakan kamera 64MP utama + 64MP kamera AI dengan kamera swafoto AI 8MP. Beberapa gambar nampak cantik dan terang kerana ada bantuan perisian dan kecerdasan buatan. Tetapi butiran langsung tidak dipelihara dengan baik.

Warna nampak cukup menyerlah untuk peranti dalam kelasnya. Tetapi mod-mod seperti potret terus tiada kualiti langsung. Kesan kabur yang tidak mampu mengesan subjek dan yang paling serius adalah pasca-proses yang mengambil masa berzaman untuk selesai.

BATERI

Saya jangkakan peranti seperti ini mempunyai hayat bateri yang panjang lebih-lebih lagi dengan bateri berkapasiti 5000mAh. Tetapi penggunaan yang ekstrem hanya mampu mencapai sekitar 4-5 jam SOT sahaja. Penggunaan ringan pula hanya boleh bertahan sekitar 6 jam SOT. Tetapi apabila peranti jarang digunakan SOT boleh bertahan selama hampir tiga jam untuk 3 hari. Syukur ada sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 33W yang mengambil masa sekitar satu jam sahaja untuk penuh.

AUDIO

Realme C55 hanya mempunyai speaker mono di bahagian bawah. Walaupun sudah ditala dengan Real Sound Technology dengan aras suara mencapai 200% kualiti audio peranti ini masih mengecewakan. Aras suara 50% ke 80% masih perlahan dan apabila sampai tahap maksima suara pula pecah. Audio juga agak nyaring dan penyelesaian adalah menggunakan TWS sahaja atau fon telinga berwayar.


PESAING

Realme C55Redmi 12CSamsung Galaxy A14
6.72″ IPS LCD, 90Hz
FHD+
6.71″ IPS LCD, 60Hz
HD+
6.6″ PLS LCD, 60Hz
FHD+
Helio G88 (12nm)
2 X 2.0 GHz Cortex-A75
6 X 1.8 GHz Cortex-A55
Helio G85 (12nm)
2 X 2.0 GHz Cortex A75
6 X 1.8 GHz Cortex A55
Exynos 850 (8nm)
8 X 2.0 GHz Cortex A55
Mali-G52 MC2Mali-G52 MC2Mali-G52 MP1
6/8 GB LPDDR4X4/6GB LPDDR4X6GB LPDRR4X
128/256 GB UFS
Mikro SD 1TB
128 GB eMMC 5.1
Mikro SD 1TB
128 GB
Mikro SD 1TB
Kamera Utama
64MP, (Sudut Lebar)
2MP, (Sensor Kedalaman)
FHD 60p
Kamera Utama
50MP f/1.8, (Sudut Lebar)
0.08MP f/2.2 (Makro)
FHD 30p
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (utama), OIS
5MP f/2.2 (Sudut ultra-lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
1FHD080p 30p
Kamera Hadapan
8MP
Kamera Hadapan
5MP f/2.2
Kamera Hadapan
13MP f/2.0
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio MonoAudio MonoAudio Mono
5000 mAh (Berwayar 33W)5000 mAh (Berwayar 10W)5000 mAh (Berwayar 15W)
RM 699 (6/128GB)
RM 799 (8/256GB)
RM 599 (4/128GB)
RM 699 (6/128GB)
RM799 (6/128 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Realme C55
  • 1x Pengecas 33W
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
  • 1x Kerangka pelindung silikon
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Berdasarkan pengalaman kami Realme C55 adalah alternatif yang jauh lebih baik berbanding Redmi 12C. Walaupun prestasi kurang memberangsangkan sekurang-kurangnya Realme menawarkan banyak ciri dan fungsi pada perisian yang menarik untuk digunakan. Sokongan Mini Capsule menjadikan peranti ini mempunyai ciri premium yang tiada pada peranti Android lain.

Peranti ini sesuai dijadikan sebagai peranti sandaran atau untuk ibu bapa membelikannya untuk anak-anak kecil. Harga jualan yang bermula dari RM699 untuk variasi 6/128 GB dan mencapai RM799 untuk 8/256 GB adalah harga yang mampu milik. Ini adalah peranti yang bagus untuk anak-anak gunakan sebagai alat pendidikan seperti menjalankan aplikasi Duolingo, bacaan Al-Quran dalam TheNoor atau bacaan buku-buku digital untuk ulangkaji. Oleh itu ia adalah pilihan lebih sesuai sebagai telefon pintar pertama untuk anak-anak atau anak saudara pembaca sekalian.

Pro

  • Ringan dan mudah dikendalikan untuk sebuah peranti saiz besar.
  • Realme UI padat dengan ciri dan fungsi menarik.
  • Rekaan yang cantik dan kelihatan premium.
  • Skrin yang terang dan puas tonton video.

Kontra

  • Bateri yang tidak begitu tahan lama.
  • Prestasi yang menguji kesabaran.
  • Kamera 64MP yang mengecewakan.
  • Speaker dengan audio yang pecah.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd