Carian
Apa Itu Setel Lite Dan Kenapa Ia Lebih Memudahkan Berbanding Setel Biasa?
April 17, 2023 Fahim Zahar

Setel adalah aplikasi oleh PETRONAS untuk memudahkan lagi pengguna mengisi minyak kereta dengan hanya menggunakan telefon pintar. Aplikasi in bermula sebagai satu dompet digital dan kini telah berkembang menjadi seakan satu super-app kerana padat dengan ciri dan fungsi menarik.

Aplikasi Setel boleh membayar parkir jalanan, bantuan baiki kenderaan, bayaran pengecasan kereta elektrik, menjual minyak masak terpakai, bayar kepada peruncit dengan DuitNow QR dan banyak lagi.

Setel Petronas

Ini secara tidak langsung menjadikan aplikasi lebih serabut. Jangan salah faham, aplikasi Setel mempunyai antaramuka yang mesra pengguna. Cuma apabila banyak fungsi dimuatkan buka sahaja aplikasi kadangkala saya menjadi pening. Lebih-lebih lagi apabila saya ada hal kecemasan dan perlu mengisi minyak dengan pantas, saya mahukan aplikasi yang boleh dibuka terus, pilih pam, isi minyak dan kemudian meneruskan perjalanan.

Keluhan hati saya ini terjawab apabila Setel menjemput saya untuk menguji Setel Lite. Setel Lite adalah aplikasi Setel yang lebih ringan dengan fungsi yang asas. Ia hanyalah sebuah dompet digital yang anda boleh tambah nilai, menyemak mata ganjaran Mesra, Family Wallet dan meminta bantuan khidmat pelanggan. Bukan itu sahaja, aplikasi ini juga direka untuk menyokong peranti kelas asas dan pengguna yang mempunyai akses Internet yang terhad.

Jika membandingkan saiz pemasangan aplikasi ini di Android Setel Lite hanya menggunakan storan 5.40MB sementara Setel biasa memakan storan 23.86MB. Selepas pemasangan, Setel Lite hanya menggunakan sebanyak 46.43MB storan dalaman peranti dan Setel pula adalah 78.22MB dan boleh mencapai ratusan Megabyte. Jadi aplikasi ini tiada masalah digunakan pada peranti berusia atau peranti Android yang sudah hampir kehabisan storan dalamannya.

Setel Lite turut direka dengan antaramuka “kosong” dengan muka taip besar. Ini memudahkan pengguna lebih berusia menggunakannya atau pada aplikasi biasa anda tetapkan Family Wallet dan ibu bapa atau atuk nenek boleh menggunakan Setel Lite dengan mudah sambil ganjaran Mesra kekal boleh dikumpul. Resit juga tiada masalah untuk dilihat pada aplikasi selepas selesai mengisi minyak.

Dalam ujian saya, saya sengaja menetapkan akses Internet peranti kepada Edge sahaja dan terus menggunakan Setel Lite. Pada awal saya agak risau jika ia tidak berfungsi tetapi selepas sekitar kurang 30 saat aplikasi memuat, ia terus boleh digunakan. Aplikasi lancar digunakan dan setiap bahagian boleh diakses tanpa sebarang masalah termasuk semak baki, tambah nilai, bantuan pelanggan atau juga semak mata ganjaran.

Mengisi minyak juga mudah dan tidak memeningkan kepala. Saya hanya terus tekan Purchase Fuel, pilih nombor pam, masukkan amaun, bayar menggunakan Setel Wallet (atau Family Wallet hanya dua kaedah pembayaran sahaja yang disokong), terus isi minyak dan selepas selesai ganjaran Mesra dan resit akan dipaparkan.

Dengan adanya aplikasi Setel Lite ini anda akan lebih mudah dan fokus mengisi minyak. Anda tidak lagi perlu tercari-cari bahagian mana perlu tekan atau tersalah tekan sebaliknya Setel Lite menawarkan penggunaan secara terus. Aplikasi ini dibangunkan untuk pengguna peranti Android dan Huawei sahaja buat masa ini dan masih tidak pasti jika aplikasi sama akan ditawarkan kepada pengguna iOS.

Buat masa ini Setel masih belum mengumumkan secara rasmi bilakah Setel Lite akan dilancarkan kepada umum. Tetapi menurut Nextrift yang turut berpeluang menguji aplikasi Setel Lite ini, aplikasi akan dilancarkan pada hujung April nanti.

Komen