Anda ingat lagi akan Leap? Sebelas tahun yang lalu mereka menawarkan peranti yang membolehkan pelbagai peranti dikawal menggunakan gestur tangan. Ia sama seperti peranti Kinect untuk Xbox suatu ketika dahulu.
Leap yang kini dikenali sebagai Ultraleap kini hadir dengan produk baharu mereka Leap Motion Control 2. Ia adalah alat kawalan untuk set kepala realiti diperluas (XR), komputer Windows dan juga macOS. Aksesori khas untuk disambungkan pada set kepala turut akan disediakan nanti.
Ultraleap tidak mendedahkan spesifikasi penuh Leap Motion Control 2 selain mendakwa yang medan penglihatan telah diperluaskan, kamera kini menyokong 115 fps, menjimatkan 25% penggunaan kuasa, saiz 30% lebih kecil, dan mengesan lebih 27 jenis pergerakan tangan dan jari.
Alat kawalan kecil ini dikatakan menyokong mana-mana set kepala XR Android seperti Pico 4 dan membenarkan pengguna mengawal sepenuhnya dengan tangan tanpa alat kawalan fizikal. Jika anda ingin berangan menjadi Iron Man mengawal kandungan hologram ini mungkin caranya.
Leap Motion Control 2 akan dijual pada suku ketiga 2023 nanti dengan harga $139 (~RM641). Tidak pasti lagi sama ada produk baharu ini akan dijual di Malaysia ataupun mana tahu terus diintegrasikan ke dalam gajet lain seperti yang pernah dilakukan bersama HP dan Asus sebelum ini.