Perkara paling menarik bagi kami di Amanz ialah pada tahun 2023, peranti kelas permulaan kini tidak lagi boleh dikatakan sebagai tidak berbaloi ataupun sampah. Ini menjadikannya sebuah lagi segmen peranti yang sangat kompetitif. Kepada orang ramai pula mereka kini tidak perlu lagi risau peranti “murah” yang dibeli akan mengecewakan.

Samsung Galaxy M14 5G ialah peranti yang kami masukkan ke dalam kategori permulaan dan mampu milik. Bagi mereka yang mencari peranti yang mesra ekonomi semasa, ia adalah peranti yang kami rasakan boleh dimasukkan ke dalam senarai pendek untuk dibeli.
SPESIFIKASI
Samsung Gaalxy M14 5G | |
---|---|
Skrin | 6.6″ PLS LCD FHD, 90Hz |
Pemproses | Exynos 1330 (5nm) |
Cip | 2 X 2.4 GHz Cortex A78 6 X 2.0 GHz Cortex A55 |
Cip Grafik | Mali-G68 MP2 |
RAM | 6GB LPDDR4x |
Muatan Dalaman | 12GB UFS 2.2 Mikro SD 1TB |
Kamera Utama | 50MP f/1.8 (Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Kedalaman) 2MP f/2.4 (Makro) 1080P 30FPS |
Kamera Swafoto | 12 Megapixel f/2.0 |
Bateri | 6000 mAh Pengecasan berwayar 25W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi dan wajah |
Harga Jualan | RM 1099 (6/128GB) |
SKRIN
Skrin 6.6″ FHD adalah dari jenis PLS LCD dengan kadar segar semula 90Hz. Pada peringkat awa kami agak curiga dengan penggunaan panel PLS kerana penggunaan skrin OLED yang kini lebih popular. Namun begitu skrin mampu memaparkan imej dengan tajam, jelas dan tiada kesan ghosting apabila melakukan tatalan yang laju. Animasi turut nampak pantas tanpa ia kelihatan tersekat-sekat. Pengguna boleh memilih kadar segar semula adaptif 90Hz atau menguncinya ke 60Hz.

Tiada sokongan HDR kerana skrin PLS LCD tidak mampu mencapai tahap keterangan yang diperlukan. Pengimbas cap jari terbina juga tiada di sini. Penghasilan semula warna adalah sekadar memuaskan. Kekurangan paling ketara ialah skrin sukar di lihat di bawah cahaya matahari yang terang.

PENGIMBAS CAP JARI Dan BIOMETRI
Pengimbas cap jari terbina dalam butang kuasa di sisi kanan peranti. Terdapat lekuk pada sisi yang memudahkan jari mencari lokasi pengimbas/butang kuasa walaupun ia di dalam kocek. Saiz pengimbas adalah aga kecil jika kami bandingkan dengan yang digunakan pada peranti Oppo atau Realme.

Maka ini menyebabkan ketepatan mengimbas cap jari adalah kurang konsisten. Jari perlu ditekan dengan kuat pada pengimbas untuk memastikan ia boleh dikesan dengan tepat. Isu imbasan tidak tepat adalah agak lazim pada pengimbas sisi. Kami turut menghadapi isu yang sama pada Oppo Find N2 Flip dan Tecno Phantom V Fold yang dijual pada harga jauh lebih premium.
Maka kami sarankan penggunaan sistem imbasan wajah yang bukan sahaja lebih konsisten tetapi juga lebih pantas. Cuma harus kami katakan imbasan wajah hanya beroperasi dengan baik dalam keadaan terang memandangkan M14 5G tidak mempunyai pemancar infra merah seperti iPhone.
REKAAN
Rekaan adalah agak retro tetapi kami melihatnya sebagai sesuatu yang positif. Retro di mana keseluruhan panel belakang dan bahagian sisi adalah daripada bahan polikarbonat unibody. Mengingatkan kami kepada tubuh Nokia N9 dan Nokia Lumia yang popular pada dekad yang lalu. Polikarbonat mungkin bukan bahan “seksi” seperti kaca tetapi ia lebih tahan lasak sekiranya peranti terjatuh.

Bahagian sisi, atas dan bawah M14 5G adalah dibulatkan membuatkan peranti terasa seperti sebuah batu sungai. Butang kuasa dan laras audio terletak pada sisi kanan. Talam SIM yang menempatkan dua SIM nano dan kad mikro SD (sehingga 1TB) pula diletakkan pada sisi kiri. Bicu audio 3.5mm, port pengecas USB-C dan kekisi audio mono pula diletakkan di bahagian bawah peranti.
Tiga lensa kamera yang terdiri daripada 50MP sudut lebar, 2MP kedalaman dan 2MP makro diletakkan di bahagian panel belakang dengan ia disusun secara menegak. Bonggol kamera adalah rendah maka tiada isu meletakkan peranti rata di atas meja. Ini berjaya dicapai kerana tubuh M14 5G yang agak tebal jika dibandingkan dengan Galaxy A54 sebelum ini.

Di hadapan pula terdapat kamera 12MP yang diletakkan dalam sebuah takuk. Penggunaan rekaan retro diteruskan dengan penggunaan takuk Infinity-V yang diperkenalkan lima tahun yang lalu. Meneruskan tema retro M14 5G, panel skrin mempunyai bezel yang boleh dikategorikan sebagai tebal mengikut standard 2023. Bahagian dagu dan dahinya amat ketara ketebalan bezelnya. Perkara positif yang boleh kami katakan ialah sekurang-kurangnya skrin adalah rata.

Kerana tubuh yang diperbuat daripada bahana polikarbonat yang dibulatkan, peranti amat selesa di dalam tangan. Ia hanya sedikit licin dan memerangkap kotoran dengan cukup mudah. Ini tidak dapa dielakkan dan penggunaan kerangka sahaja dapat menyelesaikannya. Malang sekali Samsung tidak menawarkan sebarang kerangka dengan setiap pembelian. Akhir sekali M15 5G tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air atau debu.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – One UI 5.1 Core
Sistem operasi One UI 5.1 Core digunakan dengan ia berasaskan Android 13. Sistem operasi ini direka khas untuk peranti yang mempunyai spesifikasi yang lebih rendah. Dari segi kegunaan harian kami mendapati One UI 5.1 Core tidak banyak bezanya dengan One UI 5.1.
Ia mempunyai ciri standard seperti tema berubah secara automatik mengikut imej latar belakang, mod multi-tingkap, sistem keselamatan Samsung Knox, memperibadikan skrin kunci, Game Launcher, Digital Wellbeing dan banyak lagi. Sistem yang tiada dan yang sempat kami sedari hanyalah tiada Kids’s Mode, Easy Mode, Link to Windows dan DeX.

Pengalaman penggunaan adalah lancar dan terasa pantas. Kami sebenarnya risau dengan hanya 6GB RAM, M14 5G mungkin akan mempunyai masalah beroperasi dengan lancar. Tetapi Samsung memberikan ciri RAM Plus, maka secara lalai 4GB RAM maya ditambah sepanjang tempoh ulasan. Pengguna turut boleh memilih 2GB, 6GB atau mematikan sahaja RAM Plus jika tidak diperlukan.

Apa yang kami katakan lancar di sini ialah apabila dibandingkan dengan peranti dengan cip Snapdragon 695, Dimensity 920, Snapdragon 4 Gen 1 dan Snapdragon 778G. Cip Exnos 1330 yang digunakan dilengkapi dua teras Cortex-A78 dan enam teras Cortex-A55 tetapi menggunakan teknologi 5nm. Oleh itu kelancaran penggunaan pelbagai aplikasi dan permua popular sebenarnya tidak mengejutkan langsung.
Yang kami rasakan harus diperbaiki oleh Samsung mungkin penawaran storan kerana 128GB adalah terlalu kecil untuk peranti tahun 2023. Selepas memasang COD Mobile sahaja mengambil 23GB. Kami akan menyentuh prestasi Exynos 1330 secara lebih mendalam di ruangan penanda aras di bawah nanti.

Samsung akan memberikan kemas kini dua versi Android dan dan tampalan sekuriti pula selama empat tahun. Ini menjadikan M14 5G peranti dalam kelas ini dengan sokogan perisian yang terbaik.
Ciri-ciri lain yang kami rasakan menarik adalah.
- Edge Panels – Panel sisi untuk aplikasi, kompas, Smart Select dan banyak lagi.
- RAM Plus – Penambahan RAM secara maya sehingga 6GB.
- Edge Lighting – Lampu pada skrin apabila menerima notifikasi.
- Secure Folder – Menyimpan fail dalam bekas yang dikunci dengan kata laluan/cap jari.
- Live Captions – Sari kata masa nyata.
- Modes – Tetapan peranti bergantung pada lokasi dan masa.
- Colour Correction – Mengubah paparan skrin untuk pengguna rabun warna
PENANDA ARAS – Exynos 1330
Kami melakukan ujian penanda aras biasa iaitu Geekbench 6, 3D Mark dan Antutu 3D. Keputusan ujian adalah seperti di bawah. Kami bandingkannya dengan cip Snapdragon 695 5G (Oppo A98 5G, iQOO Z7X, OnePlus Nord CE 3 Lite, Realme 10 Pro), dan Dimensity 1080 (Samsung Galaxy A34)
Geekbench 6
- Samsung Galaxy M14 5G – 924/2129
- Oppo A98 5G – 885/2034
- iQOO Z7X – 899/2109
- OnePlus Nord CE 3 Lite – 876/1972
- Realme 10 Pro Coca-Cola – 852/1907
- Samsung Galaxy A34– 1032/2254
AnTuTu 3D
- Samsung Galaxy M14 5G – 454,662
- Oppo A98 5G – 411,010
- iQOO Z7X – 410,677
- OnePlus Nord CE 3 Lite – 400,999
- Realme 10 Pro Coca-Cola – 406,243
- Samsung Galaxy A34 – 474,409
3DMark – Wild Life
- Samsung Galaxy M14 5G – 1388
- Oppo A98 5G – 1212
- iQOO Z7X – 1196
- OnePlus Nord CE 3 Lite – 1209
- Realme 10 Pro Coca-Cola – 1127
- Samsung Galaxy A34 – 2228

Skor yang dicatatkan Exynos 1330 adalah setanding dengan Snapdragon 695 dan hanya sedikit di bawah Dimensity 1080. Tiada isu untuk melancarkan aplikasi popular dengan pantas dan menggunakannya tanpa masalah. Setanding dengan pengalaman kami menggunakan peranti lain dalam kelas yang sama. Dengan memori UFS 2.2 ia bukanlah yang paling pantas (jika dibandingkan dengan UFS 4.0) tetapi jauh lebih baik berbanding memori eMMC yang dahulunya lazim pada peranti dalam kelas ini.

Kami menguji COD Mobile dan Asphalt 9 kerana kedua-duanya adalah permua yang memerlukan kemampuan grafik yang tinggi. Pada tetapan sederhana kami tidak mengalami sebarang isu menjalankan dua aplikasi ini dengan lancar. Malahan peranti juga tidak mempunyai masalah pemanasan. Peranti hanya menjadi suam apabila mengambil banyak gambar secara berterusan.
TELEFONI Dan GPS
Rangkaian 5G boleh digunakan dengan baik lengkap dengan VoLTE dan VoWiFi jika syarikat telko anda menyokongnya. Dua SIM nano boleh digunakan serentak dalam talam dengan ia tidak perlu berkongsi slot dengan kad mikro SD. WiFi yang disokong pula adalah sehingga 5GHz yang cukup memadai. Prestasi GPS pula adalah agak baik dengan lokasi dapat dikesan dalam aplikasi dalam masa beberapa saat.

KAMERA
Sistem tri-kamera di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP f/1.8, kedalaman 2MP f/2.4 dan makro 2MP f/2.4 makro. Di hadapan pula sensor 12MP f/2.0 digunakan. Kamera yang agak asas dan kami sebenarnya sedikit terkilan tiadanya sensor ultra sudut lebar yang agak berguna sekarang. Aplikasi kamera mempunyai mod malam, Panorama, Potret, Pro, Makro dan Makanan. Pilihan yang agak asas tetapi ini adalah kebiasaan pada peranti dalam kelas ini.
Kemampuan fotografi adalah sederhana dalam keadaan terang dan sedikit terjejas apabila cahaya semakin berkurangan. Warna pada gambar nampak sedikit kekuningan berbanding keadaan sebenar. Mod HDR kurang menyerlah dan gambar kurang tajam lebih-lebih lagi dalam mod malam. Tanpa OIS pada lensa sensor, ini tidak dapat dielakkan.




Mod potret tidak nampak begitu asli kerana kesan bokeh yang jelas menggunakan perisian. Ia tidaklah teruk tetapi kami sudah biasa melihat kesan bokeh yang lebih baik. Namun begitu dalam situasi pencahayaan yang kurang baik kami rasakan gambar-gambar di bawah tidak mengecewakan kualitinya.



Kamera boleh melakukan zum secara digital sehingga 10X sahaja. Di bawah ialah contoh zum pada tetapan 1x, 4x dan 10x. Kualiti hanya boleh dikatakan elok sehingga 2x sahaja. Kemampuan zum pada M14 5G tidak boleh dibanggakan.



BATERI
Bateri 6000 mAh yang digunakan adalah amat besar dan ini adalah penyebab tubuh M14 5G adalah agak tebal. Dengan bateri yang besar prestasinya adalah amat baik. Dalam penggunaan sederhana ia boleh bertahan sepanjang hari. SOT purata selama tiga hari penggunaan ialah sekitar 11 jam yang kami rasakan adalah amat baik.

Tempoh mengecas semula ialah sekitar 100 minit menggunakan pengecas 25W. Tiada pengecas diberikan dalam kotak maka anda perlu membelinya secara berasingan. Hanya kabel USB-C ke USB-C sahaja diberikan Samsung.
AUDIO
Audio sekadar mono dan ia adalah tidak memuaskan. Terasa rompong dan kosong. Dengan sistem mono audio sangat tidak seimbang lebih-lebih lagi kalau menonton kandungan video dan permua. Terdapat bicu audio 3.5mm untuk aksesori audio lengkap dengan sokongan Dolby Atmos.

PESAING
Samsung Galaxy M14 5G | OnePlus Nord CE 3 Lite | iQOO Z7X |
6.6″ PLS LCD, 90Hz FHD+ | 6.72″ IPS LCD, 90Hz FHD+ | 6.64″ IPS LCD, 120Hz FHD+ |
Exynos 1330 (6nm) 2x 2.4 GHz Cortex-A78 6x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 695 5G (6nm) 2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver | Snapdragon 695 5G (6nm) 2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver |
Mali-G68 MP2 | Adreno 619 | Adreno 619 |
6GB LPDDR4X | 8GB LPDDR4X | 8GB LPDDR4X |
128 GB UFS2.2 Mikro SD 1TB | 256GB UFS2.2 Mikro SD 1TB | 128/256 GB UFS2.2 Mikro SD 1TB |
Kamera Utama 50MP f/1.8, (Sudut Lebar) 2MP f/2.4, (Sensor Kedalaman) 2MP f/2.4, (Makro) | Kamera Utama 64MP f/1.7, (Sudut Lebar) 2MP f/2.4, (Sensor Kedalaman) 2MP f/2.4, (Makro) | Kamera Utama 50MP f/1.8, (Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Kedalaman) |
Kamera Hadapan 12MP f/2.0 | Kamera Hadapan 16MP f/2.4 | Kamera Hadapan 8MP f/2.0 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Audio Mono | Audio Stereo | Audio Mono |
6000 mAh (Berwayar 25W) | 5000 mAh (Berwayar 67W) | 6000 mAh (Berwayar 80W) |
RM1099 (6/128 GB) | RM 1099 (8/256 GB) | RM999 (8/128 GB) RM1099 (8/256 GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy M14 5G
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Kelebihan Samsung Galaxy M14 5G terletak pada cip 6nm yang cukup berkuasa untuk keperluan harian dan permua serta prestasi bateri yang tahan lama berbanding peranti lain dalam kelas yang sama. Kemampuan fotografinya juga agak memuaskan dibantu dengan One UI 5.1 Core yang mempunyai pelbagai ciri tambahan. Samsung juga menyokong kemas kini sehingga empat tahun.

Kekurangan pula ialah sistem pengecasan yang disokong adalah perlahan, saiz storan yang agak kecil dan speaker mono. Pada harga jualan RM1099, ia adalah peranti yang bertanding secara terus dengan OnePlus Nord CE 3 Lite, Oppo A98 5G dan iQOO Z7X.
Bagi yang mencari peranti yang tidak terlalu mahal tetapi masih menawarkan nilai yang memuaskan serta sokongan perisian yang lama, Samsung Galaxy M14 5G ialah antara pilihan yang menarik di pasaran sekarang.
Pro
- Skrin lancar pada kadar 90Hz.
- Exynos 1330 cukup berkuasa untuk pelbagai aplikasi.
- Bateri 6000 mAh yang cukup besar dan tahan lama.
- Binaan polikarbonat unibody yang tahan lasak.
- RAM Plus boleh menambah memori sehingga 6GB secara maya.
- Sokongan 2 generasi Android dan 4 tahun tampalan sekuriti.
Kontra
- Pengecasan hanya 25W yang perlahan.
- Storan dan RAM asas adalah agak kecil.
- Speaker mono.
- Pengecas tidak diberikan percuma.
- Kamera makro sekadar gimik.

Samsung bakal menawarkan Samsung Galaxy M14 5G dengan harga promosi RM819 pada 24 Jun ini. Lebih menarik lagi, anda boleh dapatkan diskaun sebanyak 10%, sekiranya anda membeli peranti ini pada hari yang sama menjadikan harganya RM 737.10 Syaratnya adalah anda perlu melakukan pembelian menerusi kedai atas talian rasmi Samsung di Lazada, dan menebus kod promo “SAMM14S5G”. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa promosi ini adalah terhad pada 24 Jun sahaja, sementara stok masih ada.