Cari @ Amanz

Kategori terakhir ialah Peranti Terbaik Raya 2023 ialah peranti flex raya. Apakah yang melayakkan sesebuah peranti dicalonkan dalam kategori ini? Ia haruslah mempunyai ciri unik dan dijual pada harga yang boleh merobekkan dompet. Tetapi jika anda inginkan yang terbaik, kos memilikinya tidak akan menjadi halangan.


Yang pasti balik beraya dengan peranti-peranti di bawah, anda boleh menggunakannya sebagai topik perbualan apabila tidak tahun apa lagi yang boleh dibuatkan selain kerja, trafik, berapa kilogram hilang berat dan isu politik semasa. Sebelum senarai ini diterbitkan kami sudahpun menerbitkan tiga senarai di bawah. Jika ada kelapangan silalah tekan untuk membacanya.




Kriteria Pemilihan

  • Haruslah unik dan mempunyai ciri khas berbanding peranti biasa.
  • Dilengkapi cip kelas mercu.
  • Harga bukan halangan.
  • Menggunakan Android 13
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia tahun 2023.

Tempat Ketiga – Oppo N2 Flip

Oppo N2 Flip ialah telefon pintar boleh-lipat jenis kulit kepah terbaik tahun ini. Kami katakan begitu kerana ia menyelesaikan beberapa isu yang wujud pada peranti dalam kategori yang sama seperti Z Flip4 misalnya. Engsel lebih nipis menjadikan saiz peranti terasa lebih kecil apabila disimpan di dalam poket. Skrin sekundernya lebih besar di luar membolehkan maklumat dibaca tanpa skrin utama dibuka.

Dengan cip Dimensity 9000+ ia cukup berkuasa untuk menjalankan aplikasi utama dan permua sekiranya perlu. Kesan garis pada skrin juga tidak begitu ketara. Bagi peminat fotografi, kamera N2 Flip adalah terbaik dalam kelasnya dengan mod penggambaran Hasselblad X-Pan yang cukup menarik.

Spesifikasi: 6.8” AMOLED FHD+ 120Hz LTPO, 3.26″ AMOLED, Dimensity 9000+ (4nm) (1X Cortex-X2 3.2GHz + 3X Cortex-A710 3.2GHz + 4X Cortex-A510 1.8 GHz), 8GB RAM, storan 256GB, 50+8 MP (Utama), 32MP (Swafoto), 4300 mAh (44W), Android 13.

Harga: RM3999 (8/256GB)


Tempat Kedua – Samsung Galaxy S23 Ultra

Samsung Galaxy S23 Ultra ialah peranti yang Ultra serba serbi. Dari skrin besar dengan keterangan yang tinggi, sokongan stylus S Pen secara terbina, kamera 200MP dengan zum melampau dan pemproses Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang berkuasa. Inilah peranti yang terbaik ditawarkan oleh Samsung kepada dunia pada tahun 2023 setakat ini.

Bagi yang mencari storan besar, S23 Ultra boleh dibeli dengan storan 1TB. Ribuan gambar boleh diambil tanpa perlu risau. Ciri paling menarik pada hemat kami ialah bateri 5000 mAh boleh bertahan sepanjang hari. Kerana banyaknya ciri Ultra, harga jualannya juga agak “ultra” dengan ia mencecah RM7199.

Spesifikasi: 6.8” Dynamic AMOLED 2X QHD+ 120Hz LTPO, Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) (1X Cortex-X3 3.2GHz + 4X Cortex-A715 2.8GHz + 3X Cortex-A510 2.0 GHz), 12GB RAM, storan 256/512/1000 GB, 200+12+10+10 MP (Utama), 12MP (Swafoto), 5000 mAh (45W), Android 13.

Harga: RM5699 (12/256GB), RM6199 (12/512GB), RM7199 (12/1000GB),


Juara – Honor Magic Vs

Peranti Terbaik Raya untuk kategori flex ialah Honor Magic Vs. Walaupun ia adalah sebuah peranti skrin-lipat, Magic Vs adalah lebih nipis berbanding pesaing terhampirnya Z Fold4. Kami merasakan ia terbaik kerana skrin luar yang mempunyai nisbah yang sama seperti skrin telefon biasa. Maka jarang sekali ada keperluan membuka skrin besar yang mengurangkan penggunaan baterinya.

Peranti juga lebih nipis kerana penggunaan engsel yang lebih kecil. Tidak perlu risau skrin rosak kerana objek memasuki ruang antara skrin. Prestasi mantap dapat dinikmati dengan penggunaan cip Snapdragon 8+ Gen 1, 12GB RAM dan storan 512GB yang besar. Baterinya juga paling besar pernah digunakan pada telefon pintar skrin boleh lipat menjamin penggunaan sepanjang hari.

Spesifikasi: 7.9” OLE QHD+ 90Hz, 6.45″ OLED FHD+ 120Hz, Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) (1X Cortex-X2 3.19GHz + 3X Cortex-A710 2.75GHz + 3X Cortex-A510 1.8 GHz), 12GB RAM, storan 512GB, 54+50+8 MP (Utama), 16MP (Swafoto Luar), 16MP (Swafoto Dalam), 5000 mAh (66W), Android 13.

Harga: RM5999 (12/512GB).


Inilah senarai Peranti Terbaik Raya 2023 daripada kami Di Amanz. Semoga Ramadan ini anda diberikan keberkatan dan di Syawal pula anda akan menikmati kegembiraan. Maaf zahir dan batin daripada kami.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd